Pengubat Duka
oleh Kamal Arif Maz pada Apr.01, 2010, di Motivasi
Mudah-mudahan kita sentiasa dalam dakapan dan pelukan kasih sayang Sang Pencipta, Tuhan Seru sekelian alam, Tuhan Yang Esa, Tuhan yang kita dambakan, Allah SWT.
Janganlah kita pandang musibah, kesusahan, kekurangan dan kehilangan sebagai pembalasan dari Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang. Sanggupkah anda mendatangkan mudarat kepada seseorang yang amat anda sayangi, tatkala cinta itu terasa sangat hebat? Tidak! Bahkan Allah yang Maha Penyayang itu lebih lagi. Segalanya yang telah ditentukan adalah yang terbaik dariNya. Sebagai tanda kasih sayangNya. Kerana tidak sanggup melihat kita menyimpang lebih jauh. Memalingkan wajah kita jauh dariNya. Dia merindukan saat kita menatap wajahNya. Dia merindukan saat-saat kita bahagia di atas jalanNya. Tidak dapat saya gambarkan betapa hebatnya kasihnya Allah.
Janganlah kita mengatakan bahawa Allah itu sanggup melakukan kezaliman. Tidak. Bahkan Allah sangat kasihkan hamba-hambaNya. Cuma hamba-hambaNya yang memalingkan wajah dariNya lantaran tidak dapat merasa kasih yang dicurahkan oleh Allah kepadanya. Masyaallah.
Seorang yang rindukan dan mendambakan kasih Allah sanggup melalui semua itu dengan senyuman. Sebagaimana diceritakan dalam Al-Quran. Jadilah seperti mereka. Senyumlah, demi mengharapkan Allah. Tiada yang lain hanya Dia.
Terimalah keburukan orang lain sebagaimana kita mengharapkan Allah menerima keadaan kita yang hina dina. Adakah anda rasa diri anda cantik? Masih layak untuk dipandang oleh Allah? Memang kita tidak layak! Saya tahu saya tidak layak! Maka terimalah keburukan orang dengan harapan Allah menerima kita seadanya. Ampunkan mereka dengan harapan Allah mengampunkan dosa-dosa kita. Doakanlah agar kita dan mereka sentiasa mendapat petunjuk dan hidayah serta rahmat dari Allah.
Sesungguhnya Allah mengangkat punggung-punggung orang yang beriman. Ujian adalah tanda Allah sayang dan cinta pada kita. Ujian adalah tanda Allah hendak mengangkat kedudukan kita. Sebagai tanda Dia masih memandang kita. Sebagai tanda Dia berkehendakkan kita. Takutlah jika anda tidak menerima ujian Allah. Berbahagialah orang-orang yang diuji oleh Allah.
Kenanglah orang-orang penting dalam hidup kita. Yang pernah membuatkan kita tertawa, gembira riang dan juga menangis dan berduka. Ahli keluarga. Adik beradik. Sahabat handai. Ibu bapa. Suami Isteri. Bekas suami. Bekas isteri. Lupakanlah kesalahan mereka kepada kita, ingatlah kesalahan kita pada mereka. Lupakanlah kebaikan yang kita telah berikan kepada mereka, ingatlah kebaikan yang telah mereka berikan kepada kita. Mudah-mudahan Allah melupuskan kesalahan kita dan mengangkat kebaikan yang kita lakukan.
Percayalah. Yakinlah. Janji-janji Allah itu benar! Dia berserta dengan orang yang hendak memperbaiki amal perbuatannya. Dia menyayangi orang yang sentiasa memperbaiki amal perbuatannya.
2:216 “..dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya”
Insyaallah.
IMAM AL GHAZALI-Perjalanan
oleh aRiL pada Mar.24, 2010, di General, Motivasi
IMAM AL GHAZALI : 450-505H (1058-1111M)
Abū Ĥāmid al-Ghazālī dilahirkan pada tahun 450 Hijrah di desa Ghazālah, di pinggir kota Ţūs, yang terletak pada hari ini di bahagian timur laut negara Iran, berdekatan dengan kota Mashhad, ibu kota wilayah Khorāsān.
Ketika sedang belajar di Jurjān, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī merupakan seorang pelajar yang sangat rajin. Dengan tekun, dia telah menulis setiap pelajaran yang telah dia pelajari daripada gurunya itu. Kemudian, dia telah menyalin semula nota-nota itu dan telah dikumpulkannya di bawah beberapa tajuk yang tertentu. Dia sangat menyayangi nota-notanya itu.
Setelah tamat belajar di Jurjān, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī pun pulang ke Ţūs pada tahun 470 Hijrah. Dia telah mengikat nota-nota pelajarannya itu di dalam sebuah bungkusan dan kemudian telah bertolak bersama sebuah kafilah. Di tengah-tengah perjalanan, kafilah itu telah ditahan oleh sekumpulan penyamun yang telah merampas harta setiap anggota kafilah itu.
