Baitulummah Society

Tag: Perjalanan

Hasan Al-Hudhaibi

oleh aRiL pada May.13, 2010, di General, Motivasi

tegakannegaraislam3Hasan Al-Hudhaibi memikul tugas Asy-Syahid Hasan Al-Banna bermula pada tahun 1949 walaupun hanya diumumkan secara terbuka sebagai Mursyidul Am Ikhwan Muslimun pada tahun 1951. Beliau memegang amanah tersebut hingga tahun 1973.

Di bawah kepimpinannya, Ikhwan telah melalui Revolusi Mesir 1952 dan empat perang Arab-Israel, iaitu pada 1948-1949, 1956, 1967 dan 1973.
Ketika tercetusnya perang pertama, Al-Hudhaibi menyeru keluarganya yang terdiri di kalangan golongan terkemuka Mesir untuk menubuhkan cawangan-cawangan Ikhwan. Beliau menggerakkan Ikhwan di seluruh Mesir untuk berdepan dengan golongan Zionis dan mempertahankan bumi Palestin.

Dalam perang pertama pasukan jihad Ikhwan adalah yang paling handal menggempur kelompok-kelompok tentera Zionis. Pasukan Ikhwan jugalah yang mempertahankan tentera Mesir ketika tentera tersebut terpaksa berundur dari bumi Palestin.

Namun, setiba sahaja ke Mesir, di atas tekanan Amerika dan kuasa-kuasa Barat, Raja Farouk telah menahan dan memenjarakan mujahidin Ikhwan. Tidak kurang dari 10,000 orang mujahidin Ikhwan yang dihumban ke dalam beberapa penjara Mesir.

Pada tempoh tersebutlah, Al-Hudhaibi cukup sibuk berurusan dengan pemerintah untuk membela dan membebaskan anggota-anggota Ikhwan melalui proses undang-undang. Al-Hudhaibi juga turut menggerakkan Ikhwan untuk mewujudkan sistem sokongan bagi membantu anak-anak dan keluarga tahanan yang merengkok dalam penjara.

Dalam Revolusi 1952, Sayyid Qutb ditampilkan sebagai tokoh Ikhwan untuk bertahalluf dengan Naguib dan Jamal Abdul Nasir bagi menggulingkan pemerintahan Farouk. Revolusi tersebut menjanjikan untuk menempatkan Islam sebagai dasar pemerintahan negara.
Setelah Revolusi 1952 berjaya mengguling Farouk, Sayyid Qutb diundang untuk menyertai kabinet sebagai menteri pendidikan. Walau bagaimanpun, Sayyid Qutb menolaknya kerana Jamal Abdul Nasir mungkir janji apabila memasukkan golongan sosialis, nasionalis serta tidak meletakkan Islam sebagai dasar pemerintahan.

Percubaan kedua untuk mendapat sokongan Ikhwan dibuat terus melalui Al-Hudhaibi. Majlis Pemerintah Revolusi pimpinan Jamal Abdul Nasir menawarkan tiga kementerian untuk diterajui oleh Ikhwan. Pada peringkat awal tawaran tersebut diterima oleh Al-Hudhaibi. Tiga orang tokoh terkemuka Ikhwan iaitu Syeikh Hasan Al-Baquri, Hasan Al-’Ashmawi dan Munir Al-Dilla dinamakan sebagai calon-calon Ikhwan.
Majlis Pemerintah Revolusi menolak Hasan Al-’Ashmawi dan Munir Al-Dilla, sedangkan Syeikh Hasan Al-Baquri sudah pun menerima jawatan tersebut. Keadaan ini menimbulkan ketegangan.

Maktab Irshad Ikhwan kemudian bersidang untuk memutuskan untuk menolak tawaran pemerintah revolusi bagi Ikhwan terlibat dalam kabinet. Dua sebab utama penolakan tersebut adalah kerana kuasa pemutus di setiap kementerian bukanlah milik menteri tetapi terletak di atas kuasa pegawai tertinggi tentera Revolusi yang ditugaskan di situ. Sebab kedua adalah hanya dengan tiga kementerian dalam kerajaan, suara Ikhwan tidak cukup kuat untuk menentukan pemerintahan akan berjalan di atas landasan Islam.

Di atas sebab itu Ikhwan memutuskan untuk tidak menyertai kerajaan. Hubungan tegang antara Majlis Pemerintah Revolusi dengan Ikhwan semakin memuncak. Pada peringkat awal, tiada tindakan diambil terhadap pemimpin-pemimpin Ikhwan. Namun, setelah kuasa Majlis Pemerintah Revolusi semakin bertambah teguh, mulalah pemimpin-pemimpin Ikhwan ditangkap, diseksa dan dipenjarakan oleh Jamal Abdul Nasir.

Al-Hudhaibi keluar masuk penjara berkali-kali. Pernah juga dia dijatuhi hukuman gantung sampai mati. Ketika itu usianya sudah pun agak lanjut. Namun semangat dan jiwanya amat kental.
Al-Hudhaibi mengingatkan anggota-anggota Ikhwan: “Penjara bukan tembok tebal dan jeriji besi. Sebenarnya penjara adalah keadaan dalam perasaan dan fikiran kalian”.

Semasa bertahun-tahun dalam penjara dengan dianiaya dan diseksa, Al-Hudhaibi terus menyuntikkan semangat anggota-anggota untuk terus bertahan. Beliau terus menyemarakkan semangat teguh mempertahankan Islam dan untuk hidup sepenuhnya di bawah naungan Islam. Al-Hudhaibi mahu anggota-anggota Ikhwan terus meningkatkan tarbiyyah dan tazkiyyah diri walaupun sedang merengkok dalam penjara.

