Baitulummah Society

Sheikh Sarbat Pettanni : Perjalanan Bermula

oleh sifumirza pada Jan.21, 2010, di General

bibir Sheikh Sarbat kumat kamit melafazkan zikir…lenggok badan Sheikh Sarbat turut berayun mengikut alunan zikir yang dituturkan…mata Sheikh Sarbat fokus ke sejadah baru yang dihadiahkan oleh Siak Zulkapli tempohari.

kalau nak dihitung hadiah pemberian anak-anak murid, sangat tak terhitung. Sebut sahaja apa kemahuan Sheikh Sarbat, tup tap tup tap, barang pun sampai. Sheikh Sarbat tidak pernah meminta tetapi hadiah yang diterima tidak putus-putus kunjungnya dari hari ke hari. Baru sahaja bulan lepas Sheikh Sarbat dihadiahkan van besar untuk memudahkan beliau ke sana-sini. Van model Tayata Olpad itupun dihadiahkan oleh seorang menteri kanan kerajaan, Datuk Buluhkasap Pangkubumi.

sesekali Sheikh Sarbat memperbetulkan sila duduknya. Almaklumlah, zikir yang perlu dilakukan malam ini jumlahnya bukan sedikit dan bukan calang-calang orang boleh melakukannya.

dalam satu majlis bual-bual kosong yang dijemput oleh anak murid Sheikh Sarbat, beliau pernah ditanya soalan yang menjurus kepada pemantapan diri dan amalan yang perlu dilakukan untuk mendapatkan diri yang mantap. Sheikh Sarbat tidak terus menjawap, beliau mengambil sedikit masa sambil merenung tajam mata si penanya soalan.

“Mahu mantap yang bagaimana?” soal Sheikh Sarbat?
“Mantap serba serbi Tuan” jawap penanya.
“Adakah diri ente tidak mantap sekarang?” Sheikh Sarbat menambah soalan.
“Entahlah Tuan, rasa-rasanya masih banyak kekurangan lagi diri ini…” sambut penanya, sambil sedikit gusar takut-takut terus ditanya oleh Sheikh Sarbat.
“Di mana rasanya kekurangan itu?” Sheikh Sarbat menambah dan kali ini beliau sedikit menekan suara kerana dilihat si penanya cuba untuk lari dari terus bertanya.
“….mmmmmmm”… si penanya terus buntu dan mati akal untuk terus menghuraikan di mana kekurangan diri.

“baiklah, janganlah risau…Insya Allah ana akan bantu ente..” sambil tersenyum Sheikh Sarbat menjawab dan luruhlah keresahan si penanya tadi.

“ambil sampul ini dan buka bila sampai di rumah…..” arah Sheikh Sarbat sambil tangan beliau mencapai sekeping sampul surat yang terselit dicelah-celah helaian mukasurat kitab yang beliau selalu bawa.

“terima kasih banyak-banyak Tuan”….si penanya menjawab sambil mencapai sampul surat dari Sheikh Sarbat.

“ingat, di dalam sampul itu ada tugasan yang wajib ente lakukan… dan tugasan itu akan membantu ente dalam langkah-langkah untuk memantapkan diri” pesan Sheikh Sarbat dengan tegas dan mata yang garang.

zikir Sheikh Sarbat sudah menjangkau ke bilangan 10 ribu. Sheikh Sarbat masih tenang dan terus fokus dalam kegelapan suasana di sekeliling beliau. Bunyi unggas yang bersahut-sahutan tidak lansung memberi gangguan pada fokus Sheikh Sarbat.

memang sifat Sheikh Sarbat sentiasa fokus dan melakukan sesuatu perkara itu dengan bersungguh-sungguh. Segala nasihat beliau dalam majlis bual-bual kosong semuanya berlapik dan memberikan seribu makna tersirat. Hanya yang benar-benar mendengar dan fokus kepada segala tutur syarah Sheikh Sarbat akan mendapat kefahaman. Yang sibuk menyampuk pasti akan kerugian ibarat dengar guruh dilangit, air tempayan dicurahkan.

Napi, si penanya yang mahu memantapkan diri tadi sudah tidak sabar mahu membuka sampul surat pemberian Sheikh Sarbat. Beliau merasakan dirinya sangat bertuah bila mendapat sampul surat berkenaan. Memang patut Napi berperasaan begitu, kerana memang sukar bagi seseorang itu mendapat ‘petua’ dalam mana-mana majlis bual-bual kosong yang Sheikh Sarbat bersyarah.

Sampai di rumah Napi meletakkan sampul surat pemberian Sheikh Sarbat itu di atas gerobok dalam bilik. Gerak hatinya menyuruh beliau mandi membersihkan diri dan melakukan solat taubat memohon keampunan Allah dan sujud syukur kerana beliau diizinkan Allah untuk memperoleh jawapan kepada proses pemantapan diri.

Selesai solat, Napi tiba-tiba berdebar apabila memandang sampul surat itu.

“apakah agaknya isi kandungan sampul tersebut?” bisik hati beliau.
“agaknya ada petua-petua yang sangat berkesan untuk aku mantapkan diri aku”
“atau ada zikir-zikir yang boleh aku amalkan untuk pemantapan diri”
“atau ada rahsia yang orang lain tidak perolehi selain aku”….
macam-macam telahan yang hadir di kepala Napi.

perlahan-lahan Napi mengambil sampul surat pemberian Sheikh Sarbat lalu membukanya dengan debaran yang semakin kencang.

“eh, ada kertas di dalamnya”…bisik Napi sambil menarik keluar kertas putih itu dengan tertib dari sampul surat tersebut.

Napi membuka lipatan kertas putih bersaiz A4 dengan debaran yang makin kencang.

Mata Napi seolah tidak percaya akan isi kandungan yang ada pada kertas A4 tersebut.

Napi terus terduduk dan tangannya memegang erat bucu kertas A4 itu sambil melihatnya sekali lagi.

Ingatannya terus kepada pesanan Sheikh Sarbat tadi……”ingat, di dalam sampul itu ada tugasan yang wajib ente lakukan… dan tugasan itu akan membantu ente dalam langkah-langkah untuk memantapkan diri”….

Napi sudah tiada pilihan lagi. Jika mahu mantap beliau wajib akur pada pesanan Sheikh Sarbat.

Jam sudah menunjukkan tepat pukul 12 tengah malam. Sudah lebih 3 jam Napi memegang kertas A4 itu sambil duduk merenung tulisan yang tertera di atas kertas tersebut.

“S.W.O.T Analysis Diri” tulisan yang paling besar yang menjadi tajuk tertera jelas di atas kertas A4 itu…

malam terus kelam…


Komen telah ditutup.

Mencari sesuatu?

Sila cari di bawah: