Tag: Tasauf
Kisah Para Wali - Rabi’ah Al-Adawiyah
oleh Kamal Arif Maz pada Apr.28, 2010, di Community, General
Kisah Para Wali
Episod dari Tazkirat Al-Auliya
“Orang yang cinta Allah itu hilang, dalam melihat Allah hingga lenyap dirinya, dan dia tidak boleh membezakan yang mana penderitaan dan yang mana kesenangan.”
Diambil dari buku yang ditulis oleh Farid Al-Din Attar
Rabi’ah Al-Adawiyah
Rabi’ah binti Ismail a-Adawiyah, berasal dari keluarga miskin. Dari kecil ia tinggal di Basrah. Di kota ini namanya sangat terkenal sebagai seorang wanita solehah dan sebagai penceramah. Dia sangat dihormati oleh orang-orang soleh semasanya. Tarikh kematiannya terdapat berbagai pendapat: tahun 135H/752M atau tahun 185H/801M.
Rabi’ah al-Adawiyah yang seumur hidupnya tidak pernah berkahwin dianggap mendapat pahala yang besar dalam memperkenalkan cinta Allah ke dalam mistisme Islam. Orang-orang mengatakan bahawa ia dikuburkan berhampiran kota Jerussalem.
Rabi’ah lahir dan masa kanak-kanaknya
Jika engkau bertanya: “Mengapa engkau menyamakan Rabi’ah dengan kaum lelaki?” Maka jawabku adalah bahawa Nabi sendiri pernah berkata: “Sesungguhnya Allah tidak memandang rupa kamu: dan yang menjadi masalah bukanlah bentuk, tetapi niat seperti yang dikatakan Nabi, “Manusia-manusia akan dimuliakan sesuai dengan niat di dalam hati mereka.” Selanjutnya, apabila kita boleh menerima dua pertiga ajaran agama dari Aisyah, maka sudah tentu kita boleh pula menerima petunjuk-petunjuk agama dari pelayan peribadinya itu. Apabila seorang perempuan berubah menjadi “seorang lelaki” pada jalan Allah, maka ia adalah sama dengan kaum lelaki dan kita tidak dapat menyebutnya sebagai seorang perempuan lagi.
Pada malam Rabi’ah dilahirkan ke dunia, tidak ada sesuatu barang berharga yang berada di dalam rumah orang tuanya, kerana ayahnya adalah seorang yang sangat miskin. Ayahnya tidak mempunyai minyak barang setitis pun untuk membersihkan pusat puterinya itu. Mereka tidak mempunyai lampu dan tidak mempunyai kain untuk menyelimuti Rabi’ah. Ayahnya telah memperoleh tiga orang puteri dan Rabi’ah adalah puterinya yang keempat. Itulah sebabnya mengapa ia dinamakan Rabi’ah.
“Pergilah kepada jiran kita dan mintalah sedikit minyak untuk menyalakan lampu,” isterinya berkata.
Tetapi si suami telah bersumpah bahawa ia tidak akan meminta sesuatu jua pun dari manusia lain. Maka ia berpura-pura menyentuhkan tangannya ke pintu rumah tetangga tersebut lalu kembali ke rumahnya.
“Mereka tidak mahu membukakan pintu,” ia memberitahu kepada isterinya apabila sesampainya di rumah.
Isterinya yang malang menangis sedih. Dlam keadaan yang serba menyedihkan itu si suami hanya dapat menundukkan kepala ke atas lutut dan terlena. Di dalam tidurnya ia bermimpi melihat Nabi.
Nabi memujuknya: “Jangan engkau bersedih, kerana bayi perempuan yang baru dilahirkan itu adalah ratu wanita dan akan menjadi penengah bagi 70 ribu orang di antara kaumku.” Kemudian Nabi meneruskan: “Esok, pergilah engkau menemui ‘Isa az-Zadan, Gabenor Basrah. Di atas sehelai kertas, tuliskan kata-kata seperti ini: “Setiap malam engkau mengirimkan selawat seratus kali kepadaku, dan setiap malam Jumaat empat ratus kali. Semalam adalah malam Jumaat tetapi engkau lupa melakukannya. Sebagai penebus kelalaianmu itu berikanlah kepada orang ini empat ratus dinar yang telah engkau dapati secara halal.”
Ketika terjaga dari tidurnya, ayah Rabi’ah menangis. Ia pun bangun dan menulis seperti yang telah dipesankan oleh Nabi kepadanya dan mengirimkannya kepada gabenor melalui pengurus rumahtangga di istana.
“Berikanlah dua ribu dinar kepada orang miskin,” gabenor memberikan perintah setelah membaca surat tersebut. “Sebagai tanda syukur kerana Nabi masih ingat kepadaku. Kemudian berikan empat ratus dinar kepada syeikh itu dan katakan padanya: “Aku harap engkau datang kepadaku sehingga aku dapat melihat wajahmu. Namun tidaklah elok bagi seorang seperti kamu untuk datang menghadapku. Lebih baik seandainya akulah yang datang kepadamu. Walaupun demikian, demi Allah, aku bermohon kepadamu, apapun yang engkau perlukan katakanlah kepadaku.”
Ayah Rabi’ah menerima wang emas tersebut dan membeli keperluannya.
Ketika Rabi’ah semakin membesar, sedang ayah bondanya telah meninggal dunia, bencana kelaparan melanda kota Basrah, dan ia terpisah dari kakak-kakak perempuannya. Suatu hari ketika Rabi’ah keluar rumah, seorang penjahat menangkapnya kemudian menjualnya dengan harga enam dirham. Orang yang membeli dirinya menyuruh Rabi’ah mengerjakan pekerjaan-pekerjaan yang berat.
Pada suatu hari ketika berjalan-jalan, seorang yang tidak dikenali datang menghampirinya. Rabi’ah melarikan diri, tiba-tiba ia terjatuh tergelincir sehingga tangannya terkehel.
Rabi’ah menangis sambil menghantuk-hantukkan kepalanya ke tanah: “Ya Allah, aku adalah seorang asing di negeri ini, tidak mempunyai ayah bonda, seorang tawanan yang tidak berdaya, sedang tanganku cedera. Namun semua itu tidak membuatku bersedih hati. Satu-satunya yang kuharapkan adalah dapat memenuhi kehendak-Mu dan mengetahui apakah Engkau berkenan atau tidak.”
“Rabi’ah, janganlah engkau berduka,” sebuah suara berkata kepadanya. “Di kemudian hari nanti engkau akan dimuliakan sehingga malaikat-malaikat iri kepadamu.”
Rabi’ah kembali ke rumah tuannya. Di siang hari ia terus berpuasa dan mengabdikan diri kepada Allah, sedang di malam hari ia berdoa kepada Allah sambil terus berdiri sepanjang malam.
Pada suatu malam tuannya terjaga dari tidur, apabila dia lalu di tepi tingkap dan terlihat olehnya Rabi’ah sedang bersujud dan berdoa kepada Allah.
“Ya Allah, Engkau tahu bahawa hasrat hatiku adalah untuk dapat memenuhi perintah-Mu dan mengabdikan diri kepada-Mu. Jika aku tidah mengubah nasib diriku ini, nescaya aku tidak akan beristirehat barang sebentar pun dari mengabdikan diri kepada-Mu. Tetapi Engkau telah menyerahkan diriku ke bawah kekuasaan seorang hamba-Mu.” Demikianlah kata-kata yang diucapkan Rabi’ah di dalam doanya itu.
Dengan mata kepalanya sendiri majikannya menyaksikan betapa sebuah lampu tergantung tanpa tali di atas kepala Rabi’ah sedang cahayanya menerangi seluruh rumah. Menyaksikan peritiwa ini, ia merasa takut. Ia lalu pergi ke bilik tidurnya dan duduk termenung sehingga subuh. Ketika hari telah terang ia memanggil Rabi’ah, bersikap lembut kepadanya kemudian membebaskannya.
“Izinkanlah aku pergi,” Rabi’ah berkata.
Tuannya membebaskannya. Rabi’ah lalu meninggalkan rumah tuannya menuju ke padang pasir untuk mengadakan perjalanan menuju ke sebuah pertapaan untuknya mengabdikan diri kepada Allah.
Kemudian ia berniat untuk menunaikan ibadah haji. Maka ia pun berangkat menempuh padang pasir kembali. Barang-barang miliknya diletak di atas punggung keldai. Tetapi apabila sampai di tengah-tengah padang pasir, keldai itu mati.
“Biarlah kami yang membawa barang-barangmu.” Lelaki-lelaki di dalam rombongan itu menawarkan jasa mereka.
“Tidak! Teruskanlah perjalanan kalian,” jawab Rabi’ah. “Bukan tujuanku untuk menjadi beban kalian.”
Rombongan itu meneruskan perjalanan dan meninggalkan Rabi’ah seorang diri.
“Ya Allah,” Rabi’ah berseru sambil menengadahkan kepala. “Demikiankah caranya raja-raja memperlakukan seorang wanita yang tidak berdaya di tempat yang masih asing baginya? Engkau telah memanggilku ke rumah-Mu, tetapi di tengah perjalanan engkau membunuh keldaiku dan meninggalkanku sebatang kara di tengah padang pasir ini.”
Belum lagi Rabi’ah selesai dengan kata-katanya ini, tanpa diduga-duga keldai itu terus berdiri. Rabi’ah meletakkan barang-barangnya ke atas punggung binatang itu dan meneruskan perjalanannya. (Tokoh yang meriwayatkan kisah ini mengatakan bahawa tidak berapa lama setelah peristiwa itu, ia melihat keldai kecil tersebut sedang dijual di pasar.)
Beberapa hari lamanya Rabi’ah meneruskan perjalanannya menempuh padang pasir, sebelum ia berhenti, ia berseru kepada Allah: “Ya Allah, aku sudah letih. Ke arah manakah yang harus kutuju? Aku ini hanyalah segumpal tanah sedangkan rumah-mu dibuat dari batu. Ya Allah, aku bermohon kepada-Mu, tunjukkanlah diri-Mu.”
Allah berkata ke dalam sanubari Rabi’ah: “Rabi’ah, engkau sedang berada di atas sumber kehidupan lapan belas ribu dunia. Tidakkah engkau ingat betapa Musa telah bermohon untuk melihat wajah-Ku dan gunung-gunung terpecah-pecah menjadi empat puluh keping. Kerana itu merasa cukuplah engkau dengan nama-Ku sahaja!”
Rabi’ah dengan pencuri
Pada suatu malam ketika Rabi’ah sedang solat di sebuah pertapaan, ia merasa sangat letih sehingga ia jatuh tertidur. Sedemikian nyenyak tidurnya sehingga ketika matanya berdarah tertusuk alang-alang dari tikar yang ditidurnya, ia sama sekali tidak menyedarinya.
Seorang pencuri masuk menyelinap ke dalam pertapaan itu dan mengambil cadar Rabi’ah. Ketika hendak keluar dari tempat itu didapatinya bahawa jalan keluar telah tertutup. Dilepaskannya cadar itu dan ditinggalkannya tempat itu dan ternyata jalan keluar telah terbuka kembali. Cadar Rabi’ah diambilnya lagi, tetapi jalan jalan keluar tertutup kembali. Sekali lagi dilepaskannya cadar itu. Tujuh kali perbuatan seperti itu diulanginya. Kemudian terdengarlah oleh sebuah suara dari sudut pertapaan itu.
“Hai manusia, tiada gunanya engkau mencuba-cuba. Sudah bertahun-tahun Rabi’ah mengabdikan kepada Kami. Syaitan sendiri tidak berani datang menghampirinya. Jadi betapakah seorang pencuri memiliki keberanian hendak mencuri cadarnya? Pergilah dari sini hai manusia jahanam! Tiada gunanya engkau mencuba-cuba lagi. Jika seorang sahabat sedang tertidur maka Sang Sahabat bangun dan menjaganya.”
Rabi’ah dengan roti untuk tetamu
Dua orang pemuka agama datang mengunjungi Rabi’ah dan keduanya merasa lapar. “Mudah-mudahan Rabi’ah akan memberikan makanan kepada kita,” mereka berkata. “Makanan yang diberikan oleh Rabi’ah pasti diperolehi secara halal.”
Ketika mereka duduk, di depan mereka telah terhampar safrah dan di atasnya ada dua potong roti. Melihat hal itu mereka sangat gembira. Tetapi di saat itu pula seorang pengemis datang dan Rabi’ah memberikan kedua potong roti itu kepadanya. Kedua pemuka agama itu sangat kecewa, namun mereka tidak berkata apa-apa. Tidak berapa lama kemudian masuklah seorang pelayan wanita membawakan beberapa buah roti yang masih panas.
“Majikanku telah menyuruhku menghantarkan roti-roti ini kepadamu,” pelayan itu menjelaskan.
Rabi’ah mengira-ngira roti tersebut. Semua berjumlah lapan belas potong.
“Mungkin roti-roti ini bukan untukku,” Rabi’ah berkata.
Pelayan itu berusaha meyakinkan Rabi’ah namun sia-sia saja. Akhirnya roti-roti itu dibawanya kembali. Sebenarnya apa yang telah terjadi adalah bahawa pelayan itu telah mengambil dua potong untuk dirinya sendiri. Ia meminta dua potong lagi kepada majikannya kemudian ia kembali ke tempat Rabi’ah. Roti-roti itu dikira oleh Rabi’ah, ternyata semuanya ada dua puluh potong dan setelah itu barulah ia mahu menerimanya.
“Roti-roti ini memang telah dikirim oleh majikanmu untukku,” kata Rabi’ah.
Kemudian Rabi’ah memberikan roti-roti tersebut kepada kedua tetamunya tadi. Keduanya makan namun masih dalam keadaan hairan.
“Apakah rahsia di sebalik semua ini?” Mereka bertanya kepada Rabi’ah. “Kami ingin memakan rotimu sendiri tetapi engkau memberikannya kepada seorang pengemis. Kemudian engkau mengatakan kepada pelayan tadi bahawa kelapan belas roti itu bukan dimaksudkan untukmu. Tetapi kemudian ketika semuanya berjumlah dua puluh potong barulah engkau mahu menerimanya.”
Rabi’ah menjawab: “Sewaktu kamu datang, aku tahu bahawa kamu sedang lapar. Aku berkata kepada diriku sendiri, betapa aku menawarkan untuk memberikan dua potong roti kepada dua orang pemuka yang terhormat? Itulah sebabnya mengapa ketika pengemis tadi datang, aku segera memberikan dua potong roti itu kepadanya dan berkata kepada Allah Yang Maha Besar, “Ya Allah, Engkau telah berjanji bahawa Engkau akan memberikan ganjaran sepuluh kali dan janji-Mu itu kupegang teguh. Kini telah kusedekahkan dua potong roti untuk menyenangkan-Mu, semoga Engkau berkenan untuk memberikan dua puluh potong sebagai imbalannya. Ketika kelapan belas potong roti itu dihantarkan kepadaku, tahulah aku bahawa sebahagian darinya telah dicuri atau roti-roti itu bukan untuk disampaikan kepadaku.”
Rabi’ah dengan sup bawang
Pada suatu hari pelayan wanita Rabi’ah hendak memasak sup bawang kerana telah beberapa lamanya mereka tidak memasak makanan. Ternyata mereka tidak mempunyai bawang. Pelayannya berkata kepada Rabi’ah: “Aku hendak meminta bawang kepada tetangga sebelah.”
Tetapi Rabi’ah melarang: “Telah empat puluh tahun aku berjanji kepada Allah tidak akan meminta sesuatu pun kecuali kepada-Nya. Lupakanlah bawang itu.”
Setelah Rabi’ah berkata demikian, seekor burung meluncur dari angkasa, membawa bawang yang telah terkupas di paruhnya, lalu menjatuhkan ke dalam belanga.
Menyaksikan peristiwa itu Rabi’ah berkata: “Aku takut jika semua ini adalah seperti tipu muslihat.”
Rabi’ah tidak mahu menyentuh sup bawang tersebut. Hanya roti sajalah yang dimakannya.
Rabi’ah dengan binatang liar yang jinak
Pada suatu hari Rabi’ah pergi ke gunung. Ia segera dikerumuni oleh sekawan rusa, kambing hutan, ibeks (sebangsa kambing hutan yang bertanduk panjang) dan keldai-keldai liar. Binatang-binatang ini menatap Rabi’ah dan hendak menghampirinya. Tanpa disangka-sangka Hasan al-Basri datang pula ke tempat itu. Ketika melihat Rabi’ah, ia segera datang menghampirinya. Tetapi setelah melihat kedatangan Hasan, binatang-binatang tadi lari ketakutan dan meninggalkan Rabi’ah. Hal ini membuat Hasan kecewa.
“Mengapakah binatang-binatang itu menghindari dari diriku sedang mereka begitu jinak terhadapmu?” Hasan bertanya kepada Rabi’ah.
“Apakah yang telah engkau makan pada hari ini?” Rabi’ah balik bertanya.
“Sup bawang.”
“Engkau telah memakan lemak binatang-binatang itu. Tidak menghairankan jika mereka lari ketakutan melihatmu.”
Rabi’ah menegur Hasan
Di hari lain, Rabi’ah melalui hadapan rumah Hasan. Ketika itu Hasan termenung di jendela. Ia sedang menangis dan air matanya menitis jatuh mengenai pakaian Rabi’ah. Mula-mula Rabi’ah mengira hujan turun, tetapi setelah ia melihat ke atas dan terlihat olehnya Hasan, sedarlah ia bahawa yang jatuh menitis itu adalah air mata Hasan.
“Guru, menangis adalah petanda dari kelesuan rohani.” Ia berkata kepada Hasan. “Tahanlah air matamu. Jika tidak, di dalam dirimu akan menggelora samudera sehingga engkau tidak dapat mencari dirimu sendiri kecuali pada seorang Raja Yang Maha Perkasa.”
Teguran itu tidak sedap didengar oleh Hasan, namun ia tetap menahan diri. Di belakang hari ia bertemu degan Rabi’ah di tepi sebuah danau. Hasan menghamparkan sejadahnya di atas air dan berkata kepada Rabi’ah, “Rabi’ah, marilah kita melakukan solat dua rakaat di atas air!”
Rabi’ah menjawab: “Hasan, jika engkau memperlihatkan karamah-karamahmu di tempat ramai ini, maka karamahmu itu haruslah yang tidak dimiliki oleh orang-orang lain.”
Sesudah berkata begitu Rabi’ah melemparkan sejadahnya ke udara, kemudian ia melompat ke atasnya dan berseru kepada Hasan: “Naiklah ke mari Hasan agar orang-orang dapat menyaksikan kita.”
Hasan yang belum mencapai kepandaian seperti itu tidak dapat berkata apa-apa. Kemudian Rabi’ah cuba menghiburkannya dan berkata: “Hasan, yang engkau lakukan tadi dapat pula dilakukan oleh seekor ikan dan yang kulakukan tadi dapat pula dilakukan oleh seekor lalat. Yang Terpenting bukanlah kemahiran-kemahiran seperti itu. Kita harus mengabdikan diri kepada Hal-hal Yang Terpenting itu.”
Rabi’ah dengan lampu
Pada suatu malam Hasan beserta dua tiga orang sahabatnya berkunjung ke rumah Rabi’ah. Tetapi rumah itu gelap, tiada berlampu. Mereka merasa senang seandainya pada ketika itu ada lampu. Maka Rabi’ah meniup jari tangannya. Sepanjang malam itu hingga fajar, jari Rabi’ah memancarkan cahaya terang benderang bagaikan lampu dan mereka duduk di dalam cahaya.
Jika ada seseorang yang bertanya: “Bagaimanakah hal seperti itu boleh terjadi?” Maka jawapanku adalah: “Persoalannya adalah sama dengan tangan Musa.” Jika ia kemudian menyangkal: “Tetapi Musa adalah seorang Nabi!” Maka jawapanku: “Barangsiapa yang mengikuti jejak Nabi akan mendapatkan sedikit kenabian, seperti yang pernah disabdakan oleh Nabi Muhammad sendiri.”
“Barangsiapa menolak harta benda yang tidak diperolehi secara halal, walaupun harganya satu sen, sesungguhnya ia telah mencapai suatu tingkai kenabian.” Nabi Muhammad juga pernah berkata: “Sebuah mimpi yang benar adalah satu perempat puluh dari kenabian.”
Nasihat Rabi’ah
Pada suatu ketika Rabi’ah mengirimkan sepotong lilin, sebuah jarum dan sehelai rambut kepada Hasan, dengan pesanan, “Hendaklah engkau seperti sepotong lilin, sentiasa menerangi dunia walaupun diri sendiri terbakar, Hendaklah engkau menjadi sebuah jarum, sentiasa berbakti walaupun tidak memiliki apa-apa. Apabila kedua hal itu telah engkau lakukan maka bagimu seribu tahun hanyalah seperti rambut ini.”
“Apakah engkau mengkehendaki agar kita berkahwin?” tanya Hasan kepada Rabi’ah.
“Tali perkahwinan hanyalah untuk orang-orang yang memiliki keakuan. Di sini keakuan telah hilang, telah menjadi tiada dan hanyalah ada melalui Dia. Aku adalah milik-Nya. Aku hidup di bawah naungan-Nya. Engkau harus melamar diriku daripada-Nya, buka secara langsung kepada diriku sendiri.”
“Bagaimanakah engkau telah bertemu dengan rahsia ini, Rabi’ah?” tanya Hasan.
“Aku lepaslah segala yang telah kuperolehi kepada-Nya,” jawab Rabi’ah.
“Bagaimana engkau telah dapat mengenal-Nya?”
“Hasan, engkau lebih suka bertanya, tetapi aku lebih suka menghayati,” jawab Rabi’ah.
Rabi’ah menasihati orang sakit
Suatu hari Rabi’ah bertemu dengan seseorang yang kepalanya dibalut.
“Mengapa engkau membalut kepalamu?” tanya Rabi’ah.
“Kerana aku merasa pening,” jawab lelaki itu.
“Berapa umurmu?” Rabi’ah bertanya lagi.
“Tiga puluh tahun,” jawabnya.
“Apakah engkau banyak menderita sakit dan merasa susah di dalam hidupmu?”
“Tidak,” jawabnya lagi.
“Selama tiga puluh tahun engkau menikmati hidup yang sihat, engkau tidak pernah mengenakan selubung kesyukuran, tetapi baru malam ini saja kepalamu terasa sakit engkau telah mengenakan selubung keluh kesah,” kata Rabi’ah.
Rabi’ah mengirim selimut
Suatu hari Rabi’ah menyerahkan wang empat dirham kepada seorang lelaki.
“Belikanku sehelai selimut kerana aku tidak mempunyai pakaian lagi,” kata Rabi’ah.
Lelaki itu pun pergi, tetapi tidak lama kemudian ia kembali dan bertanya kepada Rabi’ah: “Selimut berwarna apakah yang harus kubeli?”
“Apa peduliku dengan warna? Pulangkan wang itu kepadaku kembali,” Rabi’ah berkata.
Rabi’ah dengan keasyikannya
Suatu hari di musim bunga, Rabi’ah memasuki tempat tinggalnya, kemudian menjenguk keluar kerana pelayannya berseru: “Ibu, keluarlah dan saksikanlah apa yang telah dilakukan oleh Allah Maha Pencipta.”
“Lebih baik engkaulah yang masuk ke mari,” Rabi’ah menjawab, “Dan saksikanlah Allah Pencipta itu sendiri. Aku sedemikian asyik menatap Allah Yang Maha Pencipta sehingga aku tidak menghiraukan lagi terhadap ciptaan-ciptaan-Nya.”
Rabi’ah memotong daging
Beberapa orang datang mengunjungi Rabi’ah dan menyaksikan ia sedang memotong seketul daging dengan giginya.
“Apakah engkau tidak mempunyai pisau untuk memotong daging itu? Mereka bertanya.
“Aku tidak pernah menyimpan pisau di dalam rumah ini kerana takut terluka,” jawab Rabi’ah.
Rabi’ah berpuasa
Rabi’ah berpuasa selama seminggu. Sepanjang berpuasa itu ia tidak makan dan tidak tidur. Setiap malam ia asyik mengerjakan solat dan berdoa. Lapar yang dirasakannya sudah tidak tertahan lagi. Seorang tetamu masuk ke rumah Rabi’ah membawa semangkuk makanan. Rabi’ah menerima makanan itu. Kemudian ia pergi mengambil lampu. Ketika itu ternyata seekor kucing telah melanggar mangkuk itu.
“Akan kuambil sekendi air dan aku akan berbuka puasa,” Rabi’ah berkata.
“Ketika ia kembali dengan sekendi air ternyata lampu telah padam. Ia hendak meminum air itu dalam kegelapan tetapi kendi itu terlepas dari tangannya dan jatuh, pecah bertaburan. Rabi’ah meratap dan mengeluh sedemikian menyayat hati seolah-olah sebahagian rumahnya telah dimakan api.
Rabi’ah menangis: “Ya Allah, apakah yang telah Engkau perbuat terhadap hamba-Mu yang tidak berdaya ini?”
“Berhati-hatilah Rabi’ah,” sebuah seruan terdengar di telinganya. “Janganlah engkau sampai mengharapkan bahawa Aku akan memberikan semua kenikmatan dunia kepadamu sehingga pengabdianmu kepada-Ku lenyap dalam hatimu. Pengabdian kepada-Ku dan kenikmatan-kenikmatan dunia tidak dapat dipadukan di dalam satu hati. Rabi’ah, engkau menginginkan suatu hal sedang Aku menginginkan hal yang lain. Hasrat-Ku dan hasratmu tidak dapat dipadukan di dalam satu hati.”
Setelah mendengar celaan ini, Rabi’ah berkata: “Kulepaskan hatiku dari dunia dan kubuang segala keinginan dalam hatiku sehingga selama tiga puluh tahun yang terakhir ini, apabila melakukan solat, maka aku menganggapnya sebagai solatku yang terakhir.”
Rabi’ah diuji lelaki
Beberapa orang mengunjungi Rabi’ah untuk mengujinya. Mereka ingin memerangkap Rabi’ah dengan mengucapkan kata-kata yang tidak difikirkannya terlebih dahulu.
“Segala macam kebajikan telah dibahagikan kepada setiap kaum lelaki. Mahkota kenabian telah diletakkan di kepala kaum lelaki. Tali kebangsawanan telah diikatkan di pinggang kaum lelaki. Tidak ada seorang perempuan pun yang telah diangkat oleh Allah menjadi Nabi,” mereka berkata.
“Semua ini memang benar. Tetapi kesombongan, memuja diri sendiri dan ucapan: “Bukankah aku Tuhanmu Yang Maha Tinggi” tidak pernah bertapak di dalam dada perempuan. Dan tidak ada seorang perempuan pun yang menghitung. Semua ini adalah bahagian kaum lelaki.”
Rabi’ah sakit tenat
Ketika Rabi’ah menderita sakit yang tenat, ditanya kepadanya apakah penyebab penyakitnya itu.
“Aku telah melihat syurga dan Allah telah menghukum diriku,” jawab Rabi’ah.
Kemudian Hasan al-Basri datang untuk mengunjungi Rabi’ah.
“Aku mendapati salah seorang pemuka kota Basrah berdiri menunggu di pintu pertapaan Rabi’ah. Ia hendak memberikan sebekas emas kepada Rabi’ah dan ia menangis. Aku bertanya kepadanya: “Mengapakah engkau menangis?” Jawabnya: “Aku menangis kerana wanita solehah zaman ini. Kerana jika berkah hidupnya tidak ada lagi, celakalah umat manusia. Aku telah membawakan wang sekadar untuk membiayai perawatannya tetapi aku khuatir kalau-kalau Rabi’ah tidak mahu menerimanya. Pujuklah Rabi’ah agar ia mahu menerima wang ini.”
Maka masuklah Hasan ke dalam pertapaan Rabi’ah dan memujuknya untuk menerima wang itu. Rabi’ah memandang Hasan dan berkata, “Dia telah menafkahi orang-orang yang menghujah-Nya. Apakah Dia tidak akan menafkahi orang-orang yang mencintai-Nya?” Sejak aku mengenal-Nya, aku telah berpaling dari manusia ciptaan-Nya. Aku tidak tahu apakah kekayaan seseorang itu halal atau tidak, maka betapakah aku dapat menerima pemberiannya? Pernah aku menjahit pakaian yang koyak dengan diterangi lampu dunia. Beberapa saat hatiku lalai tetapi akhirnya akupun sedar. Pakaian itu kukoyak semula kepada bahagian-bahagian yang telah kujahit itu dan hatiku menjadi lega. Mintalah kepadanya agar ia tidak membuat hatiku lalai lagi.”
Rabi’ah yang sakit menerima kunjungan sahabat
Abdul Wahid Amir mengisahkan bahawa ia bersama Sufyan ats-Tsauri menziarahi Rabi’ah ketika sakit tetapi kerana segan mereka tidak berani menegurnya.
“Engkaulah yang berkata,” kataku kepada Sufyan.
“Jika engkau berdoa nescaya penderitaanmu ini akan hilang.”
Rabi’ah menjawab: “Tidakkah engkau tahu siapa yang menhendaki aku menderita seperti ini? Bukankah Allah?”
“Ya,” Sufyan membenarkan.
“Betapa mungkin, engkau menyuruhku untuk memohon hal yang bertentangan dengan kehendak-Nya? Bukankah tidak baik apabila kita menentang Sahabat kita sendiri?”
“Apakah yang engkau inginkan, Rabi’ah?” Sufyan bertanya pula.
“Sufyan, engkau adalah seorang yang terpelajar! Tetapi engkau bertanya demikian? Demi kebesaran Allah telah dua belas tahun lamanya aku menginginkan buah kurma segar. Engkau tentu tahu bahawa di kota Basrah buah kurma sangat murah harganya, tetapi hingga saat ini aku tidak pernah memakannya. Aku ini hanyalah hamba-Nya dan apakah hak seorang hamba untuk menginginkan sesuatu? Jika aku menginginkan sesuatu sedang Allah tidak menginginkannya, maka kafirlah aku. Engkau harus menginginkan segala sesuatu yang diinginkan-Nya semata-mata agar engkau dapat menjadi hamba-Nya yang sejati. Tetapi lainlah persoalannya jika Tuhan sendiri memberikannya.”
Sufyan terdiam. Kemudian ia berkata kepada Rabi’ah: “Kerana aku tidak dapat berbicara tentang dirimu, maka engkaulah yang berbicara tentang diriku.”
“Engkau adalah manusia yang baik kecuali dalam satu hal: Engkau mencintai dunia. Engkau pun suka membacakan hadis-hadis.” Yang terakhir ini dikatakan Rabi’ah dengan maksud bahawa membacakan hadis-hadis tersebut adalah suatu perbuatan yang mulia.
Sufyan merasa sangat susah hati dan memohon: “Ya Allah, kasihilah aku!”
Tetapi Rabi’ah mencelanya dengan berkata: “Tidak malukah engkau mengharapkan kasih Allah sedangkan engkau sendiri tidak mengasihi-Nya?”