Syeikh Abdul Badi’ Saqr, juga seorang yang dipenjarakan oleh rejim Jamal Abdul Nasir menceritakan bahawa suatu hari Al-Hudhaibi menemuinya di depan bilik air penjara.
Al-Hudhaibi bertanya: “Berapa hari kamu khatamkan Al-Quran?”.
Aku menjawab: “Setiap lima belas hari!”.
Al-Hudhaibi berkata: “Apakah yang menghalang kamu untuk mengkhatamkan dalam tiga hari? Bacalah dua juzu’ setiap selesai solat waktu sedangkan kamu masih berwudhu’. Ingatlah peluang seperti ini tidak akan berulang”!!

Oleh kerana kesihatannya semakin kritikal, hukuman gantung sampai mati terhadapnya ditukar kepada hukuman penjara seumur hidup. Apabila pemerintah menyangka bahawa Al-Hudhaibi akan mati dalam penjara disebabkan penyakitnya itu, maka pemerintah pun membebaskannya dengan sangkaan Al-Hudhaibi akan mati beberapa hari lagi.

Dengan kehendak Allah apa yang diharapkan oleh pemerintah itu tidak berlaku. Sebaliknya Al-Hudhaibi terus memimpin Ikhwan dengan lebih gagah lagi. Melihat ini, pemerintah sekali lagi menahan dan menghumban Al-Hudhaibi ke dalam penjara!
Tidak ada yang lebih menggembirakan Al-Hudhaibi selain daripada dikumpulkannya semula untuk kembali bersama-sama anggota-anggota Ikhwan di dalam penjara.

Al-Hudaibi juga bencikan keganasan. Pernah sebilangan anggota-anggota Ikhwan berkata kepadanya: “Bukankah bilangan kita dalam penjara ini mencecah ribuan orang? Mengapa kita tidak menyerang pengawal-pengawal penjara demi membebaskan kita dari penjara ini?”.
Al-Hudhaibi menjawab: “Barangsiapa melakukan tindakan tersebut, maka dia bukan anggota Ikhwan!. Sesungguhnya, nyawa seorang dari seribu anggota Ikhwan adalah lebih berharga bagiku daripada batang leher Jamal Abdul Nasir! Berjaga-jagalah!, jangan ada seorang di kalangan kalian yang memberi kesempatan kepada anjing-anjing hina itu untuk menghapuskan golongan orang-orang yang beriman. Tahanlah diri kalian, bersabarlah, tingkatkanlah kesabaran dan tetap tabahlah sehingga datang ketetapan Allah”!

Hasan Al-Hudhaibi juga mengikuti dan mengukuhkan tradisi Ikhwan Muslimin dalam mentarbiyyah dan membawa seluruh keluarga dalam perjuangan Islam. Al-Hudhaibi mempunyai seorang isteri yang berjiwa kental, Ummu Usamah.

Ketika Al-Hudhaibi dalam tahanan penjara, seorang menteri Mesir telah mengutus isterinya untuk bertemu dengan Ummu Usamah. Tujuannya adalah untuk menenangkannya serta memberitahu bahawa menteri tersebut telah berbuat yang terbaik untuk menyelamatkan Al-Hudhaibi.
Ummu Usamah berkata: “Siapa yang memberitahu kepada suamimu yang kami gelisah dan sedih sehingga kamu bersusah payah untuk memberi nasihat kepada kami, menenangkan hati kami dan memberi khabar gembira bahawa Ustaz selamat? Apakah puan ingin memberitahu kepadaku dan anak-anakku bahawa hukuman telah ditetapkan sebelum dijalankan perbicaraan? Adakah puan mahu memberitahu kepada kami bahawa hukuman yang akan diterima oleh Ustaz adalah hukuman mati?”
Ummu Usamah seterusnya menegaskan: “Wahai Saadiyah Hanim, isteri pembesar Mesir yang mulia, saya mohon agar puan dengar dengan baik dan sampaikan kepada Tuan Menteri! Sampaikan bahawa Hasan Al-Hudhaibi tidak memegang kepimpinan Ikhwan Muslimun kecuali setelah menyaksikan pendahulunya yang agung, Asy-Syahid Hasan Al-Banna telah diculik dan dibunuh secara keji dengan terang-terangan di tepi jalan ibu kota negara ini. Hudhaibi tidak menerima untuk menjadi pengganti beliau kecuali menunggu akhir kehidupannya yang sama seperti beliau. Sungguh, ia telah menjual dirinya untuk Allah dan kami juga menjual diri kami bersamanya untuk Allah. Bila semua itu terjadi kerana takdir Allah maka tak seorang pun akan melihat kami kecuali dalam ketenangan, ketenteraman dan kebahagian. Sebab kami serahkan sepenuhnya segala urusan manusia kepada Allah. Kami mengharapkan pahala-Nya dan kami sangat berbahagia bila dapat menyusulnya sebagai syuhada’”

Kemudian Ummu Usamah berpaling kepada anak-anaknya Ilyah, Khalidah dan Su’ad sambil berkata:”Inilah pendirian ummi, bagaimana pendapat kalian wahai anak-anak?”
Serentak mereka menjawab: “Tidak ada perbezaan sedikit pun pendapat kami dengan pendapatmu, wahai ummi!”.

Comments Off :, , lagi...