Ketika sampai giliran al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī pula, setiap barang kepunyaannya telah digeledah dan dirampas oleh kumpulan penyamun itu. Ketika penyamun-penyamun itu menyentuh bungkusan nota-notanya, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah berkata, “Ambillah semua yang engkau mahu, tetapi jangan engkau ambil bungkusan ini.”
Penyamun-penyamun itu pula telah menyangka yang bungkusan itu mungkin mengandungi harta-harta yang amat berharga. Mereka pun membuka bungkusan itu. Tetapi mereka hanya menjumpai beberapa helai kertas yang sudah bertulis. Mereka pun bertanya, “Apa ini?”
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah menjawab, “Ini adalah hasil titik peluhku. Kerananya, aku telah meninggalkan kampung halamanku agar aku dapat mendengar, menulis dan memperolehi ilmunya.”
Seorang anggota kumpulan penyamun itu telah ketawa dan telah berkata, “Bagaimanakah engkau boleh mendakwa yang engkau telah memperolehi ilmunya? Andaikata kami rampas bungkusan ini, engkau akan kehilangan ilmunya. Ilmu yang tersimpan di dalam beberapa helai kertas bukanlah ilmu yang sebenar!”
Bungkusan nota-nota itu pun dikembalikan kepada al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī. Kata-kata daripada si penyamun itu telah menyebabkan al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī tersedar dan mengubah cara dia berfikir.
Beberapa tahun kemudian, ketika dia mengingati kembali peristiwa ini, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah berkata, “Kata-kata daripada lelaki itu sebenarnya adalah kata-kata yang telah digerakkan (yakni diilhamkan). Allah telah menggerakkannya untuk berkata dengan kata-katanya itu, agar aku dapat menerima petunjuk. Apabila aku sampai semula di Ţūs, aku telah bekerja keras selama tiga tahun, sehingga aku telah berjaya menghapal segala yang telah aku tulis.”
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī juga telah berkata, “Sebaik-baik nasihat dan teguran yang telah menyebabkan aku mengubah cara aku berfikir, telah datang daripada seorang penyamun jalanan!”
Niżām al-Mulk telah banyak mendengar tentang keluasan dan ketinggian ilmu yang dimiliki oleh al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī. Oleh itu, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah diraikan sebagai seorang ‘ālim yang besar. Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah tinggal di al-Mu‘askar selama lebih kurang enam tahun. Dia juga telah ditemukan dengan al-fuqahā’ dan para pemuka ilmu yang lain. Semuanya telah mengakui akan keluasan dan ketinggian ilmu al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī.
Pada tahun 484 Hijrah, Niżām al-Mulk telah melantik al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī ke jawatan pengetua (atau boleh juga dikatakan jawatan ketua profesor) di al-Madrasah an-Niżāmiyyah di Baghdād (yang tarafnya sama dengan Universiti Islam pada hari ini).
Ini adalah satu pencapaian yang sangat tinggi, kerana dalam usia baru tiga puluh empat tahun, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah diberikan gelaran Syaikh al-Islām, yakni setinggi-tinggi pangkat dari segi akademik dan keagamaan yang rasmi.
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah menjalankan tugas barunya ini dengan baik. Dia telah menarik perhatian daripada ramai para pelajar, yang dekat mahupun yang jauh. Nama al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah menjadi sangat terkenal di waktu itu, sebagai seorang ‘ālim yang sangat fasih memberikan huraian-huraian pelajaran, dan sangat pandai berdebat dengan hujah-hujah yang jitu, serta sangat luas dan dalam pula ilmunya.
Tetapi keadaan hidup selesa yang penuh dengan kemegahan ini tidak berkekalan, kerana empat tahun kemudian, pada tahun 488 Hijrah, jiwanya telah melalui satu perubahan besar. Badan jasmaninya masih sihat tetapi jiwanya telah bergolak, dalam satu keadaan tertekan yang boleh diumpamakan seperti air yang sedang menggelegak. Ini telah menyebabkannya jatuh sakit.
Perubahan fikiran dan ledakan jiwa ini adalah berpunca dari satu kesedaran bahawa selama ini, segala kejayaan yang telah dicapainya, seperti memegang jawatan pengetua di al-Madrasah an-Niżāmiyyah di kota Baghdād itu, bukanlah telah dilakukannya dengan ikhlas semata-mata kerana Allah Ta’ala, tetapi telah juga dicampuri dengan sebab-sebab duniawi.
Telah bercerita al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī di dalam kitabnya yang bernama al-Munqidh Min ađ-Đalāl:
Telah menjadi nyatalah kepadaku bahawa aku tidak akan mencapai kebahagian akhirat, melainkan dengan bertaqwa, dan juga mengekang kehendak nafsu. Dan yang utama sekali ialah memotong tali ikatan hati kepada dunia, dengan meninggalkan negeri yang penuh tipu daya ini, dan kembali ke negeri yang kekal abadi. Dan mengadap kepada Allah Ta‘ala dengan sepenuh hati. Dan ini tidak akan tercapai, melainkan dengan membuangkan dahulu segala kemegahan dan kekayaan, serta menjauhkan diri dari segala kesibukan dan tuntutan dunia (al-’alā’iq).
