Kesedaran Asli….
oleh sifumirza pada Jan.13, 2010, di General
salam semua…
mudah-mudahan kalian berada dalam lindungan Illahi hendaknya.. insya Allah.
dalam perjalanan hidup saya yang hampir separuh abad ini, saya sering juga memikirkan betapa rasa bersyukurnya saya kerana lahir dalam Islam….
saya turut memikirkan betapa bertuahnya saya apabila tergolong ke dalam golongan-golongan yang sering diberi kesedaran dan kefahaman pada setiap masa dan ketika…
saya juga turut memikirkan betapa beruntungnya saya apabila terlibat dalam industri pembangunan modal insan kerana saya berpeluang untuk belajar dalam masa saya mengajar…
saya kira perjalanan hidup saya sama juga seperti perjalanan hidup manusia lain yang setiap hari bertungkus-lumus menyempurnakan amanah dan ibadah semampu yang mungkin…
saya gemar menjelajah ke segenap pelusuk bumi Allah ini..
kegemaran ini sebenarnya memberi saya peluang untuk memerhati keindahan ciptaan Tuhan, dari keadaan bentuk muka bumi, langitnya, lautnya, kehijauannya dan manusia yang ada di situ.
dan apabila saya memerhatikan sesuatu itu, pemerhatian saya selalunya terpandu untuk melihat yang luaran dan dalamannya sekali… orang kata zahir & batin.
tidak puas bagi saya jika saya hanya dapat melihat keindahan dari sudut zahir sahaja… saya mahu melihat juga keindahan yang bagi saya lebih indah lagi dari sudut batin.
melalui penglihatan zahir dan batin ini, saya selalu mendapat rumusan yang makin mendekatkan saya kepada Allah… dan ada kalanya saya tidak dapat menahan sebak di dada apabila melihat sesuatu yang sangat indah zahir dan batin sehingga tiada kalimat yang dapat memberikan gambaran tersebut.
saya jangka, orang lain juga seperti saya; boleh melihat zahir dan boleh melihat batin…namun sepanjang perjalanan separuh abad ini, jangkaan saya meleset sama sekali.
tidak ramai rupanya yang boleh melihat zahir dan batin sekaligus.. ada yang asyik dengan keindahan zahir lantas sibuk menyusun ayat serta kata-kata yang indah dalam mengambarkan sesuatu perkara itu…. ada juga yang tidak dapat melihat keindahan zahir apalagi batin tetapi cuba juga untuk mengambarkan sesuatu yang ’stereotype’…
saya kira ini adalah satu anugerah Allah buat saya yang biasa ini.
saya kata biasa kerana saya bukanlah lulusan universiti islam atau pondok mana-mana.
saya kata biasa kerana saya yakin semua manusia juga mempunyai keupayaan yang sama seperti saya…
mengapa saya katakan sama dari segi keupayaan?
ianya kerana setiap kita telah dianugerahkan Allah keupayaan atau potensi yang hebat; merangkumi kekuatan, kehendak, ilmu, kehidupan, pendengaran, penglihatan dan pertuturan.
cuma mungkin ada manusia yang sedar akan potensi diri tersebut dan ada yang lalai leka… itu yang membezakannya.
bagi yang sedar pula, ada juga yang bersikap acuh tak acuh untuk memaksimakan potensi atau keupayaan diri tadi hingga layaknya seolah seperti tidak sedar atau tiada kesedaran.
kesedaran tidaklah boleh dibuat-buat.
ianya asli dan datang dengan keyakinan yang bulat…sangat bulat sehingga tiada cacat dipermukaannya.
kesedaran bermula apabila kita menyedari betapa diri kita ini bukanlah milik sesiapa kecuali Allah.
kesedaran bermula apabila kita menyedari bahawa setiap apa yang ada di depan kita adalah hadirnya dari Allah.