Menangani Kemarahan

oleh Kamal Arif Maz pada Apr.06, 2010, di Motivasi

Saya pernah ditanya tentang bagaimana hendak menghilangkan tabiat suka marah. Tabiat marah yang melulu. Marah yang tak terkawal. Saya hendak berkongsi apa yang telah saya sampaikan kepada yang bertanya.

Tabiat marah adalah tabiat yang buruk. Ia menggambarkan seseorang yang tidak dapat menerima kebaikan atau keburukan orang lain. Ia menggambarkan orang yang marah itu merasa dirinya lebih baik dari orang lain. Dari segi tahapan nafsu, nafsu amarah adalah yang paling bawah – orang yang sentiasa amarah adalah orang yang sentiasa mengikuti hawa nafsu.

Selain dari itu, marah juga ada yang baik. Sebagai contoh marah sebab hendak mengajar. Marah kepada orang yang menindas. Dan sebagainya. Marah sebegini hanya datang pada masa tertentu sahaja dan habis apabila telah selesai meluahkannya.

Namun marah yang tak mahu reda, sentiasa bergelora, pantang tengok muka dan sebagainya – adalah marah yang datang dari nafsu – yang datang dari orang yang sentiasa merasakan dirinya lebih baik dari orang lain. Ingatlah kisah dimana Allah menyuruh sekelian makhluk sujud kepada Adam yang telah dilantik menjadi khalifah. Semuanya sujud kecuali Iblis. Iblis tidak sujud bukan kerana tidak percaya kepada Allah. Bukan kerana tidak beriman dengan Allah. Bukan kerana tidak kenal Allah. Namun, kerana tidak dapat menerima manusia yang dibuat dari tanah lebih baik dari dia yang dibuat dari api. Sehingga Iblis dilaknat oleh Allah atas sikapnya itu. Maha Suci Allah yang Maha Mengetahui segala sesuatu. Ambillah pengajaran.

Jika anda marahkan orang lain yang tidak mahu berubah sikap – asyik nak ponteng, malas buat kerja, tak nak tolong orang, suka mengenakan orang dan macam-macam perkara yang menyebabkan anda marah – kenangkanlah saat dan ketika dimana anda dahulu seperti orang itu. Yang bodoh, tak reti bahasa, tak faham-faham dan sebagainya. Bersabarlah dengan dia. Bersabarlah dalam menarik dia keluar dari kejahilan itu. Bersabarlah dalam mendidik dia. Sebagaimana ibu-bapa anda bersabar dengan anda dalam membesarkan anda, melayani kerenah dan perangai anda. Sebagaimana Allah sabar dalam mendidik dan menanti anda kembali kepadaNya dalam keadaan yang diredhaiNya.

Allah telah berikan anda peluang, kenapa setelah hanya beberapa saat dan ketika anda mendapat petunjuk dan hidayah, anda hendak berlaku sombong kepada mereka dengan mengherdik mereka yang belum mendapat lagi. Belum masanya Allah hendak memberikan petunjuk dan hidayahNya kepada mereka. Belum masanya Allah hendak membuka pintu hati mereka. Anda rasa anda boleh memberi petunjuk dan hidayah kepada mereka dengan kemarahan anda itu? Fikirkanlah kembali. Bersyukurlah dengan nikmat dan kasih yang telah Allah curahkan kepada anda. Bersyukurkan kepada Allah dengan mencurahkan kasih sayang anda kepada mereka. Dengan menarik mereka keluar dari kejahilan dengan kasih sayang bukan dengan rotan sebagaimana Allah berlembut dengan anda dahulu.

Marahlah diri anda yang berlagak dan sombong itu. Marahlah diri anda yang hilang kawalan disaat-saat genting itu. Bangkitlah dan mohonlah keampunan dari Allah.

Apa yang orang kata itu memang penting. Namun tidaklah sepenting manapun. Yang lebih penting adalah apa yang Allah kata tentang anda. Apa yang malaikat laporkan kepada Allah tentang anda. Apakah malaikat datang kepada Allah dengan mengatakan – “lihatlah Ya Allah, hambaMu itu yang masih berbuat kerosakan walaupun setelah Engkau berikan petunjuk dan hidayah.” Ataupun malaikat datang kepada Allah dengan mengatakan – “Maha Suci Engkau Ya Allah. Sesungguhnya pilihanMu itu tepat. Janji-janjiMu itu benar. HambaMu itu telah kembali kepadaMu. Menjadi cahaya kepada yang lain agar dapat merasai nikmat kasih-sayangMu. Allahuakbar!” Apa yang harus anda pandang adalah, apakah anda telah memberikan yang terbaik dalam membawa mereka kembali kepada Allah, sebagaiman Allah membawa anda kembali kepadaNya?

“2:155 Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar”

Mudah-mudahan kita semua sentiasa diberi petunjuk dan hidayahNya.

Komen :, lagi...

Pengubat Duka

oleh Kamal Arif Maz pada Apr.01, 2010, di Motivasi

Mudah-mudahan kita sentiasa dalam dakapan dan pelukan kasih sayang Sang Pencipta, Tuhan Seru sekelian alam, Tuhan Yang Esa, Tuhan yang kita dambakan, Allah SWT.