Kemudian aku telah memeriksa keadaan diriku sendiri. Maka aku dapati rupa-rupanya aku telah terperangkap di dalam jaring pada setiap arah. Dan apabila aku periksa pula pekerjaanku di dalam memberi kuliah dan ceramah, rupa-rupanya aku telah berkecimpung di dalam ilmu-ilmu yang tidak penting, dan tidak bermanfaat di jalan akhirat.
Setelah itu, aku berfikir pula tentang niatku di dalam memberi kuliah. Nyatalah, aku tidak ikhlas kerana wajah Allah Ta’ala. Malah, pembangkit dan pendorongku yang sebenar ialah mencari kemegahan dan kemasyhuran yang luas. Maka, aku pun yakin yang aku sedang berada di pinggir satu jurang yang merbahaya. Dan aku akan segera terjunam ke dalam api neraka, melainkan aku perbaiki keadaan diriku terlebih dahulu.
Perasaan jiwanya yang bergolak-golak ini, seakan-akan sedang meronta-ronta melawan fikiran akalnya sendiri. Dan ini merupakan satu tekanan jiwa yang amat berat dirasakan oleh al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī.
Telah bercerita lagi al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī:
Tiadalah aku berhenti daripada berfikir akan keadaanku dan jalan mana yang akan aku pilih. Hatiku masih berbolak-balik.
Pada suatu hari, aku telah berazam untuk meninggalkan Baghdād, dan melepaskan diriku daripada keadaan hidup harian itu. Tetapi, pada keesokan harinya, aku telah membatalkan keputusan itu. Seolah-olah, sebelah kakiku telah melangkah ke hadapan, tetapi yang sebelah lagi telah mundur pula ke belakang!
Di pagi hari, aku telah bertekad untuk menuntut akhirat, tetapi di petang hari, tentera hawa nafsu telah datang menyerang, dan telah menghancurkannya. Syahwat dunia telah mengurungku, dan memaksa aku tetap kekal sahaja di situ, sedangkan suara keimanan telah menyeru kepadaku, “Kembaralah! Kembaralah! Tiadalah umurmu melainkan tinggal sedikit sahaja, sedangkan di hadapanmu adalah perjalanan yang jauh. Tiadalah engkau kumpulkan segala ilmu dan amal melainkan semuanya adalah riyak dan palsu belaka. Jika sekarang engkau masih belum bersiap sedia untuk akhirat, bilakah masanya engkau akan bersiap sedia? Jika sekarang engkau tidak putuskan tali belenggu itu, bilakah masanya untuk memutuskannya?”
Dan ketika seruan seperti ini bangkit, maka azam dan tekadku pun naik berkobar-kobar, rela menghadapi setiap cabaran dan rintangan.
Tetapi kemudian, datang semula syaitan dan berbisiklah dia, “Ini adalah satu perkara yang mengganggu-ganggu sahaja, jika engkau menyerah kepadanya. Biarkan sahaja. Ia akan hilang dengan segera. Jika engkau turuti ajakannya, lalu engkau tinggalkan pula segala kemegahan pangkat, serta keadaan yang baik ini, yang bebas daripada sebarang kesulitan, serta keadaan aman sejahtera yang bersih daripada perselisihan dan permusuhan, dan jika engkau turutinya, engkau akan menyesal, dan engkau akan menanggung kesukaran. Engkau tidak akan dapat kembali kepada keadaan senang seperti sebelumnya.”
Dan berterusanlah keadaanku ini, di mana aku berada di antara tarikan syahwat dunia, dan tarikan panggilan akhirat. Ia berpanjangan selama hampir enam bulan, bermula dari bulan Rejab tahun 488 Hijrah.
Pada bulan itu, aku telah berasa sudah tidak lagi berdaya, tiada lagi ikhtiarku, terpaksa menyerah sahaja. Allah telah mengunci lidahku, sehingga aku tidak dapat mengajar. Pada suatu hari, aku gagahi juga diriku untuk menyampaikan kuliah agar dapat menggembirakan hati para pelajarku. Tetapi lidahku telah menjadi kelu. Aku tidak dapat mengeluarkan sepatah kata pun. Benar-benar tidak berdaya.
Dan keadaan bisu ini telah membuatku berdukacita, sehingga telah menjejaskan kekuatan pencernaan di perutku, dan menyekat makanan dan minumanku. Roti yang dicecah kuah pun tidak dapat aku kunyah, dan tidak dapat aku telan makanan walaupun sesuap.
Aku menjadi semakin lemah, sehingga para doktor yang merawatiku pun telah berputus asa, dan telah berkata mereka, “Perkara in berpunca dari kalbu. Dari situ, ia telah merebak hingga ke seluruh badan. Dan tiada cara untuk mengubatinya, melainkan melaluinya juga. Buangkanlah rahsia yang telah menghasilkan segala duka nestapa ini.”