Rabi’ah menasihati Malik bin Dinar
Malik bin Dinar mengisahkan sebagai berikut: Ketika mengunjungi Rabi’ah, kulihat dia menggunakan gayung pecah untuk minum dan bersuci, sehelai tikar dan sebiji batu-bata yang kadang-kadang digunakannya sebagai bantal. Menyaksikan semua itu hatiku menjadi sedih.
“Aku mempunyai ramai kawan yang kaya, jika engkau menghendaki sesuatu akan kumintakan kepada mereka,” aku berkata kepada Rabi’ah.
“Malik, engkau telah melakukan kesalahan yang besar. Bukankah yang menafkahi aku dan yang menafkahi mereka adalah satu?’ soal Rabi’ah.
“Ya,” jawabku.
“Apakah yang memberi kepada orang-orang miskin itu lupa kepada orang-orang miskin kerana kemiskinan mereka? Dan apakah Dia ingat kepda orang-orang yang kaya kerana kekayaan mereka?” tanya Rabi’ah.
“Tidak,” jawabku.
“Jadi, kerana Dia mengetahui keadaanku, bagaimanakah aku harus mengingatkan-Nya? Beginilah yang dikehendaki-Nya, dan aku menghendaki seperti yang dikehendaki-Nya,” Rabi’ah menerangkan lagi.
Rabi’ah dengan ucapan-ucapan sahabatnya
Pada suatu hari, Hasan al-Basri, Malik bin Dinar dan Syaqiq al-Balkhi mengunjungi Rabi’ah yang sedang terbaring dalam keadaan sakit.
“Seorang manusia tidak dapat dipercayai kata-katanya jika ia tidak tabah menanggung ujian dari Allah,” kata Hasan memulai percakapannya.
“Kata-katamu itu menunjukkan engkau seorang yang ego,” Rabi’ah membalas.
Kemudian giliran Syaqiq pula berkata: “Seorang manusia itu tidak dapat dipercayai kata-katanya jika ia tidak bersyukur atas pemberian Allah.”
“Ada perkara yang lebih baik daripada itu,” jawab Rabi’ah.
Malik bin Dinar pula berkata: “Seorang manusia tidak dapat dipercayai kata-katanya jika ia tidak merasa bahagia ketika menerima ujian Allah.”
“Masih ada yang lebih baik daripada itu,” Rabi’ah mengulangi jawapannya.
“Jika demikian, katakanlah kepada kami,” mereka mendesak Rabi’ah.
Maka Rabi’ah berkata: “Seorang manusia tidak dapat dipercayai kata-katanya jika ia tidak lupa kepada ujian dari Allah, ketika ia merenungkan-Nya.”
Rabi’ah dengan seorang cendikiawan
Seorang cerdik pandai yang terkemuka di kota Basrah mengunjungi Rabi’ah yang sedang terbaring sakit. Sambil duduk di sisi Rabi’ah ia mencaci maki dunia.
Rabi’ah berkata kepadanya: “Sesungguhnya engkau sangat mencintai dunia ini, Jika engkau tidak mencintai dunia tentu engkau tidak akan menyebut-nyebutnya berulangkali seperti ini. Seorang pembelilah yang sentiasa mencela barang-barang yang hendak dibelinya. Jika engkau tidak merasa berkepentingan dengan dunia ini tentulah engkau tidak akan memuji-muji atau memburuk-burukkannya. Engkau menyebut-nyebut dunia ini seperti kata peribahasa, barangsiapa mencintai sesuatu hal maka ia sering menyebut-nyebutnya.”
Saat Rabi’ah meninggal dunia
Ketika tiba saatnya Rabi’ah harus meninggalkan dunia fana’ ini, orang-orang yang menziarahinya meninggalkan kamarnya dan menutup pintu kamar itu dari luar. Setelah itu mereka mendengar suara yang berkata: “Wahai jiwa yang damai, kembalilah kepada Tuhanmu dengan berbahagia.”
Beberapa saat kemudian tidak ada lagi suara yang terdengar dari kamar Rabi’ah. Mereka lalu membuka pintu kamar itu dan mendapatkan Rabi’ah telah meninggal dunia.
Setelah Rabi’ah meninggal dunia, ada yang bertemu dengannya dalam sebuah mimpi. Kepadanya ditanyakan.
“Bagaimanakah engkau menghadapi Munkar dan Nakir?”
Rabi’ah menjawab: “Kedua malaikat itu datang kepadaku dan bertanya: “Siapakah Tuhanmu?” Aku menjawab: “Pergilah kepada Tuhanmu dan katakan kepada-Nya: “Di antara beribu-ribu makhluk yang ada, janganlah Engkau melupakan seorang wanita tua yang lemah. Aku hanya memiliki Engkau di dunia yang luas, tidak pernah lupa kepada-Mu, tetapi mengapakah Engkau mengirimkan utusan sekadar menanyakan “Siapakah Tuhanmu” kepadaku?”
Doa-doa Rabi’ah
“Ya Allah, apa pun yang akan Engkau kurniakan kepadaku di dunia ini, berikanlah kepada musuh-musuh-mu, dan apa pun yang akan Engkau kurniakan kepadaku di akhirat nanti, berikanlah kepada sahabat-sahabat-Mu, kerana Engkau sendiri cukuplah bagiku.”
“Ya Allah, jika aku menyembah-Mu kerana takut kepada neraka, bakarlah aku di dalam neraka; dan jika aku menyembah-Mu kerana mengharapkan syurga, campakkanlah aku dari dalam syurga; tetapi jika aku menyembah-Mu demi Engkau semata, jangan Engkau enggan memperlihatkan keindahan wajah-Mu yang abadi kepadaku.”
“Ya Allah, segala jerih payahku dan semua hasratku di antara segala kesenangan dunia ini adalah untuk mengingati Engkau. Dan di akhirat nanti, di antara segala kesenangan akhirat, adalah untuk berjumpa dengan-Mu. Begitulah halnya diriku, seperti yang telah kukatakan. Kini, perbuatlah seperti yang Engkau kehendaki.”
Kisah Para Wali - Al-Fuzail bin Iyaz
oleh Kamal Arif Maz pada Apr.28, 2010, di Community, General
Kisah Para Wali
Episod dari Tazkirat Al-Auliya
“Orang yang cinta Allah itu hilang, dalam melihat Allah hingga lenyap dirinya, dan dia tidak boleh membezakan yang mana penderitaan dan yang mana kesenangan.”
Diambil dari buku yang ditulis oleh Farid Al-Din Attar
Al-Fuzail bin Iyaz (Bahagian 1)
Abu Ali al-Fuzail bin Iyaz at-Talaqani dilahirkan di Khurasan. Diriwayatkan bahawa sewaktu meningkat remaja, Fuzail adalah seorang pencuri. Setelah bertaubat, Fuzail pergi ke Kufah kemudian ke Makkah, di mana ia tinggal beberapa tahun lamanya hingga wafatnya pada tahun 187H/803M. Nama Fuzail cukup terkenal sebagai seorang ahli hadis, dan keberaniannya berdakwah kepada Harun ar-Rasyid menjadi sebutan orang.
Fuzail penyamun dan kisah taubatnya
Sewaktu masih remaja, Fuzail mendirikan khemah di tengah-tengah padang pasir, iaitu antara Merv dan Bawar. Jubahnya dibuat dari bahan kasar, topinya dibuat dari bulu kambing, dan di lehernya sentiasa tergantung sebuah tasbih. Fuzail mempunyai ramai kawan yang semuanya terdiri dari pencuri dan penyamun. Siang dan malam mereka merompak, membunuh dan membawa hasil rampasan mereka kepada Fuzail kerana ia adalah ketua mereka. Fuzail mengambil sesuatu yang disukainya, sesudah itu membahagi-bahagikan selebihnya kepada semua sahabatnya. Ia selalu ingat tentang sesuatu dan tidak pernah lupa dari pertemuan-pertemuan mereka. Setiap anggota baru yang sekali saja tidak menghadiri pertemuan, Fuzail akan mengeluarkannya dari kumpulan mereka.
Suatu hari sebuah kafilah yang besar melalui daerah mereka. Fuzail dan sahabat-sahabatnya telah menunggu kedatangan kalifah tersebut. Di dalam rombongan itu ada seorang lelaki yang pernah mendengar desas-desus mengenai perompak ini. Ketika ia terlihat kumpulan perompak itu dari jauh, ia pun berfikir, bagaimanakah ia harus menyembunyikan sebekas emas yang dimilikinya.
“Bekas emas ini akan kusembunyikan,” ia berkata di dalam hati. “Dengan demikian jika para perompak menyamun rombongan ini, aku masih mempunyai modal untuk dipusingkan.”
Ia menyimpang ke jalan raya. Kemudian ia melihat sebuah khemah dan dekat khemah itu ada seorang yang wajah dan pakaiannya seperti seorang petapa. Maka bekas emas itu pun diberikannya kepada orang itu yang sebenarnya adalah Fuzail sendiri.
“Simpan bekasmu itu di sudut khemahku,” Fuzail berkata kepadanya. Lelaki itu melakukan seperti yang dikatakan Fuzail. Kemudian ia kembali ke rombongannya, tetapi ternyata mereka telah disamun oleh Fuzail. Semua barang dagangan mereka telah dirampas manakala kaki dan tangan mereka diikat. Lelaki itu membuka ikatan tersebut. Setelah mengumpulkan harta benda mereka yang masih tinggal, mereka pergi dari tempat kejadian itu. Lelaki tadi kembali ke khemah Fuzail untuk mengambil emasnya. Ia melihat Fuzail sedang berkumpul dengan perompak-perompak tadi dan membahagi-bahagikan harta rampasan mereka.
“Celaka, ternyata aku telah memberi emasku kepada seorang penyamun,” lelaki itu mengeluh.
Tetapi Fuzail tiba-tiba memanggilnya dan ia datang menghampiri.
“Apakah yang engkau mahu,” lelaki itu bertanya kepada Fuzail.
“Ambillah barangmu dari tempat tadi dan setelah itu tinggalkan tempat ini.”
Lelaki itu segera berlari ke khemah Fuzail, mengambil emasnya dan meninggalkan tempat itu.
Dalam keadaan kehairanan, kawan-kawan Fuzail berkata: “Dari setiap kafilah itu kita tidak mendapatkan satu dirham pun di dalam bentuk tunai, tetapi mengapa engkau mengembalikan sepuluh ribu dirham itu kepadanya?”
Fuzail menjawab: “Ia telah mempercayaiku seperti aku mempercayai Allah akan menerima taubatku nanti. Aku hargai kepercayaannya itu agar Allah menghargai kepercayaanku pula.”