Janganlah kita pandang musibah, kesusahan, kekurangan dan kehilangan sebagai pembalasan dari Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang. Sanggupkah anda mendatangkan mudarat kepada seseorang yang amat anda sayangi, tatkala cinta itu terasa sangat hebat? Tidak! Bahkan Allah yang Maha Penyayang itu lebih lagi. Segalanya yang telah ditentukan adalah yang terbaik dariNya. Sebagai tanda kasih sayangNya. Kerana tidak sanggup melihat kita menyimpang lebih jauh. Memalingkan wajah kita jauh dariNya. Dia merindukan saat kita menatap wajahNya. Dia merindukan saat-saat kita bahagia di atas jalanNya. Tidak dapat saya gambarkan betapa hebatnya kasihnya Allah.

Janganlah kita mengatakan bahawa Allah itu sanggup melakukan kezaliman. Tidak. Bahkan Allah sangat kasihkan hamba-hambaNya. Cuma hamba-hambaNya yang memalingkan wajah dariNya lantaran tidak dapat merasa kasih yang dicurahkan oleh Allah kepadanya. Masyaallah.

Seorang yang rindukan dan mendambakan kasih Allah sanggup melalui semua itu dengan senyuman. Sebagaimana diceritakan dalam Al-Quran. Jadilah seperti mereka. Senyumlah, demi mengharapkan Allah. Tiada yang lain hanya Dia.

Terimalah keburukan orang lain sebagaimana kita mengharapkan Allah menerima keadaan kita yang hina dina. Adakah anda rasa diri anda cantik? Masih layak untuk dipandang oleh Allah? Memang kita tidak layak! Saya tahu saya tidak layak! Maka terimalah keburukan orang dengan harapan Allah menerima kita seadanya. Ampunkan mereka dengan harapan Allah mengampunkan dosa-dosa kita. Doakanlah agar kita dan mereka sentiasa mendapat petunjuk dan hidayah serta rahmat dari Allah.

Sesungguhnya Allah mengangkat punggung-punggung orang yang beriman. Ujian adalah tanda Allah sayang dan cinta pada kita. Ujian adalah tanda Allah hendak mengangkat kedudukan kita. Sebagai tanda Dia masih memandang kita. Sebagai tanda Dia berkehendakkan kita. Takutlah jika anda tidak menerima ujian Allah. Berbahagialah orang-orang yang diuji oleh Allah.

Kenanglah orang-orang penting dalam hidup kita. Yang pernah membuatkan kita tertawa, gembira riang dan juga menangis dan berduka. Ahli keluarga. Adik beradik. Sahabat handai. Ibu bapa. Suami Isteri. Bekas suami. Bekas isteri. Lupakanlah kesalahan mereka kepada kita, ingatlah kesalahan kita pada mereka. Lupakanlah kebaikan yang kita telah berikan kepada mereka, ingatlah kebaikan yang telah mereka berikan kepada kita. Mudah-mudahan Allah melupuskan kesalahan kita dan mengangkat kebaikan yang kita lakukan.

Percayalah. Yakinlah. Janji-janji Allah itu benar! Dia berserta dengan orang yang hendak memperbaiki amal perbuatannya. Dia menyayangi orang yang sentiasa memperbaiki amal perbuatannya.

2:216 “..dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya”

Insyaallah.

Komen :, lagi...

IMAM AL GHAZALI-Perjalanan

oleh aRiL pada Mar.24, 2010, di General, Motivasi

IMAM AL GHAZALI : 450-505H (1058-1111M)

Abū Ĥāmid al-Ghazālī dilahirkan pada tahun 450 Hijrah di desa Ghazālah, di pinggir kota Ţūs, yang terletak pada hari ini di bahagian timur laut negara Iran, berdekatan dengan kota Mashhad, ibu kota wilayah Khorāsān.

Ketika sedang belajar di Jurjān, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī merupakan seorang pelajar yang sangat rajin. Dengan tekun, dia telah menulis setiap pelajaran yang telah dia pelajari daripada gurunya itu. Kemudian, dia telah menyalin semula nota-nota itu dan telah dikumpulkannya di bawah beberapa tajuk yang tertentu. Dia sangat menyayangi nota-notanya itu.

Setelah tamat belajar di Jurjān, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī pun pulang ke Ţūs pada tahun 470 Hijrah. Dia telah mengikat nota-nota pelajarannya itu di dalam sebuah bungkusan dan kemudian telah bertolak bersama sebuah kafilah. Di tengah-tengah perjalanan, kafilah itu telah ditahan oleh sekumpulan penyamun yang telah merampas harta setiap anggota kafilah itu.

Ketika sampai giliran al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī pula, setiap barang kepunyaannya telah digeledah dan dirampas oleh kumpulan penyamun itu. Ketika penyamun-penyamun itu menyentuh bungkusan nota-notanya, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah berkata, “Ambillah semua yang engkau mahu, tetapi jangan engkau ambil bungkusan ini.”
Penyamun-penyamun itu pula telah menyangka yang bungkusan itu mungkin mengandungi harta-harta yang amat berharga. Mereka pun membuka bungkusan itu. Tetapi mereka hanya menjumpai beberapa helai kertas yang sudah bertulis. Mereka pun bertanya, “Apa ini?”
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah menjawab, “Ini adalah hasil titik peluhku. Kerananya, aku telah meninggalkan kampung halamanku agar aku dapat mendengar, menulis dan memperolehi ilmunya.”

Seorang anggota kumpulan penyamun itu telah ketawa dan telah berkata, “Bagaimanakah engkau boleh mendakwa yang engkau telah memperolehi ilmunya? Andaikata kami rampas bungkusan ini, engkau akan kehilangan ilmunya. Ilmu yang tersimpan di dalam beberapa helai kertas bukanlah ilmu yang sebenar!”