Akhirnya, setelah menyedari akan betapa lemahnya diriku, setelah kehabisan segala ikhtiarku, aku pun berserah bulat-bulat kepada Allah Ta‘ala. Dia telah memperkenankan doaku, kerana Dialah Tuhan yang memperkenankan doa orang yang terdesak, apabila orang itu berdoa kepadaNya. Kini, menjadi ringanlah bagi hatiku untuk meninggalkan segala kemegahan, kekayaan, anak-anak dan rakan-rakan.
Oleh itu, pada bulan Zulkaedah tahun 488 Hijrah, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah meletakkan jawatannya sebagai pengetua di al-Madrasah an-Niżāmiyyah di Baghdād, dan telah mengambil keputusan untuk meninggalkan Baghdād dan menjadi seorang pengembara. Dia telah meminta adiknya, yakni asy-Syaikh Aĥmad al-Ghazālī, mengambil alih jawatannya itu.
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī kemudian telah mewaqafkan segala harta benda kepunyaannya, selain daripada sebahagian yang telah diketepikan untuk nafkah menyara hidup keluarganya, dan juga untuk dibuat bekal perjalanannya itu. Dan untuk mengelakkan daripada terjadi sebarang syak wasangka atau kekecohan, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī hanya mengumumkan yang dia akan berangkat ke Makkah al-Mukarramah untuk menunaikan ibadat haji.
Setelah meninggalkan Baghdād, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī pun menuju ke Syria dan telah menetap di kota Damaskus selama dua tahun. Dia juga telah banyak menghabiskan masanya duduk beriktikaf di Masjid Jamik al-Umawī di kota Damaskus. Ada kalanya dia akan naik ke menara masjid itu, dan selepas menguncikan pintunya, akan duduk berseorangan diri di sebuah sudut sepanjang hari. Dan pada hari ini pula, sudut itu telah diberikan nama panggilan Sudut al-Ghazāliyyah, untuk memperingati tempat di mana al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī pernah duduk beriktikaf di kala itu. (Sebelum itu, Sudut al-Ghazāliyyah telah dikenali dengan nama Sudut asy-Syaikh Naşr al-Maqdisī.)
Memperdaya & Terpedaya
oleh sifumirza pada Mar.03, 2010, di General
salam semua…
di dalam perjalanan menuju ke hadzrat Allah ini, samada kita sedari ataupun tidak kita tergolong ke dalam golongan yang memperdaya diri sendiri atau orang lain; atau kita sendiri terpedaya oleh diri sendiri atau orang lain.
mengapa kita boleh terpedaya?
bagaimana pula kita sanggup memperdaya?
mari kita lihat firman Allah di dalam surah Ibrahim ayat 21 & 22;
21. dan mereka sekalian tetap akan berhimpun mengadap Allah (untuk dihisab pada hari kiamat); kemudian orang-orang Yang lemah (yang menjadi pengikut) kepada orang-orang Yang sombong takbur itu akan berkata kepada mereka (yang menjadi pemimpinnya): “Sesungguhnya Kami telah menjadi pengikut kamu; maka Adakah kamu dapat menolak daripada Kami sedikit dari azab Allah? “ mereka menjawab: “Kalaulah Allah menunjukkan jalan Selamat kepada kami, tentulah Kami tunjukkan jalan itu kepada kamu. (sekarang) sama sahaja kepada kita, sama ada kita menggelisah dan mengeluh atau kita bersabar, tiadalah sebarang jalan bagi kita untuk melepaskan diri (dari azab itu)”.
ayat ini memperlihatkan betapa orang-orang yang lemah; lemah akal, lemah pendirian, lemah ilmu, lemah iman dsbnya memohon pertolongan daripada orang-orang yang mereka pilih sebagai pemimpin mereka sewaktu di dunia di padang mahsyar kelak.
maka permohonan mereka itu tidaklah dapat dipenuhi kerana pemimpin-pemimpin yang mereka pilih dari kalangan orang-orang yang sombong & takbur itu juga menerima nasib yang sama di akhirat kelak.
ayat ini menunjukkan betapa orang-orang yang lemah (ilmu, iman, amal serta taqwa) akan menjadi pengikut kepada golongan yang sombong & takbur.
golongan lemah ini sebenarnya telah terpedaya oleh golongan yang memperdaya mereka sewaktu di dunia akibat dari kelemahan mereka sendiri.
golongan lemah dan golongan sombong serta takbur ini sebenarnya masing-masing telah terpedaya dengan bisikan nafsu serta syaitan sehingga mereka beroleh azab yang pedih.
ayat selanjutnya;
22. dan berkatalah pula Syaitan setelah selesai perkara itu: “Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu Dengan janji Yang benar dan Aku telah menjanjikan kamu lalu Aku mungkiri janjiKu itu kepada kamu; dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan Kuasa mempengaruhi kamu selain daripada Aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi Aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) Yang kamu sekutukan daku denganNya”. Sesungguhnya orang-orang Yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab Yang tidak terperi sakitnya.
di dalam ayat ini, menunjukkan setelah selesai manusia-manusia lemah itu gagal mendapatkan pertolongan dari para pemimpin mereka yang mereka pilih secara sembrono, maka syaitan pula menempelak mereka dengan mengatakan bahawa manusia-manusia yang lemah itu lupa akan janji-janji yang Allah berikan yang semuanya benar semata-mata.
manusia-manusia yang lemah ini juga dijanjikan oleh syaitan dengan pelbagai janji-janji yang akhirnya dimungkiri dan ternyata ianya palsu kerana syaitan sendiri mengaku mereka tiada sebarang alasan malah tiada sebarang daya selain dari keizinan dari Allah.
syaitan seterusnya menempelak manusia-manusia lemah itu bahawa mereka-mereka (syaitan) itu hanya mengajak sahaja tetapi manusia-manusia yang lemah itu sendiri yang terburu-buru mahu mengikut jejak syaitan.
manusia-manusia yang lemah itu jadi terburu-buru mengikut syaitan lantaran dari dorongan hawa nafsu mereka sendiri yang cinta kepada dunia, wanita serta tahta atau kuasa.
lihat bagaimana syaitan berlepas tangan dengan mengatakan ‘aku tidak boleh menyelamatkan kamu (manusia lenah itu) malah syaitan sendiri tidak boleh menyelamatkan diri mereka.
akhirnya syaitan menjelaskan betapa mereka memang dari golongan yang engkar sejak dari dahulu lagi dan manusia-manusia yang lemah itu sendiri menyekutukan syaitan dengan Allah dalam kehidupan seharian mereka.
akhir ayat ini, Allah berfirman; sesungguhnya orang yang zalim (menzalimi diri sendiri dengan mengikut dorongan nafsu serta hasutan syaitan) akan memperoleh azab yang pedih.
begitulah kehidupan.
ada yang terpedaya dan ada yang memperdaya.
manusia ada yang bersifat dengan sifat syaitan iaitu memperdaya dan manusia ada yang bersifat dengan sifat yang lemah iaitu terpedaya.
lebih malang, manusia-manusia yang terpedaya ini, terpedaya setelah banyak keterangan-keterangan yang dihidangkan dihadapan mereka melalui Al-Quran serta sunnah Baginda Rasulullah s.a.w.
di mana kita?
wasalam
Taat yang menjauhkan, Dosa yang menghampirkan…
oleh aRiL pada Feb.04, 2010, di Community, General
“Terkadang Allah membuka untukmu pintu taat, tetapi belum dibukakan bagimu pintu qabul, sebagaimana ada kalanya ditakdirkan engkau berbuat dosa tetapi menjadi sebab Wasil ilaLlah”.
Kadang-kadang(bukannya selalu atau bukan semestinya begitu), dibukakan bagimu pintu taat dengan rajin dan tekun untuk mendirikan dan menambah, mempertingkatkan setiap amalan kebajikan yang disukai oleh syarak.
• Rajin sembahyang dan puasa,
• tekun dalam menuntut ilmu,
• bersemangat dalam berwirid dan berzikir,
• suka menganjurkan kebaikan untuk diri sendiri dan umum dan
• sentiasa cenderung untuk melipatgandakan amal taat yang sedia ada.
Tetapi malangnya, …… semua amal taat dan kebajikan yang dikerjakan itu tiada dibukakan bagimu pintu Qabul yakni tidak diterima oleh Allah. Dengan kata lain amal taat yang mengunung tinggi banyak sekali pun yang kita kerjakan belum tentu dapat menjamin diterima oleh Allah Taala. Bila sudah tidak diterima, maka semakin menjauhlah hamba itu dengan Tuhan-Nya.
Banyaklah punca dan sebab-sebabnya yang menjadikan amal taat itu tidak diterima, tetapi yang paling besarnya ialah wujudnya hama syirik dalam ibadat; paling tidak, … menilik dan memandang kepada keupayaan diri. Orang yang bersyirik adalah mereka yang menduakan Allah. Bila dua, maka terlontar jauhlah diri daripada mencapai hakikat Keesaan atau Tauhid.
Apabila jalan taat dan kebaikan tidak dapat menghampirkan diri hamba dengan Tuhan-Nya, sebagai satu Kurnia dari Yang Bersifat Pengasih lagi Penyayang, maka dihukum denganmu dosa yakni maka Allah akan menjatuhkan dirimu kepada suatu dosa dan maksiat yang amat kau kesali. Dalam baik-baik kita mengistiqamahkan amal kebajikan dan ketaatan kepada Allah, maka tiba-tiba timbul satu musibah yang menyebabkan diri tersilap dan terjerumus ke dalam najis dosa dan maksiat. Mungkin tanpa disedari kita telah mengkhianati saudara kita dengan terpaksa menipu atau menindas mereka demi untuk menjaga maruah dan harga diri kita atau keluarga. Mungkin tanpa sengaja, kita terambil hak orang lain yang lebih memerlukan demi untuk memelihara keperluan diri dan mungkin apa sahaja yang menjadikan diri kita bertindak tidak mengikut jalan yang diredhoi oleh Allah. Bila disedari akan kesilapan dan kesalahan diri itu, betapa hati(orang mukmin) akan menyesali, menjadi berterbangan segala jantung kerana takutkan pembalasan Allah.