kesedaran bermula apabila kita menjaga hubungan kita sesama manusia…’hablum minannas’
kesedaran bermula apabila kita sedar bahawa hadirnya kita di muka bumi ini tidak lain tidak bukan hanyalah untuk tujuan beribadah kepadaNYA…
kesedaran bermula apabila kita sedar bahawa kita tiada daya upaya ke atas setiap perkara…
kesedaran bermula apabila kita menyedari bahawa penyerahan bulat itu bermula pada setiap turun naik nafas kita..
kesedaran bermula apabila kita memaksimakan sebaiknya anugerah Allah kepada kita..
kesedaran bermula apabila kita sedar bahawa kita hanya hamba yang menurut segala perintah Allah..
kesedaran bermula apabila kita menyesali di atas setiap kekhilafan yang kita lakukan dalam kehidupan seharian..
kesedaran bermula apabila kita tidak mensia-siakan kesempatan yang diberi dalam ibadah seharian..
kesedaran bermula apabila kita benar-benar dalam keadaan sujud hanya kepada Allah..
kesedaran bermula apabila sudah tiada lagi dunia di dalam diri kita..
kesedaran bermula apabila kita bahagia melihat manusia lain bahagia..
kesedaran bermula apabila kita bangun ditengah malam di malam yang gelap untuk beribadah kepadaNya..
kesedaran bermula apabila kita cinta kepada semua manusia sebagaimana kita mencintai diri kita..
kesedaran bermula apabila kita sudah tiada sifat mementingkan diri sendiri..
kesedaran bermula apabila kita bersedia untuk mati..
kesedaran bermula apabila kita sentiasa bersyukur atas setiap anugerah Allah..
kesedaran bermula apabila kita sentiasa tenang tatkala susah dan senang..
kesedaran ini satu sifat asli yang tidak boleh dibuat-buat.
kesedaran juga tidak boleh dipaksa-paksa.
ya, kesedaran merujuk kepada kepekaan diri kita;
kepekaan terhadap Allah
kepekaan terhadap diri sendiri
kepekaan terhadap manusia lain
kepekaan terhadap seluruh ciptaannya
jika kita masih meletakkan diri atau keluarga sebagai keutamaan dalam perjalanan hidup ini, maka kita belumlah lagi tergolong kedalam golongan yang sedar dan peka.
kita tiba-tiba bersifat pentingkan diri apabila mengutamakan keluarga sedangkan pada masa yang sama, kita diperlukan untuk kemaslahatan umum (kebaikan ummah).
kita jadi manusia yang bongkak sombong serta takbur apabila kita mengelak untuk meluangkan sedikit masa demi kepentingan sesama Islam.
kita jadi manusia yang ‘laro’ atau lalai apabila kita tidak mahu memahami isi serta maksud yang tersurat atau tersirat akan setiap firman Allah.
kita jadi manusia yang engkar apabila hanya bersyukur di atas pemberian nikmat kepada diri sendiri dan keluarga sahaja.
kita jadi manusia yang hipokrit apabila tatkala susah, barulah kita menadah tangan memohon…dan permohonan itu hanyalah sekadar untuk melepaskan diri dari kesusahan sedangkan kita tidak pernah menghulur bantuan barang apa sahaja yang mampu untuk ummah.
begitulah…
bagaimana mahu kita mendapatkan kesedaran dan kepekaan asli ini?
ianya bermula apabila kita berjaya memutuskan setiap tali yang terikat pada diri kita…tali yang menghubung kita dengan dunia yang fana…tali yang sering mengasyikkan diri kita dengan hiburan dunia…tali yang sering mengikat kemas kita dipembaringan di sepertiga malam.
putuskanlah tali-tali itu..
bergantunglah sepenuhnya kepada Allah..kerana Dialah tempat kita bergantung seluruhnya.
saya masih terus belajar…
apa yang dikongsi adalah episod perjalanan hidup saya…
mudah-mudahan kita berjaya dengan izinNya di dunia dan akhirat.. insya Allah.
wasalam