Bungkusan nota-nota itu pun dikembalikan kepada al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī. Kata-kata daripada si penyamun itu telah menyebabkan al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī tersedar dan mengubah cara dia berfikir.
Beberapa tahun kemudian, ketika dia mengingati kembali peristiwa ini, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah berkata, “Kata-kata daripada lelaki itu sebenarnya adalah kata-kata yang telah digerakkan (yakni diilhamkan). Allah telah menggerakkannya untuk berkata dengan kata-katanya itu, agar aku dapat menerima petunjuk. Apabila aku sampai semula di Ţūs, aku telah bekerja keras selama tiga tahun, sehingga aku telah berjaya menghapal segala yang telah aku tulis.”
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī juga telah berkata, “Sebaik-baik nasihat dan teguran yang telah menyebabkan aku mengubah cara aku berfikir, telah datang daripada seorang penyamun jalanan!”

Niżām al-Mulk telah banyak mendengar tentang keluasan dan ketinggian ilmu yang dimiliki oleh al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī. Oleh itu, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah diraikan sebagai seorang ‘ālim yang besar. Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah tinggal di al-Mu‘askar selama lebih kurang enam tahun. Dia juga telah ditemukan dengan al-fuqahā’ dan para pemuka ilmu yang lain. Semuanya telah mengakui akan keluasan dan ketinggian ilmu al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī.
Pada tahun 484 Hijrah, Niżām al-Mulk telah melantik al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī ke jawatan pengetua (atau boleh juga dikatakan jawatan ketua profesor) di al-Madrasah an-Niżāmiyyah di Baghdād (yang tarafnya sama dengan Universiti Islam pada hari ini).
Ini adalah satu pencapaian yang sangat tinggi, kerana dalam usia baru tiga puluh empat tahun, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah diberikan gelaran Syaikh al-Islām, yakni setinggi-tinggi pangkat dari segi akademik dan keagamaan yang rasmi.

Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah menjalankan tugas barunya ini dengan baik. Dia telah menarik perhatian daripada ramai para pelajar, yang dekat mahupun yang jauh. Nama al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah menjadi sangat terkenal di waktu itu, sebagai seorang ‘ālim yang sangat fasih memberikan huraian-huraian pelajaran, dan sangat pandai berdebat dengan hujah-hujah yang jitu, serta sangat luas dan dalam pula ilmunya.

Tetapi keadaan hidup selesa yang penuh dengan kemegahan ini tidak berkekalan, kerana empat tahun kemudian, pada tahun 488 Hijrah, jiwanya telah melalui satu perubahan besar. Badan jasmaninya masih sihat tetapi jiwanya telah bergolak, dalam satu keadaan tertekan yang boleh diumpamakan seperti air yang sedang menggelegak. Ini telah menyebabkannya jatuh sakit.

Perubahan fikiran dan ledakan jiwa ini adalah berpunca dari satu kesedaran bahawa selama ini, segala kejayaan yang telah dicapainya, seperti memegang jawatan pengetua di al-Madrasah an-Niżāmiyyah di kota Baghdād itu, bukanlah telah dilakukannya dengan ikhlas semata-mata kerana Allah Ta’ala, tetapi telah juga dicampuri dengan sebab-sebab duniawi.

Telah bercerita al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī di dalam kitabnya yang bernama al-Munqidh Min ađ-Đalāl:
Telah menjadi nyatalah kepadaku bahawa aku tidak akan mencapai kebahagian akhirat, melainkan dengan bertaqwa, dan juga mengekang kehendak nafsu. Dan yang utama sekali ialah memotong tali ikatan hati kepada dunia, dengan meninggalkan negeri yang penuh tipu daya ini, dan kembali ke negeri yang kekal abadi. Dan mengadap kepada Allah Ta‘ala dengan sepenuh hati. Dan ini tidak akan tercapai, melainkan dengan membuangkan dahulu segala kemegahan dan kekayaan, serta menjauhkan diri dari segala kesibukan dan tuntutan dunia (al-’alā’iq).

Kemudian aku telah memeriksa keadaan diriku sendiri. Maka aku dapati rupa-rupanya aku telah terperangkap di dalam jaring pada setiap arah. Dan apabila aku periksa pula pekerjaanku di dalam memberi kuliah dan ceramah, rupa-rupanya aku telah berkecimpung di dalam ilmu-ilmu yang tidak penting, dan tidak bermanfaat di jalan akhirat.

Setelah itu, aku berfikir pula tentang niatku di dalam memberi kuliah. Nyatalah, aku tidak ikhlas kerana wajah Allah Ta’ala. Malah, pembangkit dan pendorongku yang sebenar ialah mencari kemegahan dan kemasyhuran yang luas. Maka, aku pun yakin yang aku sedang berada di pinggir satu jurang yang merbahaya. Dan aku akan segera terjunam ke dalam api neraka, melainkan aku perbaiki keadaan diriku terlebih dahulu.

Perasaan jiwanya yang bergolak-golak ini, seakan-akan sedang meronta-ronta melawan fikiran akalnya sendiri. Dan ini merupakan satu tekanan jiwa yang amat berat dirasakan oleh al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī.

Telah bercerita lagi al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī:
Tiadalah aku berhenti daripada berfikir akan keadaanku dan jalan mana yang akan aku pilih. Hatiku masih berbolak-balik.