Pada hari lain mereka merompak sekumpulan kafilah lagi dan merampas harta benda mereka. Ketika sahabat-sahabat Fuzail sedang makan, seorang anggota kafilah itu datang menghampiri mereka dan bertanya: “Siapakah pemimpim kamu?”
Salah seorang perompak itu menjawab: “Ia tidak ada di sini. Ia sedang solat di sebalik pokok yang terletak di pinggir sungai itu.”
“Tetapi sekarang ini belum tiba waktunya untuk solat,” lelaki itu berkata.
“Ia sedang melakukan solat sunat,” salah seorang di antara penyamun-penyamun itu menjelaskan.
“Dan ia tidak makan bersama-sama dengan kamu?” lelaki itu bertanya lagi.
“Ia sedang puasa,” jawab salah seorang.
“Tetapi sekarang ini bukan bulan Ramadhan?”
“Ia sedang puasa sunat.”
Dengan merasa sangat hairan lelaki tadi menghampiri Fuzail yang sedang kusyuk mengerjakan solat. Setelah selesai solatnya ia berkata kepada Fuzail: “Ada sebuah peribahasa yang mengatakan, hal-hal yang bertentangan tidak dapat disatukan. Bagaimanakah mungkin seseorang berpuasa yang merompak , solat tetapi membunuh orang muslim pada waktu yang sama?”
“Apakah engkau memahami al-Quran?” Fuzail bertanya kepadanya.
“Ya,” jawab lelaki itu.
“Tidakkah Allah Yang Maha Berkuasa berkata: Orang-orang lain telah mengakui dosa-dosa mereka dan mencampuradukkan perbuatan-perbuatan yang baik dengan perbuatan-perbuatan yang jahat?”
Lelaki itu terdiam tidak berkata apa-apa.
Orang-orang mengatakan bahawa pada dasarnya Fuzail adalah seorang yang berjiwa pahlawan dan berhati mulia. Apabila di dalam kafilah terdapat seorang wanita, maka barang-barang wanita itu tidak diusiknya. Begitu juga harta-benda orang yang miskin tidak akan dirampas oleh Fuzail. Untuk setiap korbannya, ia selalu meninggalkan sebahagian dari harta bendanya yang dirampas. Sebenarnya semua kecenderungan Fuzail menghala ke arah perbuatan yang baik.
Pada awal sikap jahatnya, Fuzail tergila-gila kepada seorang wanita. Fuzail selalu menghadiahkan hasil rampasan kepada kekasihnya itu. Kerana terlalu cinta Fuzail sering memanjat dinding rumah wanita itu tanpa peduli keadaan cuaca yang bagaimana pun. Ketika berbuat begitu, ia selalu menangis.
Suatu malam, ketikia ia sedang memanjat rumah kekasihnya itu, lalu sebuah kafilah dan di antara mereka ada yang membacakan ayat yang berbunyi “Belumkah tiba masanya hati orang-orang yang percaya merendah diri untuk mengingat Allah?”
Ayat ini bagaikan anak panah menembus jantung Fuzail, seolah-olah suatu ingatan kepadanya: “Wahai Fuzail, berapa lama lagikah engkau akan menyamun para kafilah? Telah tiba masanya kami akan menyamunmu pula!”
Fuzail terjatuh dan berkata: “Memang telah tiba masanya, malah hampir terlewat!”
Fuzail merasa bingung dan malu. Ia berlari ke arah sebuah bukit. Ternyata di situ sebuah kafilah sedang berkhemah. Mereka berkata: “Marilah kita meneruskan perjalanan.” Tetapi salah seorang daripada mereka melarang: “Jangan, Fuzail sedang menanti dan akan menghalang kita.”
Mendengarkan kata-kata mereka itu Fuzail berkata: “Berita gembira! Fuzail telah bertaubat!”
Setelah berkata begitu ia pun pergi. Sepanjang hari ia berjalan sambil menangis. Hal ini sangat menggembirakan orang-orang yang membenci dirinya. Kepada setiap orang di antara sahabat-sahabatnya, Fuzail meminta supaya janji setia di antara mereka diputuskan. Akhirnya hanya tinggal seorang Yahudi di Baward. Fuzail meminta supaya janji setia di antara mereka berdua diputuskan tetapi Yahudi itu tidak mahu.
“Sekarang kita dapat mempermain-mainkan pengikut Muhammad.” Yahudi itu berbisik kepada teman-temannya sambil ketawa.
“Jika engkau menginginkan aku memutuskan janji setia yang telah kita ikrarkan itu, maka ratakanlah bukit itu.” Yahudi itu berkata kepada Fuzail sambil menunjukkan ke arah sebuah bukit pasir. Bukit itu tidak mungkin dapat dipindahkan oleh seorang manusia, kecuali mengambil masa yang lama. Fuzail yang malang itu mula mencangkul bukit itu sedikit demi sedikit, tetapi bagaimanakah tugas tersebut dapat diselesaikan? Pada suatu pagi, ketika Fuzail dalam keadaan keletihan, tiba-tiba datang angin kencang yang meniup bukit pasir tersebut sehingga rata. Setelah melihat betapa bukit pasir itu telah menjadi rata Yahudi itu merasa sangat hairan dan berkata kepada Fuzail: “Sesungguhnya aku telah bersumpah, bahawa aku tidak akan memutuskan janji setia kita sebelum engkau memberikan wang kepadaku. Oleh itu masuklah ke dalam rumahku, ambil segenggam wang emas yang terletak di bawah permaidani dan berikan kepadaku. Dengan begitu sumpahku akan dipenuhi dan janji setia di antara kita dapat diputuskan.”
Fuzail masuk ke dalam rumah orang Yahudi itu. Sesungguhnya Yahudi itu telah menaruh selonggok tanah di bawah permaidani itu. Tetapi ketika Fuzail meraba ke bawah permaidani itu dan menarik tangannya keluar, ternyata yang didapatinya adalah segenggam penuh dinar emas. Dinar-dinar emas ini diserahkannya kepada orang Yahudi itu.
“Islamkan aku!” Yahudi itu berkata kepada Fuzail.
Fuzail mengislamkannya dan ia jadilah seorang muslim.
Kemudian Yahudi itu berkata kepada Fuzail: “Tahukah engkau mengapa aku mahu memeluk Islam? Dulu aku masih ragu, yang manakah agama yang benar. Aku pernah membaca di dalam Taurat: “Jika seseorang yang benar-benar bertaubat, kemudian meletakkan tangannya ke atas tanah, maka tanah itu akan berubah menjadi emas.” Sesungguhnya di bawah permaidani tadi telah kuletak sedikit tanah untuk membuktikan taubatmu. Dan ketika tanah itu berubah menjadi emas kerana tersentuh oleh tanganmu, tahulah aku engkau benar-benar telah bertaubat dan bahawa agamamu adalah agama yang benar.”
Permulaan hidup baru Fuzail
Fuzail memohon kepada seseorang: “Demi Allah, ikatlah kakiku dan tanganku, kemudian bawalah aku ke hadapan sultan agar ia mengadiliku kerana berbagai kejahatan yang pernah kulakukan.”
Orang itu memenuhi permohonan Fuzail. Ketika sultan melihat Fuzail, terlihat olehnya tanda-tanda manusia berbudi pada dirinya.
“Aku tidak dapat mengadilinya.” Sultan berkata. Kemudian ia memerintahkan Fuzail dihantar pulang dalam keadaan baik. Ketika sampai di rumahnya Fuzail menangis dengan suara yang lantang.
“Dengarlah Fuzail yang sedang menangis dengan suara yang lantang begitu! Mungkin ia sedang diseksa,” orang-orang berkata.
“Memang benar, aku sedang diseksa!” Fuzail menjawab.
“Apa yang dipukul?” mereka bertanya.
“Batinku!” jawab Fuzail.
Kemudian Fuzail menjumpai isterinya. “Isteriku,” katanya. “Aku akan pergi ke rumah Allah. Jika engkau suka, engkau akan kubebaskan.”
Tetapi isterinya menjawab: “Aku tidak mahu berpisah dari sisimu. Ke mana pun engkau pergi aku akan bersamamu.”
Maka berangkatlah mereka ke Makkah. Allah Yang Maha Kuasa telah menyenangkan perjalanan mereka. Di kota Mekah mereka tinggal dekat Kaabah dan dapat bertemu dengan beberapa orang soleh. Untuk beberapa lama Fuzail bergaul rapat dengan imam Abu Hanifah. Dan mengenai kekerasan disiplin diri Fuzail telah banyak kisahnya yang ditulis orang. Di kota Makkah ini terbukalah kesempatan Fuzail untuk berkhutbah dan penduduk kota sentiasa datang beramai-ramai untuk mendengarkan kata-katanya. Nama Fuzail sentiasa menjadi sebutan di seluruh pelosok dunia, sehingga sanak keluarganya meninggalkan Bavard menuju ke Makkah untuk menemuinya. Mereka mengetuk pintu rumah Fuzail namun Fuzail tidak menjawab. Mereka tidak mahu meninggalkan tempat itu, maka naiklah Fuzail ke atap rumahnya dan dari sana ia berseru kepada mereka: “Wahai penganggur-penganggur, semoga Allah memberikan pekerjaan kepada kamu!”
Berkali-kali Fuzail mengucapkan kata-kata yang pedas seperti itu sehingga semua sanak keluarganya menangis. Akhirnya kerana putus asa untuk dapat berbual dengan Fuzail, mereka pun meninggalkan tempat itu. Fuzail masih tetap di atas atap rumah dan tidak mahu membukakan pintu rumahnya.
Fuzail dengan Khalifah Harun ar-Rasyid
Pada suatu malam, Harun ar-Rasyid memanggil Fazl Barmesid, salah seorang di antara pengawal kesayangannya. Harun ar-Rasyid berkata kepada Fazl: “Malam ini bawalah aku kepada yang boleh menunjukkan kapadaku siapakah aku ini sebenarnya. Aku telah jemu dengan segala kebesaran dan kebanggaan.”
Fazl membawa Harun ar-Rasyid ke rumah Sufyan al-Uyaina. Mereka mengetuk pintu dan dari dalam Sufyan menyahut: “Siapakah itu?”
“Pemimpin kaum Muslimin,” jawab Fazl.
Sufyan berkata: “Mengapa sultan mahu menyusahkan diri. Mengapa tidak diberitahu sahaja padaku sehingga aku datang sendiri menemuinya?”
Mendengar ucapan tersebut Harun ar-Rasyid berkata: “Ia bukan orang yang kucari. Ia pun mengagungkanku seperti orang lain.”
“Jika demikian, Fuzail bin ‘Iyaz adalah orang yang engkau cari. Pergilah kepadanya.” Kemudian Sufyan membacakan ayat: “Apakah orang-orang yang perbuat aniaya menyangka bahawa Kami akan menyamakan mereka dengan orang-orang yang beriman serti melakukan perbuatan-perbuatan yang soleh?”
Harun ar-Rasyid mengatakan: “Seandainya aku menginginkan nasihat-nasihat yang baik nescaya ayat itu telah mencukupi.”
Kemudian mereka mengetuk pintu rumah Fuzail. Dari dalam Fuzail bertanya: “Siapakah itu?”
“Pemimpin kaum Muslimin,” jawab Fazl.
“Apakah urusannya dengan aku dan apakah urusanku dengan dia?” tanya Fuzail.
“Bukankah suatu kewajipan untuk mematuhi orang yang memegang kuasa?” sela Fazl.
“Jangan kamu menggangguku,” seru Fuzail.
“Perlukah aku menolak pintu dengan kekuasaanku sendiri atau dengan perintah sultan?” tanya Fazl.
“Tidak ada sesuatu hal yang disebut kekuasaan,” jawab Fuzail. “Jika engkau secara paksa menceroboh masuk, engkau tahu apa yang engkau lakukan.”
Harun ar-Rasyid melangkah masuk, Begitu Harun menghampirinya, Fuzail meniup lampu sehingga padam agar ia tidak dapat melihat wajah sultan. Harun ar-Rasyid menghulurkan tangannya dan disambut oleh tangan Fuzail yang kemudian berkata: “Betapa lembut dan halus tangan ini! Semoga tangan ini terhindar dari api neraka!”
Setelah berkata demikian Fuzail berdiri dan berdoa. Harun ar-Rasyid meresa hatinya sangat tersentuh dan tidak dapat menahan tangisannya.
“Katakanlah sesuatu kepadaku,” Harun bermohon kepada Fuzail.
Fuzail mengucapkan salam kepadanya dan berkata: “Sebelum ini, bapa saudara Nabi Muhammad, pernah meminta kepada beliau: “Jadikanlah aku pemimpin bagi sebahagian umat manusia.” Nabi menjawab: “Pak cik, untuk sesaat aku pernah mengangkatmu menjadi pemimpim dirimu sendiri.” Dengan jawapan ini yang dimaksudkan Nabi adalah: Sesaat mematuhi Allah adalah lebih baik daripada seribu tahun dipatuhi oleh manusia. Kemudian Nabi menambah lagi: “Kepimpinan akan menjadi penyesalan pada hari kebangkitan nanti.”
“Ceritakanlah,” Harun ar-Rasyid meminta.
“Ketika diangkat menjadi khalifah, Umar bin Abdul Aziz memanggil Salim bin Abdullah, Raja’ bin Hayat, dan Muhammad bin Kaab. Umar berkata kepada mereka: “Hatiku sangat gelisah kerana ujian ini. Apakah yang harus kulakukan? Aku tahu bahawa kedudukan yang tinggi ini adalah satu ujian walaupun orang-orang lain menganggapnya sebagai satu kurnia. Salah seorang di antara ketiga sahabat Umar itu berkata: “Jika engkau ingin terlepas dari hukuman Allah di akhirat nanti, pandanglah setiap Muslim yang lanjut usia sebagai ayahmu sendiri, setiap Muslim yang masih kanak-kanak sebagai anakmu sendiri, dan perlakukanlah mereka sebagaimana seharusnya seorang memperlakukan ayahnya, saudaranya dan anak-anaknya.”
“Ceritalah lagi,” Harun ar-Rasyid meminta.
“Anggaplah negeri Islam sebagai rumahmu sendiri dan penduduknya sebagai keluargamu sendiri. Ziarahilah ayahmu, hormatilah saudaramu dan bersikap baiklah kepada anakmu. Aku sayangkan jika wajahmu yang tampan ini akan terbakar hangus di dalam neraka. Takutilah Allah dan taatilah perintah-perintah-Nya. Berhati-hatilah dan bersikaplah secara bijaksana, kerana pada hari Akhirat nanti Allah akan meminta apa yang dipertanggungjawabkan olehmu sehubungan dengan setiap Muslim dan Dia akan memeriksa apakah engkau telah berlaku adil kepada setiap orang. Apabila ada seorang wanita uzur yang tertidur dalam keadaan lapar, di hari Akhirat nanti ia akan menarik pakaianmu dan akan memberikan kesaksian yang akan memberatkan dirimu.”
Harun ar-Rasyid menangis dengan sangat kuatnya sehingga nampak ia akan jatuh pengsan. Melihat hal ini wazir Fazl menyentak Fuzail: “Cukup! Engkau telah membunuh pemimpin kaum Muslimin.”
“Diamlah Hamam! Engkau dan orang-orang yang engkau inilah yang telah menjerumuskan dirinya, kemudian engkau katakan aku yang membunuhnya. Apakah yang kulakukan ini suatu pembunuhan?”
Mendengar kata-kata Fuzail ini tangisan Harun ar-Rasyid semakin menjadi-jadi. “Ia menyebutmu Hamam,” kata Harun ar-Rasyid memandang Fazl. “Kerana ia menyamakan diriku dengan Firaun.”
Kemudian Harun bertanya kepada Fuzail: “Apakah engkau mempunyai hutang yang belum dijelaskan?”
“Ya,” jawab Fuzail. “hutang kepatuhan kepada Allah. Seandainya Dia memaksaku untuk menjelaskan hutang ini celakalah aku!”
“Yang kumaksudkan adalah hutang kepada manusia, Fuzail,” Harun menegaskan.
“Aku bersyukur kepada Allah yang telah mengurniakan kepadaku sedemikian banyaknya rezeki sehingga tidak ada keluh-kedah yang harus kusampaikan kepada hamba-hamba-Nya.”
Kemudian Harun ar-Rasyid menaruh sebuah bekas yang berisi seribu dinar di hadapan Fuzail sambil berkata: “Ini adalah wang halal yang diwariskan oleh ibuku.”
Tetapi Fuzail mengutuknya: “Wahai pemimpim kaum Muslimin, nasihat-nasihat yang kusampaikan kepadamu ternyata tidak ada faedahnya. Bahkan engkau telah memulakan lagi perbuatan salah dan mengulangi kezaliman.”
“Apakah perbuatan yang salah telah kulakukan?” tanya Harun ar-Rasyid.
“Aku menyerumu ke jalan keselamatan tetapi engkau menjerumuskan aku ke dalam godaan. Bukankah hal itu suatu kesalahan? Telah kukatakan kepadamu, kembalikanlah segala sesuatu yang ada padamu kepada pemiliknya yang berhak. Tetapi engkau memberikannya kepada yang tidak patut menerimanya. Aku memberi nasihat kepadamu tanpa mengenakan sedirham pun.”
Setelah berkata demikian, Fuzail berdiri dan melemparkan wang-wang emas itu keluar.
“Benar-benar seorang manusia yang hebat!” Harun ar-Rasyid berkata ketika ia meninggalkan rumah Fuzail. “Sesungguhnya Fuzail adalah seorang raja bagi umat manusia. Ia sangat alim dan dunia ini terlalu kecil pada pandangannya.”
Fuzail bersama anaknya
Suatu hari Fuzail memangku anak yang berumur empat tahun. Tanpa disengaja bibir Fuzail menyentuh pipi anak itu sebagaimana yang sering dilakukan seorang ayah kepada anaknya.
“Apakah ayah cinta kepadaku?” anak itu bertanya kepada Fuzail.
“Ya,” jawab Fuzail.
“Apakah ayah cinta kepada Allah?”
“Ya.”
“Berapa banyakkah hati yang ayah miliki?”
“Satu,” jawab Fuzail.
“Dapatkah ayah mencintai dua hal dengan satu hati,” anaknya meneruskan pertanyaannya.
Fuzail sedar bahawa yang berkata-kata itu bukanlah anaknya sendiri. Sesungguhnya kata-kata itu adalah petunjuk dari Ilahi. Kerana takut dimurkai Allah, Fuzail memukul-mukul kepalanya sendiri dan memohon ampun kepada-Nya. Ia memutuskan kasih sayang kepada si anak kemudian dicurahkan kepada Allah semata-mata.
Fuzail dengan jemaah di Arafah
Pada suatu hari Fuzail sedang berada di Padang Arafah. Semua jemaah yang berada di sana menangis, meratap, menyerahkan diri dan memohonkan ampun dengan segala kerendahan hati.
“Maha Besar Allah!” seru Fuzail. “Jika manusia ramai ini secara serentak menghadap kepada seseorang dan mereka semua meminta sekeping wang perak kepadanya, apakah yang dilakukannya? Apakah orang itu akan mengecewakan manusia-manusia yang banyak ini?”
“Tidak!” orang ramai menjawab.
“Jadi,” Fuzail melanjutkan. “Sudah tentu bagi Allah Yang Maha Besar untuk mengampunkan kita semua adalah lebih mudah dari orang tadi untuk memberikan sekeping wang perak. Dia adalah Yang Maha Kaya di antara yang kaya dan kerana itu sangat besar harapan kita bahawa Dia akan mengampunkan kita semua.”
Fuzail mendoakan anaknya
Putera Fuzail menderita penyakit susah hendak buang air kecil. Fuzail mendekati anaknya dan mengangkat kedua tangannya sambil berdoa: “Ya Allah, dengan cintaku kepada-Mu sembuhkanlah ia dari penyakit ini.”
Belum sempat Fuzail bangkit dari duduknya anaknya telah segar bugar kembali.
Doa Fuzail
Di dalam doanya Fuzail sering mengucapkan: “Ya Allah, ampunilah aku kerana Engkau Maha Tahu bahawa aku telah bertaubat. Dan janganlah Engkau menghukumku kerana Engkau Maha Berkuasa atas diriku.” Kemudian ia melanjutkan: “Ya Allah, Engkau telah membuatku lapar dan telah membuat anak-anakku lapar. Engkau telah membuatku telanjang dan telah memberikan pelita kepadaku apabila hari telah gelap. Semua ini Engkau lakukan terhadap sahabat-sahabat-Mu. Kerana keluhuran hatinya, apakah Fuzail telah menerima kehormatan-Mu ini?”
Putera Fuzail meninggal dunia
Selama tiga puluh tahun tidak seorang pun pernah melihat Fuzail tersenyum kecuali ketika puteranya meninggal dunia. Pada waktu itulah orang-orang melihat Fuzail tersenyum. Seorang dari mereka menegurnya: Fuzail, mengapakah engkau tersenyum di saat yang seperti ini?”
“Aku menyedari bahawa Allah menghendaki agar anakku mati. Aku tersenyum kerana kehendak-Nya telah terlaksana,” jawab Fuzail.
Fuzail meninggal dunia
Fuzail mempunyai dua orang anak perempuan. Menjelang akhir hayatnya Fuzail menyampaikan wasiat terakhir kepada isterinya: “Apabila aku mati bawalah anak-anak kita ke gunung Jabal Qubais. Di sana hadapkanlah wajahmu dan berdoalah kepada Allah: “Ya Allah, Fuzail menyuruhku untuk menyampaikan pesanannya kepada-Mu: ketika dia hidup kedua anak-anak tidak berdaya ini telah kulindungi dengan sebaik-baiknya. Tetapi setelah Engkau mengurungku di dalam kubur, mereka kuserahkan kepada-Mu kembali.”
Setelah Fuzail dikembalikan, isterinya melakukan seperti yang dipesankan kepadanya. Ia pergi ke puncak gunung Abu Qubais membawa kedua anak perempuannya. Kemudian ia berdoa kepada Allah sambil menangis dan meratap. Kebetulan pada saat itu seorang Raja dari negeri Yaman bersama kedua puteranya melalui tempat itu. Menyaksikan mereka yang menangis dan meratap, Raja itu bertanya: “Apakah kemalangan yang telah menimpa diri kamu?”
Isteri Fuzail menerangkan keadaan mereka. Kemudian Raja berkata: “Jika kedua puterimu kuambil untuk kedua puteraku ini dan tiap-tiap seorang mereka kuberikan sepuluh ribu dinar sebagai mas kahwinnya, apakah engkau merasa senang hati?”
“Ya,” jawab si ibu.
Raja itu segera mempersiapkan usungan, permaidani-permaidani dan kain dari benang emas kemudian membawa ibu itu beserta kedua puterinya ke negeri Yaman.
Menangani Kemarahan
oleh Kamal Arif Maz pada Apr.06, 2010, di Motivasi
Saya pernah ditanya tentang bagaimana hendak menghilangkan tabiat suka marah. Tabiat marah yang melulu. Marah yang tak terkawal. Saya hendak berkongsi apa yang telah saya sampaikan kepada yang bertanya.
Tabiat marah adalah tabiat yang buruk. Ia menggambarkan seseorang yang tidak dapat menerima kebaikan atau keburukan orang lain. Ia menggambarkan orang yang marah itu merasa dirinya lebih baik dari orang lain. Dari segi tahapan nafsu, nafsu amarah adalah yang paling bawah – orang yang sentiasa amarah adalah orang yang sentiasa mengikuti hawa nafsu.
Selain dari itu, marah juga ada yang baik. Sebagai contoh marah sebab hendak mengajar. Marah kepada orang yang menindas. Dan sebagainya. Marah sebegini hanya datang pada masa tertentu sahaja dan habis apabila telah selesai meluahkannya.
Namun marah yang tak mahu reda, sentiasa bergelora, pantang tengok muka dan sebagainya – adalah marah yang datang dari nafsu – yang datang dari orang yang sentiasa merasakan dirinya lebih baik dari orang lain. Ingatlah kisah dimana Allah menyuruh sekelian makhluk sujud kepada Adam yang telah dilantik menjadi khalifah. Semuanya sujud kecuali Iblis. Iblis tidak sujud bukan kerana tidak percaya kepada Allah. Bukan kerana tidak beriman dengan Allah. Bukan kerana tidak kenal Allah. Namun, kerana tidak dapat menerima manusia yang dibuat dari tanah lebih baik dari dia yang dibuat dari api. Sehingga Iblis dilaknat oleh Allah atas sikapnya itu. Maha Suci Allah yang Maha Mengetahui segala sesuatu. Ambillah pengajaran.
Jika anda marahkan orang lain yang tidak mahu berubah sikap – asyik nak ponteng, malas buat kerja, tak nak tolong orang, suka mengenakan orang dan macam-macam perkara yang menyebabkan anda marah – kenangkanlah saat dan ketika dimana anda dahulu seperti orang itu. Yang bodoh, tak reti bahasa, tak faham-faham dan sebagainya. Bersabarlah dengan dia. Bersabarlah dalam menarik dia keluar dari kejahilan itu. Bersabarlah dalam mendidik dia. Sebagaimana ibu-bapa anda bersabar dengan anda dalam membesarkan anda, melayani kerenah dan perangai anda. Sebagaimana Allah sabar dalam mendidik dan menanti anda kembali kepadaNya dalam keadaan yang diredhaiNya.
Allah telah berikan anda peluang, kenapa setelah hanya beberapa saat dan ketika anda mendapat petunjuk dan hidayah, anda hendak berlaku sombong kepada mereka dengan mengherdik mereka yang belum mendapat lagi. Belum masanya Allah hendak memberikan petunjuk dan hidayahNya kepada mereka. Belum masanya Allah hendak membuka pintu hati mereka. Anda rasa anda boleh memberi petunjuk dan hidayah kepada mereka dengan kemarahan anda itu? Fikirkanlah kembali. Bersyukurlah dengan nikmat dan kasih yang telah Allah curahkan kepada anda. Bersyukurkan kepada Allah dengan mencurahkan kasih sayang anda kepada mereka. Dengan menarik mereka keluar dari kejahilan dengan kasih sayang bukan dengan rotan sebagaimana Allah berlembut dengan anda dahulu.
Marahlah diri anda yang berlagak dan sombong itu. Marahlah diri anda yang hilang kawalan disaat-saat genting itu. Bangkitlah dan mohonlah keampunan dari Allah.
Apa yang orang kata itu memang penting. Namun tidaklah sepenting manapun. Yang lebih penting adalah apa yang Allah kata tentang anda. Apa yang malaikat laporkan kepada Allah tentang anda. Apakah malaikat datang kepada Allah dengan mengatakan – “lihatlah Ya Allah, hambaMu itu yang masih berbuat kerosakan walaupun setelah Engkau berikan petunjuk dan hidayah.” Ataupun malaikat datang kepada Allah dengan mengatakan – “Maha Suci Engkau Ya Allah. Sesungguhnya pilihanMu itu tepat. Janji-janjiMu itu benar. HambaMu itu telah kembali kepadaMu. Menjadi cahaya kepada yang lain agar dapat merasai nikmat kasih-sayangMu. Allahuakbar!” Apa yang harus anda pandang adalah, apakah anda telah memberikan yang terbaik dalam membawa mereka kembali kepada Allah, sebagaiman Allah membawa anda kembali kepadaNya?
“2:155 Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar”
Mudah-mudahan kita semua sentiasa diberi petunjuk dan hidayahNya.
Pengubat Duka
oleh Kamal Arif Maz pada Apr.01, 2010, di Motivasi
Mudah-mudahan kita sentiasa dalam dakapan dan pelukan kasih sayang Sang Pencipta, Tuhan Seru sekelian alam, Tuhan Yang Esa, Tuhan yang kita dambakan, Allah SWT.
Janganlah kita pandang musibah, kesusahan, kekurangan dan kehilangan sebagai pembalasan dari Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang. Sanggupkah anda mendatangkan mudarat kepada seseorang yang amat anda sayangi, tatkala cinta itu terasa sangat hebat? Tidak! Bahkan Allah yang Maha Penyayang itu lebih lagi. Segalanya yang telah ditentukan adalah yang terbaik dariNya. Sebagai tanda kasih sayangNya. Kerana tidak sanggup melihat kita menyimpang lebih jauh. Memalingkan wajah kita jauh dariNya. Dia merindukan saat kita menatap wajahNya. Dia merindukan saat-saat kita bahagia di atas jalanNya. Tidak dapat saya gambarkan betapa hebatnya kasihnya Allah.
Janganlah kita mengatakan bahawa Allah itu sanggup melakukan kezaliman. Tidak. Bahkan Allah sangat kasihkan hamba-hambaNya. Cuma hamba-hambaNya yang memalingkan wajah dariNya lantaran tidak dapat merasa kasih yang dicurahkan oleh Allah kepadanya. Masyaallah.
Seorang yang rindukan dan mendambakan kasih Allah sanggup melalui semua itu dengan senyuman. Sebagaimana diceritakan dalam Al-Quran. Jadilah seperti mereka. Senyumlah, demi mengharapkan Allah. Tiada yang lain hanya Dia.
Terimalah keburukan orang lain sebagaimana kita mengharapkan Allah menerima keadaan kita yang hina dina. Adakah anda rasa diri anda cantik? Masih layak untuk dipandang oleh Allah? Memang kita tidak layak! Saya tahu saya tidak layak! Maka terimalah keburukan orang dengan harapan Allah menerima kita seadanya. Ampunkan mereka dengan harapan Allah mengampunkan dosa-dosa kita. Doakanlah agar kita dan mereka sentiasa mendapat petunjuk dan hidayah serta rahmat dari Allah.
Sesungguhnya Allah mengangkat punggung-punggung orang yang beriman. Ujian adalah tanda Allah sayang dan cinta pada kita. Ujian adalah tanda Allah hendak mengangkat kedudukan kita. Sebagai tanda Dia masih memandang kita. Sebagai tanda Dia berkehendakkan kita. Takutlah jika anda tidak menerima ujian Allah. Berbahagialah orang-orang yang diuji oleh Allah.
Kenanglah orang-orang penting dalam hidup kita. Yang pernah membuatkan kita tertawa, gembira riang dan juga menangis dan berduka. Ahli keluarga. Adik beradik. Sahabat handai. Ibu bapa. Suami Isteri. Bekas suami. Bekas isteri. Lupakanlah kesalahan mereka kepada kita, ingatlah kesalahan kita pada mereka. Lupakanlah kebaikan yang kita telah berikan kepada mereka, ingatlah kebaikan yang telah mereka berikan kepada kita. Mudah-mudahan Allah melupuskan kesalahan kita dan mengangkat kebaikan yang kita lakukan.
Percayalah. Yakinlah. Janji-janji Allah itu benar! Dia berserta dengan orang yang hendak memperbaiki amal perbuatannya. Dia menyayangi orang yang sentiasa memperbaiki amal perbuatannya.
2:216 “..dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya”
Insyaallah.
Taat yang menjauhkan, Dosa yang menghampirkan…
oleh aRiL pada Feb.04, 2010, di Community, General
“Terkadang Allah membuka untukmu pintu taat, tetapi belum dibukakan bagimu pintu qabul, sebagaimana ada kalanya ditakdirkan engkau berbuat dosa tetapi menjadi sebab Wasil ilaLlah”.
Kadang-kadang(bukannya selalu atau bukan semestinya begitu), dibukakan bagimu pintu taat dengan rajin dan tekun untuk mendirikan dan menambah, mempertingkatkan setiap amalan kebajikan yang disukai oleh syarak.
• Rajin sembahyang dan puasa,
• tekun dalam menuntut ilmu,
• bersemangat dalam berwirid dan berzikir,
• suka menganjurkan kebaikan untuk diri sendiri dan umum dan
• sentiasa cenderung untuk melipatgandakan amal taat yang sedia ada.
Tetapi malangnya, …… semua amal taat dan kebajikan yang dikerjakan itu tiada dibukakan bagimu pintu Qabul yakni tidak diterima oleh Allah. Dengan kata lain amal taat yang mengunung tinggi banyak sekali pun yang kita kerjakan belum tentu dapat menjamin diterima oleh Allah Taala. Bila sudah tidak diterima, maka semakin menjauhlah hamba itu dengan Tuhan-Nya.
Banyaklah punca dan sebab-sebabnya yang menjadikan amal taat itu tidak diterima, tetapi yang paling besarnya ialah wujudnya hama syirik dalam ibadat; paling tidak, … menilik dan memandang kepada keupayaan diri. Orang yang bersyirik adalah mereka yang menduakan Allah. Bila dua, maka terlontar jauhlah diri daripada mencapai hakikat Keesaan atau Tauhid.
Apabila jalan taat dan kebaikan tidak dapat menghampirkan diri hamba dengan Tuhan-Nya, sebagai satu Kurnia dari Yang Bersifat Pengasih lagi Penyayang, maka dihukum denganmu dosa yakni maka Allah akan menjatuhkan dirimu kepada suatu dosa dan maksiat yang amat kau kesali. Dalam baik-baik kita mengistiqamahkan amal kebajikan dan ketaatan kepada Allah, maka tiba-tiba timbul satu musibah yang menyebabkan diri tersilap dan terjerumus ke dalam najis dosa dan maksiat. Mungkin tanpa disedari kita telah mengkhianati saudara kita dengan terpaksa menipu atau menindas mereka demi untuk menjaga maruah dan harga diri kita atau keluarga. Mungkin tanpa sengaja, kita terambil hak orang lain yang lebih memerlukan demi untuk memelihara keperluan diri dan mungkin apa sahaja yang menjadikan diri kita bertindak tidak mengikut jalan yang diredhoi oleh Allah. Bila disedari akan kesilapan dan kesalahan diri itu, betapa hati(orang mukmin) akan menyesali, menjadi berterbangan segala jantung kerana takutkan pembalasan Allah.
Tersumbat hati dengan dirasai bahawa tidak satu makhluk pun yang dapat membersihkan najis yang terpalit itu, malah dirasakan tidak ada sesuatu yang dapat menolong dan membantunya melainkan Allah Taala Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengampuni. Maka adalah dosa itu akan sebab sampaimu kepada-Nya yakni dengan dosa dan penyesalan itu akan membukakan pintu kesedaran bahawa tidak ada sesuatu lagi melainkan Allah sahaja yang dapat membantunya. Hati yang penuh kesedaran ini sahajalah yang akan sampai kepada Allah.
• Tunduk dan merendahkan diri dengan penuh kehinaan dan kedhoifan.
• Sedar betapa lekeh dirinya,
• betapa hina dan jahat dirinya ,
• betapa lemahnya diri dan segala sesuatu yang lain,
• betapa dhoif diri sendiri hingga tidak berupaya menguruskan kehidupan dengan baik,
yang menjadikan diri lemah longlai tersandar di dinding tanpa ada ruang lagi di sekeliling dengan memandang dan mengharapkan pertolongan belas ihsan dan kebaikan melainkan dari Allah semata-mata. Keadaan inilah, dengan hati yang merujuk terus kepada Wajah Allah tanpa sebarang tolehan kepada yang lain; akan membawa seseorang berhadapan dengan Hadirat-Nya. Hal ini tidak sebagaimana yang biasa terjadi kepada ahli taat yang memandang akan wujud upaya dirinya.
Inilah ciri-ciri seorang hamba yang mukmin kerana orang yang mukmin itu apabila jatuh daripada dosa, maka jadilah ia menyesal dan Ihtiqar dirinya. Maka adalah demikian itu sebab dalam sampaimu.
Tegasnya sewaktu taat tidak dibukakan pintu kehampiran kerana punya hama syirik yang menilik upaya diri, sebaliknya pintu kehampiran itu dibukakan buat yang berdosa tetapi menyesali dan menyedari lemah dirinya (dengan maksud tidak wujud sesuatu kuasa yang dapat menolong dirinya bagi mendapat sesuatu kebaikan melainkan dengan limpah kurnia dari Allah Taala).
Setelah diketahui betapa sia-sianya memandang kepada upaya diri dalam mendirikan taat, maka wajiblah bagi hamba yang ingin mencapai kehampiran dengan Allah tidak menilik kepada segala surah (rupa) sesuatu [amal] yakni;
• Tidak menilik kepada banyak sedikitnya amal atau;
• Tidak menilik kepada kecantikan dan kebaikan amal itu;
• Tidak menilik kepada habuan diri seperti keramat dan kemuliaan;
• Tidak menilik kepada balasan syurga dengan segala nikmatnya;
• Tidak menilik kepada tempat itu dan ini(depan orang buat, di belakang orang tidak buat, atau di masjid banyak beramal tetapi di tempat lain rasa kurang untuk beramal);
• Tidak ujub dengan kehebatan diri dalam mendirikan pelbagai taat yang jarang dapat dikerjakan oleh kebanyakan orang;
Bahkan sebagai seorang hamba yang sedar diri hendaklah menilik ia kepada segala hakikatnya yakni Kehendak Allah, Kekuasaan Allah, Kekayaan Allah, Kemurahan Allah dengan segala Limpah Kurnia-Nya. Bersyukur dengan memandang kepada Allah Yang Memberi bukannya kepada apa yang diberikan .
Kenapa dan mengapa sehingga wajib seorang hamba itu menilik kepada segala hakikatnya bukan kepada segala rupa amalannya?
Ini adalah kerana segala wajah taat itu tiada menghendaki ia akan wujud qabul baginya yakni Allah tidak memandang kepada zhohir dan rupa segala bentuk amal ibadat sebagai syarat penerimaan diterima sesuatu amalan tersebut, kerana pada seorang yang memandang kepada wajah taat atau keupayaan dirinya menunjukkan mereka masih dibayangi oleh ifat(penyakit) yang memberi kecederaannya daripada tiada ikhlas dalamnya yakni penyakit-penyatkit seperti riya’, ujub, takabbur dan sebagainya yang sememangnya sukar untuk dilihat seumpama semut hitam yang berjalan di atas batu hitam pada waktu yang kelam.
Dengan adanya hama penyakit yang menyelinap di sebalik sesuatu ketaatan itu, maka jauhlah amalan tersebut daripada memasuki pintu qabul atau penerimaan oleh Allah Taala.
Jika terkadang ketaatan yang didirikan itu boleh melontarkan jauh seorang hamba daripada pintu kehampiran dengan Tuhan-Nya, demikianlah pula kadang-kadang dosa dan maksiat yang dikerjakan oleh seorang hamba itu boleh menjadi sebab untuk sampai kepada Tuhan-Nya, masuk ke dalam Hadirat-Nya Yang Maha Mulia. Keadaan ini amat ajaib dan susah sekali untuk diterima oleh kebanyakan orang yang tidak memahami pokok hakikat ini. Namun yang pastinya di sisi orang-orang sufi terkadang dosa itu membawa rahmat kepada mereka sehingga ada yang berkata; terkadang dosa itu memasukkan ia ke dalam syurga.
Kenapa boleh jadi terbalik hukumnya di sini? Yang banyak mengerjakan amal taat dijauhkan dari pintu rahmat Tuhan sedangkan yang mengerjakan maksiat ditarik masuk ke dalam pintu Rahmat-Nya.
Mengikut pandangan mereka yang suci faham dan luas ilmu, jika seorang hamba mengerjakan amal kebajikan serta dibaikkannya sewaku mengerjakannya seperti
• menganggap dirinya yang baik dan sholeh,
• mana ada orang lain yang sanggup buat amal seperti aku,
• betapa tekun dan rajinnya aku berwirid atau menuntut ilmu,
• betapa bersungguh-sungguhnya aku dalam mujahadah,
• betapa seronok dan bersemangatnya aku dalam mengerjakan amar makruf dan nahi mungkar;
maka orang yang membaikkan amalannya seperti ini, meletakkan dirinya dalam lembah kejahatan dan tiada menjadikan Allah daripada kejahatan ini yang terlebih memberi mudhorat bagi dirinya. Betapa tidak memberi mudhorat sedangkan dalam amal taat itu tumbuh pelbagai virus dan penyakit hati seperti ujub, suma’ah, riya’, sombong dan takabbur, syirik dan sebagainya lagi. Namun bagi para salik, ada lagi yang terlebih memberi mudhorat kepadanya sebagaimana yang pernah diucapkan oleh seorang Sufi sebagaimana berikut;
Kepentingan untuk diri sahaja adalah racun yang bisa bagi orang yang masih murid.
Berbeza dengan seorang hamba(mukmin) yang mengerjakan dosa dan maksiat, maka dijahatkannya pada ketika mengerjakan dia;
• dengan memandang kepada dhoifnya diri
• dengan menilik kepada lemahnya upaya dalam mengatur urusan hidupnya;
• dengan menyesali di atas keterlanjuran diri
• dengan merujuk dan bertaubat kepada Allah
• di mana dengan semuanya tiada menjadikan Allah Taala daripada kebajikan yang terlebih memberi manfaat bagi dirinya.
Betapa tidak memberi manfaat untuk dirinya kerana dengan memandang kepada dhoifnya diri, lemahnya upaya, hinanya diri, merujuk dan kembali kepada Allah, menjadikan mereka seorang yang kembali menetap kepada hakikat kehambaan(Ubudiyah) sebagaimana yang dikehendaki; tidak sebagaimana seorang yang mendakwa Sifat Rububiyah Tuhan-Nya.