Tersumbat hati dengan dirasai bahawa tidak satu makhluk pun yang dapat membersihkan najis yang terpalit itu, malah dirasakan tidak ada sesuatu yang dapat menolong dan membantunya melainkan Allah Taala Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengampuni. Maka adalah dosa itu akan sebab sampaimu kepada-Nya yakni dengan dosa dan penyesalan itu akan membukakan pintu kesedaran bahawa tidak ada sesuatu lagi melainkan Allah sahaja yang dapat membantunya. Hati yang penuh kesedaran ini sahajalah yang akan sampai kepada Allah.
• Tunduk dan merendahkan diri dengan penuh kehinaan dan kedhoifan.
• Sedar betapa lekeh dirinya,
• betapa hina dan jahat dirinya ,
• betapa lemahnya diri dan segala sesuatu yang lain,
• betapa dhoif diri sendiri hingga tidak berupaya menguruskan kehidupan dengan baik,
yang menjadikan diri lemah longlai tersandar di dinding tanpa ada ruang lagi di sekeliling dengan memandang dan mengharapkan pertolongan belas ihsan dan kebaikan melainkan dari Allah semata-mata. Keadaan inilah, dengan hati yang merujuk terus kepada Wajah Allah tanpa sebarang tolehan kepada yang lain; akan membawa seseorang berhadapan dengan Hadirat-Nya. Hal ini tidak sebagaimana yang biasa terjadi kepada ahli taat yang memandang akan wujud upaya dirinya.
Inilah ciri-ciri seorang hamba yang mukmin kerana orang yang mukmin itu apabila jatuh daripada dosa, maka jadilah ia menyesal dan Ihtiqar dirinya. Maka adalah demikian itu sebab dalam sampaimu.
Tegasnya sewaktu taat tidak dibukakan pintu kehampiran kerana punya hama syirik yang menilik upaya diri, sebaliknya pintu kehampiran itu dibukakan buat yang berdosa tetapi menyesali dan menyedari lemah dirinya (dengan maksud tidak wujud sesuatu kuasa yang dapat menolong dirinya bagi mendapat sesuatu kebaikan melainkan dengan limpah kurnia dari Allah Taala).
Setelah diketahui betapa sia-sianya memandang kepada upaya diri dalam mendirikan taat, maka wajiblah bagi hamba yang ingin mencapai kehampiran dengan Allah tidak menilik kepada segala surah (rupa) sesuatu [amal] yakni;
• Tidak menilik kepada banyak sedikitnya amal atau;
• Tidak menilik kepada kecantikan dan kebaikan amal itu;
• Tidak menilik kepada habuan diri seperti keramat dan kemuliaan;
• Tidak menilik kepada balasan syurga dengan segala nikmatnya;
• Tidak menilik kepada tempat itu dan ini(depan orang buat, di belakang orang tidak buat, atau di masjid banyak beramal tetapi di tempat lain rasa kurang untuk beramal);
• Tidak ujub dengan kehebatan diri dalam mendirikan pelbagai taat yang jarang dapat dikerjakan oleh kebanyakan orang;
Bahkan sebagai seorang hamba yang sedar diri hendaklah menilik ia kepada segala hakikatnya yakni Kehendak Allah, Kekuasaan Allah, Kekayaan Allah, Kemurahan Allah dengan segala Limpah Kurnia-Nya. Bersyukur dengan memandang kepada Allah Yang Memberi bukannya kepada apa yang diberikan .
Kenapa dan mengapa sehingga wajib seorang hamba itu menilik kepada segala hakikatnya bukan kepada segala rupa amalannya?
Ini adalah kerana segala wajah taat itu tiada menghendaki ia akan wujud qabul baginya yakni Allah tidak memandang kepada zhohir dan rupa segala bentuk amal ibadat sebagai syarat penerimaan diterima sesuatu amalan tersebut, kerana pada seorang yang memandang kepada wajah taat atau keupayaan dirinya menunjukkan mereka masih dibayangi oleh ifat(penyakit) yang memberi kecederaannya daripada tiada ikhlas dalamnya yakni penyakit-penyatkit seperti riya’, ujub, takabbur dan sebagainya yang sememangnya sukar untuk dilihat seumpama semut hitam yang berjalan di atas batu hitam pada waktu yang kelam.
Dengan adanya hama penyakit yang menyelinap di sebalik sesuatu ketaatan itu, maka jauhlah amalan tersebut daripada memasuki pintu qabul atau penerimaan oleh Allah Taala.
Jika terkadang ketaatan yang didirikan itu boleh melontarkan jauh seorang hamba daripada pintu kehampiran dengan Tuhan-Nya, demikianlah pula kadang-kadang dosa dan maksiat yang dikerjakan oleh seorang hamba itu boleh menjadi sebab untuk sampai kepada Tuhan-Nya, masuk ke dalam Hadirat-Nya Yang Maha Mulia. Keadaan ini amat ajaib dan susah sekali untuk diterima oleh kebanyakan orang yang tidak memahami pokok hakikat ini. Namun yang pastinya di sisi orang-orang sufi terkadang dosa itu membawa rahmat kepada mereka sehingga ada yang berkata; terkadang dosa itu memasukkan ia ke dalam syurga.
Kenapa boleh jadi terbalik hukumnya di sini? Yang banyak mengerjakan amal taat dijauhkan dari pintu rahmat Tuhan sedangkan yang mengerjakan maksiat ditarik masuk ke dalam pintu Rahmat-Nya.
Mengikut pandangan mereka yang suci faham dan luas ilmu, jika seorang hamba mengerjakan amal kebajikan serta dibaikkannya sewaku mengerjakannya seperti
• menganggap dirinya yang baik dan sholeh,
• mana ada orang lain yang sanggup buat amal seperti aku,
• betapa tekun dan rajinnya aku berwirid atau menuntut ilmu,
• betapa bersungguh-sungguhnya aku dalam mujahadah,
• betapa seronok dan bersemangatnya aku dalam mengerjakan amar makruf dan nahi mungkar;
maka orang yang membaikkan amalannya seperti ini, meletakkan dirinya dalam lembah kejahatan dan tiada menjadikan Allah daripada kejahatan ini yang terlebih memberi mudhorat bagi dirinya. Betapa tidak memberi mudhorat sedangkan dalam amal taat itu tumbuh pelbagai virus dan penyakit hati seperti ujub, suma’ah, riya’, sombong dan takabbur, syirik dan sebagainya lagi. Namun bagi para salik, ada lagi yang terlebih memberi mudhorat kepadanya sebagaimana yang pernah diucapkan oleh seorang Sufi sebagaimana berikut;
Kepentingan untuk diri sahaja adalah racun yang bisa bagi orang yang masih murid.
Berbeza dengan seorang hamba(mukmin) yang mengerjakan dosa dan maksiat, maka dijahatkannya pada ketika mengerjakan dia;
• dengan memandang kepada dhoifnya diri
• dengan menilik kepada lemahnya upaya dalam mengatur urusan hidupnya;
• dengan menyesali di atas keterlanjuran diri
• dengan merujuk dan bertaubat kepada Allah
• di mana dengan semuanya tiada menjadikan Allah Taala daripada kebajikan yang terlebih memberi manfaat bagi dirinya.
Betapa tidak memberi manfaat untuk dirinya kerana dengan memandang kepada dhoifnya diri, lemahnya upaya, hinanya diri, merujuk dan kembali kepada Allah, menjadikan mereka seorang yang kembali menetap kepada hakikat kehambaan(Ubudiyah) sebagaimana yang dikehendaki; tidak sebagaimana seorang yang mendakwa Sifat Rububiyah Tuhan-Nya.
Sheikh Sarbat Pettanni : Perjalanan Bermula
oleh sifumirza pada Jan.21, 2010, di General
bibir Sheikh Sarbat kumat kamit melafazkan zikir…lenggok badan Sheikh Sarbat turut berayun mengikut alunan zikir yang dituturkan…mata Sheikh Sarbat fokus ke sejadah baru yang dihadiahkan oleh Siak Zulkapli tempohari.
kalau nak dihitung hadiah pemberian anak-anak murid, sangat tak terhitung. Sebut sahaja apa kemahuan Sheikh Sarbat, tup tap tup tap, barang pun sampai. Sheikh Sarbat tidak pernah meminta tetapi hadiah yang diterima tidak putus-putus kunjungnya dari hari ke hari. Baru sahaja bulan lepas Sheikh Sarbat dihadiahkan van besar untuk memudahkan beliau ke sana-sini. Van model Tayata Olpad itupun dihadiahkan oleh seorang menteri kanan kerajaan, Datuk Buluhkasap Pangkubumi.
sesekali Sheikh Sarbat memperbetulkan sila duduknya. Almaklumlah, zikir yang perlu dilakukan malam ini jumlahnya bukan sedikit dan bukan calang-calang orang boleh melakukannya.
dalam satu majlis bual-bual kosong yang dijemput oleh anak murid Sheikh Sarbat, beliau pernah ditanya soalan yang menjurus kepada pemantapan diri dan amalan yang perlu dilakukan untuk mendapatkan diri yang mantap. Sheikh Sarbat tidak terus menjawap, beliau mengambil sedikit masa sambil merenung tajam mata si penanya soalan.
“Mahu mantap yang bagaimana?” soal Sheikh Sarbat?