Pada suatu hari, aku telah berazam untuk meninggalkan Baghdād, dan melepaskan diriku daripada keadaan hidup harian itu. Tetapi, pada keesokan harinya, aku telah membatalkan keputusan itu. Seolah-olah, sebelah kakiku telah melangkah ke hadapan, tetapi yang sebelah lagi telah mundur pula ke belakang!

Di pagi hari, aku telah bertekad untuk menuntut akhirat, tetapi di petang hari, tentera hawa nafsu telah datang menyerang, dan telah menghancurkannya. Syahwat dunia telah mengurungku, dan memaksa aku tetap kekal sahaja di situ, sedangkan suara keimanan telah menyeru kepadaku, “Kembaralah! Kembaralah! Tiadalah umurmu melainkan tinggal sedikit sahaja, sedangkan di hadapanmu adalah perjalanan yang jauh. Tiadalah engkau kumpulkan segala ilmu dan amal melainkan semuanya adalah riyak dan palsu belaka. Jika sekarang engkau masih belum bersiap sedia untuk akhirat, bilakah masanya engkau akan bersiap sedia? Jika sekarang engkau tidak putuskan tali belenggu itu, bilakah masanya untuk memutuskannya?”

Dan ketika seruan seperti ini bangkit, maka azam dan tekadku pun naik berkobar-kobar, rela menghadapi setiap cabaran dan rintangan.
Tetapi kemudian, datang semula syaitan dan berbisiklah dia, “Ini adalah satu perkara yang mengganggu-ganggu sahaja, jika engkau menyerah kepadanya. Biarkan sahaja. Ia akan hilang dengan segera. Jika engkau turuti ajakannya, lalu engkau tinggalkan pula segala kemegahan pangkat, serta keadaan yang baik ini, yang bebas daripada sebarang kesulitan, serta keadaan aman sejahtera yang bersih daripada perselisihan dan permusuhan, dan jika engkau turutinya, engkau akan menyesal, dan engkau akan menanggung kesukaran. Engkau tidak akan dapat kembali kepada keadaan senang seperti sebelumnya.”

Dan berterusanlah keadaanku ini, di mana aku berada di antara tarikan syahwat dunia, dan tarikan panggilan akhirat. Ia berpanjangan selama hampir enam bulan, bermula dari bulan Rejab tahun 488 Hijrah.
Pada bulan itu, aku telah berasa sudah tidak lagi berdaya, tiada lagi ikhtiarku, terpaksa menyerah sahaja. Allah telah mengunci lidahku, sehingga aku tidak dapat mengajar. Pada suatu hari, aku gagahi juga diriku untuk menyampaikan kuliah agar dapat menggembirakan hati para pelajarku. Tetapi lidahku telah menjadi kelu. Aku tidak dapat mengeluarkan sepatah kata pun. Benar-benar tidak berdaya.
Dan keadaan bisu ini telah membuatku berdukacita, sehingga telah menjejaskan kekuatan pencernaan di perutku, dan menyekat makanan dan minumanku. Roti yang dicecah kuah pun tidak dapat aku kunyah, dan tidak dapat aku telan makanan walaupun sesuap.

Aku menjadi semakin lemah, sehingga para doktor yang merawatiku pun telah berputus asa, dan telah berkata mereka, “Perkara in berpunca dari kalbu. Dari situ, ia telah merebak hingga ke seluruh badan. Dan tiada cara untuk mengubatinya, melainkan melaluinya juga. Buangkanlah rahsia yang telah menghasilkan segala duka nestapa ini.”

Akhirnya, setelah menyedari akan betapa lemahnya diriku, setelah kehabisan segala ikhtiarku, aku pun berserah bulat-bulat kepada Allah Ta‘ala. Dia telah memperkenankan doaku, kerana Dialah Tuhan yang memperkenankan doa orang yang terdesak, apabila orang itu berdoa kepadaNya. Kini, menjadi ringanlah bagi hatiku untuk meninggalkan segala kemegahan, kekayaan, anak-anak dan rakan-rakan.

Oleh itu, pada bulan Zulkaedah tahun 488 Hijrah, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah meletakkan jawatannya sebagai pengetua di al-Madrasah an-Niżāmiyyah di Baghdād, dan telah mengambil keputusan untuk meninggalkan Baghdād dan menjadi seorang pengembara. Dia telah meminta adiknya, yakni asy-Syaikh Aĥmad al-Ghazālī, mengambil alih jawatannya itu.

Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī kemudian telah mewaqafkan segala harta benda kepunyaannya, selain daripada sebahagian yang telah diketepikan untuk nafkah menyara hidup keluarganya, dan juga untuk dibuat bekal perjalanannya itu. Dan untuk mengelakkan daripada terjadi sebarang syak wasangka atau kekecohan, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī hanya mengumumkan yang dia akan berangkat ke Makkah al-Mukarramah untuk menunaikan ibadat haji.

Setelah meninggalkan Baghdād, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī pun menuju ke Syria dan telah menetap di kota Damaskus selama dua tahun. Dia juga telah banyak menghabiskan masanya duduk beriktikaf di Masjid Jamik al-Umawī di kota Damaskus. Ada kalanya dia akan naik ke menara masjid itu, dan selepas menguncikan pintunya, akan duduk berseorangan diri di sebuah sudut sepanjang hari. Dan pada hari ini pula, sudut itu telah diberikan nama panggilan Sudut al-Ghazāliyyah, untuk memperingati tempat di mana al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī pernah duduk beriktikaf di kala itu. (Sebelum itu, Sudut al-Ghazāliyyah telah dikenali dengan nama Sudut asy-Syaikh Naşr al-Maqdisī.)

Komen :, , , lagi...

Taat yang menjauhkan, Dosa yang menghampirkan…

oleh aRiL pada Feb.04, 2010, di Community, General

“Terkadang Allah membuka untukmu pintu taat, tetapi belum dibukakan bagimu pintu qabul, sebagaimana ada kalanya ditakdirkan engkau berbuat dosa tetapi menjadi sebab Wasil ilaLlah”.
Kadang-kadang(bukannya selalu atau bukan semestinya begitu), dibukakan bagimu pintu taat dengan rajin dan tekun untuk mendirikan dan menambah, mempertingkatkan setiap amalan kebajikan yang disukai oleh syarak.

• Rajin sembahyang dan puasa,
• tekun dalam menuntut ilmu,
• bersemangat dalam berwirid dan berzikir,
• suka menganjurkan kebaikan untuk diri sendiri dan umum dan
• sentiasa cenderung untuk melipatgandakan amal taat yang sedia ada.

Tetapi malangnya, …… semua amal taat dan kebajikan yang dikerjakan itu tiada dibukakan bagimu pintu Qabul yakni tidak diterima oleh Allah. Dengan kata lain amal taat yang mengunung tinggi banyak sekali pun yang kita kerjakan belum tentu dapat menjamin diterima oleh Allah Taala. Bila sudah tidak diterima, maka semakin menjauhlah hamba itu dengan Tuhan-Nya.
Banyaklah punca dan sebab-sebabnya yang menjadikan amal taat itu tidak diterima, tetapi yang paling besarnya ialah wujudnya hama syirik dalam ibadat; paling tidak, … menilik dan memandang kepada keupayaan diri. Orang yang bersyirik adalah mereka yang menduakan Allah. Bila dua, maka terlontar jauhlah diri daripada mencapai hakikat Keesaan atau Tauhid.

Apabila jalan taat dan kebaikan tidak dapat menghampirkan diri hamba dengan Tuhan-Nya, sebagai satu Kurnia dari Yang Bersifat Pengasih lagi Penyayang, maka dihukum denganmu dosa yakni maka Allah akan menjatuhkan dirimu kepada suatu dosa dan maksiat yang amat kau kesali. Dalam baik-baik kita mengistiqamahkan amal kebajikan dan ketaatan kepada Allah, maka tiba-tiba timbul satu musibah yang menyebabkan diri tersilap dan terjerumus ke dalam najis dosa dan maksiat. Mungkin tanpa disedari kita telah mengkhianati saudara kita dengan terpaksa menipu atau menindas mereka demi untuk menjaga maruah dan harga diri kita atau keluarga. Mungkin tanpa sengaja, kita terambil hak orang lain yang lebih memerlukan demi untuk memelihara keperluan diri dan mungkin apa sahaja yang menjadikan diri kita bertindak tidak mengikut jalan yang diredhoi oleh Allah. Bila disedari akan kesilapan dan kesalahan diri itu, betapa hati(orang mukmin) akan menyesali, menjadi berterbangan segala jantung kerana takutkan pembalasan Allah.

Tersumbat hati dengan dirasai bahawa tidak satu makhluk pun yang dapat membersihkan najis yang terpalit itu, malah dirasakan tidak ada sesuatu yang dapat menolong dan membantunya melainkan Allah Taala Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengampuni. Maka adalah dosa itu akan sebab sampaimu kepada-Nya yakni dengan dosa dan penyesalan itu akan membukakan pintu kesedaran bahawa tidak ada sesuatu lagi melainkan Allah sahaja yang dapat membantunya. Hati yang penuh kesedaran ini sahajalah yang akan sampai kepada Allah.

• Tunduk dan merendahkan diri dengan penuh kehinaan dan kedhoifan.
• Sedar betapa lekeh dirinya,
• betapa hina dan jahat dirinya ,
• betapa lemahnya diri dan segala sesuatu yang lain,
• betapa dhoif diri sendiri hingga tidak berupaya menguruskan kehidupan dengan baik,
yang menjadikan diri lemah longlai tersandar di dinding tanpa ada ruang lagi di sekeliling dengan memandang dan mengharapkan pertolongan belas ihsan dan kebaikan melainkan dari Allah semata-mata. Keadaan inilah, dengan hati yang merujuk terus kepada Wajah Allah tanpa sebarang tolehan kepada yang lain; akan membawa seseorang berhadapan dengan Hadirat-Nya. Hal ini tidak sebagaimana yang biasa terjadi kepada ahli taat yang memandang akan wujud upaya dirinya.

Inilah ciri-ciri seorang hamba yang mukmin kerana orang yang mukmin itu apabila jatuh daripada dosa, maka jadilah ia menyesal dan Ihtiqar dirinya. Maka adalah demikian itu sebab dalam sampaimu.
Tegasnya sewaktu taat tidak dibukakan pintu kehampiran kerana punya hama syirik yang menilik upaya diri, sebaliknya pintu kehampiran itu dibukakan buat yang berdosa tetapi menyesali dan menyedari lemah dirinya (dengan maksud tidak wujud sesuatu kuasa yang dapat menolong dirinya bagi mendapat sesuatu kebaikan melainkan dengan limpah kurnia dari Allah Taala).
Setelah diketahui betapa sia-sianya memandang kepada upaya diri dalam mendirikan taat, maka wajiblah bagi hamba yang ingin mencapai kehampiran dengan Allah tidak menilik kepada segala surah (rupa) sesuatu [amal] yakni;
• Tidak menilik kepada banyak sedikitnya amal atau;
• Tidak menilik kepada kecantikan dan kebaikan amal itu;
• Tidak menilik kepada habuan diri seperti keramat dan kemuliaan;
• Tidak menilik kepada balasan syurga dengan segala nikmatnya;
• Tidak menilik kepada tempat itu dan ini(depan orang buat, di belakang orang tidak buat, atau di masjid banyak beramal tetapi di tempat lain rasa kurang untuk beramal);
• Tidak ujub dengan kehebatan diri dalam mendirikan pelbagai taat yang jarang dapat dikerjakan oleh kebanyakan orang;