“Mantap serba serbi Tuan” jawap penanya.
“Adakah diri ente tidak mantap sekarang?” Sheikh Sarbat menambah soalan.
“Entahlah Tuan, rasa-rasanya masih banyak kekurangan lagi diri ini…” sambut penanya, sambil sedikit gusar takut-takut terus ditanya oleh Sheikh Sarbat.
“Di mana rasanya kekurangan itu?” Sheikh Sarbat menambah dan kali ini beliau sedikit menekan suara kerana dilihat si penanya cuba untuk lari dari terus bertanya.
“….mmmmmmm”… si penanya terus buntu dan mati akal untuk terus menghuraikan di mana kekurangan diri.
“baiklah, janganlah risau…Insya Allah ana akan bantu ente..” sambil tersenyum Sheikh Sarbat menjawab dan luruhlah keresahan si penanya tadi.
“ambil sampul ini dan buka bila sampai di rumah…..” arah Sheikh Sarbat sambil tangan beliau mencapai sekeping sampul surat yang terselit dicelah-celah helaian mukasurat kitab yang beliau selalu bawa.
“terima kasih banyak-banyak Tuan”….si penanya menjawab sambil mencapai sampul surat dari Sheikh Sarbat.
“ingat, di dalam sampul itu ada tugasan yang wajib ente lakukan… dan tugasan itu akan membantu ente dalam langkah-langkah untuk memantapkan diri” pesan Sheikh Sarbat dengan tegas dan mata yang garang.
zikir Sheikh Sarbat sudah menjangkau ke bilangan 10 ribu. Sheikh Sarbat masih tenang dan terus fokus dalam kegelapan suasana di sekeliling beliau. Bunyi unggas yang bersahut-sahutan tidak lansung memberi gangguan pada fokus Sheikh Sarbat.
memang sifat Sheikh Sarbat sentiasa fokus dan melakukan sesuatu perkara itu dengan bersungguh-sungguh. Segala nasihat beliau dalam majlis bual-bual kosong semuanya berlapik dan memberikan seribu makna tersirat. Hanya yang benar-benar mendengar dan fokus kepada segala tutur syarah Sheikh Sarbat akan mendapat kefahaman. Yang sibuk menyampuk pasti akan kerugian ibarat dengar guruh dilangit, air tempayan dicurahkan.
Napi, si penanya yang mahu memantapkan diri tadi sudah tidak sabar mahu membuka sampul surat pemberian Sheikh Sarbat. Beliau merasakan dirinya sangat bertuah bila mendapat sampul surat berkenaan. Memang patut Napi berperasaan begitu, kerana memang sukar bagi seseorang itu mendapat ‘petua’ dalam mana-mana majlis bual-bual kosong yang Sheikh Sarbat bersyarah.
Sampai di rumah Napi meletakkan sampul surat pemberian Sheikh Sarbat itu di atas gerobok dalam bilik. Gerak hatinya menyuruh beliau mandi membersihkan diri dan melakukan solat taubat memohon keampunan Allah dan sujud syukur kerana beliau diizinkan Allah untuk memperoleh jawapan kepada proses pemantapan diri.
Selesai solat, Napi tiba-tiba berdebar apabila memandang sampul surat itu.
“apakah agaknya isi kandungan sampul tersebut?” bisik hati beliau.
“agaknya ada petua-petua yang sangat berkesan untuk aku mantapkan diri aku”
“atau ada zikir-zikir yang boleh aku amalkan untuk pemantapan diri”
“atau ada rahsia yang orang lain tidak perolehi selain aku”….
macam-macam telahan yang hadir di kepala Napi.
perlahan-lahan Napi mengambil sampul surat pemberian Sheikh Sarbat lalu membukanya dengan debaran yang semakin kencang.
“eh, ada kertas di dalamnya”…bisik Napi sambil menarik keluar kertas putih itu dengan tertib dari sampul surat tersebut.
Napi membuka lipatan kertas putih bersaiz A4 dengan debaran yang makin kencang.
Mata Napi seolah tidak percaya akan isi kandungan yang ada pada kertas A4 tersebut.
Napi terus terduduk dan tangannya memegang erat bucu kertas A4 itu sambil melihatnya sekali lagi.
Ingatannya terus kepada pesanan Sheikh Sarbat tadi……”ingat, di dalam sampul itu ada tugasan yang wajib ente lakukan… dan tugasan itu akan membantu ente dalam langkah-langkah untuk memantapkan diri”….
Napi sudah tiada pilihan lagi. Jika mahu mantap beliau wajib akur pada pesanan Sheikh Sarbat.
Jam sudah menunjukkan tepat pukul 12 tengah malam. Sudah lebih 3 jam Napi memegang kertas A4 itu sambil duduk merenung tulisan yang tertera di atas kertas tersebut.
“S.W.O.T Analysis Diri” tulisan yang paling besar yang menjadi tajuk tertera jelas di atas kertas A4 itu…
malam terus kelam…