Bahkan sebagai seorang hamba yang sedar diri hendaklah menilik ia kepada segala hakikatnya yakni Kehendak Allah, Kekuasaan Allah, Kekayaan Allah, Kemurahan Allah dengan segala Limpah Kurnia-Nya. Bersyukur dengan memandang kepada Allah Yang Memberi bukannya kepada apa yang diberikan .

Kenapa dan mengapa sehingga wajib seorang hamba itu menilik kepada segala hakikatnya bukan kepada segala rupa amalannya?
Ini adalah kerana segala wajah taat itu tiada menghendaki ia akan wujud qabul baginya yakni Allah tidak memandang kepada zhohir dan rupa segala bentuk amal ibadat sebagai syarat penerimaan diterima sesuatu amalan tersebut, kerana pada seorang yang memandang kepada wajah taat atau keupayaan dirinya menunjukkan mereka masih dibayangi oleh ifat(penyakit) yang memberi kecederaannya daripada tiada ikhlas dalamnya yakni penyakit-penyatkit seperti riya’, ujub, takabbur dan sebagainya yang sememangnya sukar untuk dilihat seumpama semut hitam yang berjalan di atas batu hitam pada waktu yang kelam.

Dengan adanya hama penyakit yang menyelinap di sebalik sesuatu ketaatan itu, maka jauhlah amalan tersebut daripada memasuki pintu qabul atau penerimaan oleh Allah Taala.
Jika terkadang ketaatan yang didirikan itu boleh melontarkan jauh seorang hamba daripada pintu kehampiran dengan Tuhan-Nya, demikianlah pula kadang-kadang dosa dan maksiat yang dikerjakan oleh seorang hamba itu boleh menjadi sebab untuk sampai kepada Tuhan-Nya, masuk ke dalam Hadirat-Nya Yang Maha Mulia. Keadaan ini amat ajaib dan susah sekali untuk diterima oleh kebanyakan orang yang tidak memahami pokok hakikat ini. Namun yang pastinya di sisi orang-orang sufi terkadang dosa itu membawa rahmat kepada mereka sehingga ada yang berkata; terkadang dosa itu memasukkan ia ke dalam syurga.

Kenapa boleh jadi terbalik hukumnya di sini? Yang banyak mengerjakan amal taat dijauhkan dari pintu rahmat Tuhan sedangkan yang mengerjakan maksiat ditarik masuk ke dalam pintu Rahmat-Nya.
Mengikut pandangan mereka yang suci faham dan luas ilmu, jika seorang hamba mengerjakan amal kebajikan serta dibaikkannya sewaku mengerjakannya seperti
• menganggap dirinya yang baik dan sholeh,
• mana ada orang lain yang sanggup buat amal seperti aku,
• betapa tekun dan rajinnya aku berwirid atau menuntut ilmu,
• betapa bersungguh-sungguhnya aku dalam mujahadah,
• betapa seronok dan bersemangatnya aku dalam mengerjakan amar makruf dan nahi mungkar;

maka orang yang membaikkan amalannya seperti ini, meletakkan dirinya dalam lembah kejahatan dan tiada menjadikan Allah daripada kejahatan ini yang terlebih memberi mudhorat bagi dirinya. Betapa tidak memberi mudhorat sedangkan dalam amal taat itu tumbuh pelbagai virus dan penyakit hati seperti ujub, suma’ah, riya’, sombong dan takabbur, syirik dan sebagainya lagi. Namun bagi para salik, ada lagi yang terlebih memberi mudhorat kepadanya sebagaimana yang pernah diucapkan oleh seorang Sufi sebagaimana berikut;

Kepentingan untuk diri sahaja adalah racun yang bisa bagi orang yang masih murid.

Berbeza dengan seorang hamba(mukmin) yang mengerjakan dosa dan maksiat, maka dijahatkannya pada ketika mengerjakan dia;
• dengan memandang kepada dhoifnya diri
• dengan menilik kepada lemahnya upaya dalam mengatur urusan hidupnya;
• dengan menyesali di atas keterlanjuran diri
• dengan merujuk dan bertaubat kepada Allah
• di mana dengan semuanya tiada menjadikan Allah Taala daripada kebajikan yang terlebih memberi manfaat bagi dirinya.

Betapa tidak memberi manfaat untuk dirinya kerana dengan memandang kepada dhoifnya diri, lemahnya upaya, hinanya diri, merujuk dan kembali kepada Allah, menjadikan mereka seorang yang kembali menetap kepada hakikat kehambaan(Ubudiyah) sebagaimana yang dikehendaki; tidak sebagaimana seorang yang mendakwa Sifat Rububiyah Tuhan-Nya.

Comments Off :, , , lagi...

Mencari sesuatu?

Sila cari di bawah: