Baitulummah Society

Archive for January, 2010

Sheikh Sarbat Pettanni : Perjalanan Bermula

oleh sifumirza pada Jan.21, 2010, di General

bibir Sheikh Sarbat kumat kamit melafazkan zikir…lenggok badan Sheikh Sarbat turut berayun mengikut alunan zikir yang dituturkan…mata Sheikh Sarbat fokus ke sejadah baru yang dihadiahkan oleh Siak Zulkapli tempohari.

kalau nak dihitung hadiah pemberian anak-anak murid, sangat tak terhitung. Sebut sahaja apa kemahuan Sheikh Sarbat, tup tap tup tap, barang pun sampai. Sheikh Sarbat tidak pernah meminta tetapi hadiah yang diterima tidak putus-putus kunjungnya dari hari ke hari. Baru sahaja bulan lepas Sheikh Sarbat dihadiahkan van besar untuk memudahkan beliau ke sana-sini. Van model Tayata Olpad itupun dihadiahkan oleh seorang menteri kanan kerajaan, Datuk Buluhkasap Pangkubumi.

sesekali Sheikh Sarbat memperbetulkan sila duduknya. Almaklumlah, zikir yang perlu dilakukan malam ini jumlahnya bukan sedikit dan bukan calang-calang orang boleh melakukannya.

dalam satu majlis bual-bual kosong yang dijemput oleh anak murid Sheikh Sarbat, beliau pernah ditanya soalan yang menjurus kepada pemantapan diri dan amalan yang perlu dilakukan untuk mendapatkan diri yang mantap. Sheikh Sarbat tidak terus menjawap, beliau mengambil sedikit masa sambil merenung tajam mata si penanya soalan.

“Mahu mantap yang bagaimana?” soal Sheikh Sarbat?
“Mantap serba serbi Tuan” jawap penanya.
“Adakah diri ente tidak mantap sekarang?” Sheikh Sarbat menambah soalan.
“Entahlah Tuan, rasa-rasanya masih banyak kekurangan lagi diri ini…” sambut penanya, sambil sedikit gusar takut-takut terus ditanya oleh Sheikh Sarbat.
“Di mana rasanya kekurangan itu?” Sheikh Sarbat menambah dan kali ini beliau sedikit menekan suara kerana dilihat si penanya cuba untuk lari dari terus bertanya.
“….mmmmmmm”… si penanya terus buntu dan mati akal untuk terus menghuraikan di mana kekurangan diri.

“baiklah, janganlah risau…Insya Allah ana akan bantu ente..” sambil tersenyum Sheikh Sarbat menjawab dan luruhlah keresahan si penanya tadi.

“ambil sampul ini dan buka bila sampai di rumah…..” arah Sheikh Sarbat sambil tangan beliau mencapai sekeping sampul surat yang terselit dicelah-celah helaian mukasurat kitab yang beliau selalu bawa.

“terima kasih banyak-banyak Tuan”….si penanya menjawab sambil mencapai sampul surat dari Sheikh Sarbat.

“ingat, di dalam sampul itu ada tugasan yang wajib ente lakukan… dan tugasan itu akan membantu ente dalam langkah-langkah untuk memantapkan diri” pesan Sheikh Sarbat dengan tegas dan mata yang garang.

zikir Sheikh Sarbat sudah menjangkau ke bilangan 10 ribu. Sheikh Sarbat masih tenang dan terus fokus dalam kegelapan suasana di sekeliling beliau. Bunyi unggas yang bersahut-sahutan tidak lansung memberi gangguan pada fokus Sheikh Sarbat.

memang sifat Sheikh Sarbat sentiasa fokus dan melakukan sesuatu perkara itu dengan bersungguh-sungguh. Segala nasihat beliau dalam majlis bual-bual kosong semuanya berlapik dan memberikan seribu makna tersirat. Hanya yang benar-benar mendengar dan fokus kepada segala tutur syarah Sheikh Sarbat akan mendapat kefahaman. Yang sibuk menyampuk pasti akan kerugian ibarat dengar guruh dilangit, air tempayan dicurahkan.

Napi, si penanya yang mahu memantapkan diri tadi sudah tidak sabar mahu membuka sampul surat pemberian Sheikh Sarbat. Beliau merasakan dirinya sangat bertuah bila mendapat sampul surat berkenaan. Memang patut Napi berperasaan begitu, kerana memang sukar bagi seseorang itu mendapat ‘petua’ dalam mana-mana majlis bual-bual kosong yang Sheikh Sarbat bersyarah.

Sampai di rumah Napi meletakkan sampul surat pemberian Sheikh Sarbat itu di atas gerobok dalam bilik. Gerak hatinya menyuruh beliau mandi membersihkan diri dan melakukan solat taubat memohon keampunan Allah dan sujud syukur kerana beliau diizinkan Allah untuk memperoleh jawapan kepada proses pemantapan diri.

Selesai solat, Napi tiba-tiba berdebar apabila memandang sampul surat itu.

“apakah agaknya isi kandungan sampul tersebut?” bisik hati beliau.
“agaknya ada petua-petua yang sangat berkesan untuk aku mantapkan diri aku”
“atau ada zikir-zikir yang boleh aku amalkan untuk pemantapan diri”
“atau ada rahsia yang orang lain tidak perolehi selain aku”….
macam-macam telahan yang hadir di kepala Napi.

perlahan-lahan Napi mengambil sampul surat pemberian Sheikh Sarbat lalu membukanya dengan debaran yang semakin kencang.

“eh, ada kertas di dalamnya”…bisik Napi sambil menarik keluar kertas putih itu dengan tertib dari sampul surat tersebut.

Napi membuka lipatan kertas putih bersaiz A4 dengan debaran yang makin kencang.

Mata Napi seolah tidak percaya akan isi kandungan yang ada pada kertas A4 tersebut.

Napi terus terduduk dan tangannya memegang erat bucu kertas A4 itu sambil melihatnya sekali lagi.

Ingatannya terus kepada pesanan Sheikh Sarbat tadi……”ingat, di dalam sampul itu ada tugasan yang wajib ente lakukan… dan tugasan itu akan membantu ente dalam langkah-langkah untuk memantapkan diri”….

Napi sudah tiada pilihan lagi. Jika mahu mantap beliau wajib akur pada pesanan Sheikh Sarbat.

Jam sudah menunjukkan tepat pukul 12 tengah malam. Sudah lebih 3 jam Napi memegang kertas A4 itu sambil duduk merenung tulisan yang tertera di atas kertas tersebut.

“S.W.O.T Analysis Diri” tulisan yang paling besar yang menjadi tajuk tertera jelas di atas kertas A4 itu…

malam terus kelam…

Komen lagi...

Sheikh Sarbat Pettanni…

oleh sifumirza pada Jan.14, 2010, di General

malam seperti malam sebelumnya Sheikh Sarbat bangun untuk tahajjud dan berzikir.

Sheikh Sarbat gemar bangun malam walaupun dipeluk bini erat, Sheikh Sarbat tetap istiqomah dalam ibadah malamnya kerana Sheikh Sarbat dapat khusyuk di sepertiga malam berbanding beribadah di pondoknya.

Sheikh Sarbat adalah pengetua Pondok Kelam-kelam Terang, sebuah pondok yang ternama yang telah melahirkan banyak graduan-graduan dalam Ilmu Kejar Mengejar.
Ramai anak murid Sheikh Sarbat yang kerap dijemput untuk memberikan bual-bual kosong di merata tempat di negeri Simpulmati.

Ada juga anak murid Sheikh Sarbat yang dijemput untuk majlis bual-bual kosong di pejabat-pejabat kerajaan di dalam dan luar negeri.

Siap selesai Sheikh Sarbat membersihkan diri di telaga belakang rumah, Sheikh Sarbat pun bersiap serba kelabu; jubah kelabu, serban kelabu dan pelikat cap gajah duduk kelabu. Sheikh Sarbat sempat menyelet sedikit minyak wangi Turki haruman drakanoir yang dihadiahkan anak murid kesayangan Sheikh, Lebai Jambali.

Sheikh Sarbat bersolat tahajjud 2 rakaat dan terus memulakan zikir beliau. Ada banyak zikir yang Sheikh amalkan tetapi malam ini Sheikh Sarbat mendapat alamat untuk melaksanakan satu zikir khusus.

Sheikh Sarbat memang dikenali ramai. Sebut sahaja nama Sheikh Sarbat, semua orang kenal terutamanya di satu gedung yang mengusahakan barang minummakan, Kaplihaj Beverages. Sheikh Sarbat selalu dijemput oleh tuan gedung, Siak Zulkapli untuk majlis bual-bual kosongnya.

Ada orang kata doa Sheikh Sarbat mustajab. Apa sahaja yang dipohon pasti mendapat hasilnya.

bersambung….

Komen : lagi...

Kesedaran Asli….

oleh sifumirza pada Jan.13, 2010, di General

salam semua…

mudah-mudahan kalian berada dalam lindungan Illahi hendaknya.. insya Allah.

dalam perjalanan hidup saya yang hampir separuh abad ini, saya sering juga memikirkan betapa rasa bersyukurnya saya kerana lahir dalam Islam….
saya turut memikirkan betapa bertuahnya saya apabila tergolong ke dalam golongan-golongan yang sering diberi kesedaran dan kefahaman pada setiap masa dan ketika…
saya juga turut memikirkan betapa beruntungnya saya apabila terlibat dalam industri pembangunan modal insan kerana saya berpeluang untuk belajar dalam masa saya mengajar…

saya kira perjalanan hidup saya sama juga seperti perjalanan hidup manusia lain yang setiap hari bertungkus-lumus menyempurnakan amanah dan ibadah semampu yang mungkin…

saya gemar menjelajah ke segenap pelusuk bumi Allah ini..
kegemaran ini sebenarnya memberi saya peluang untuk memerhati keindahan ciptaan Tuhan, dari keadaan bentuk muka bumi, langitnya, lautnya, kehijauannya dan manusia yang ada di situ.

dan apabila saya memerhatikan sesuatu itu, pemerhatian saya selalunya terpandu untuk melihat yang luaran dan dalamannya sekali… orang kata zahir & batin.

tidak puas bagi saya jika saya hanya dapat melihat keindahan dari sudut zahir sahaja… saya mahu melihat juga keindahan yang bagi saya lebih indah lagi dari sudut batin.

melalui penglihatan zahir dan batin ini, saya selalu mendapat rumusan yang makin mendekatkan saya kepada Allah… dan ada kalanya saya tidak dapat menahan sebak di dada apabila melihat sesuatu yang sangat indah zahir dan batin sehingga tiada kalimat yang dapat memberikan gambaran tersebut.

saya jangka, orang lain juga seperti saya; boleh melihat zahir dan boleh melihat batin…namun sepanjang perjalanan separuh abad ini, jangkaan saya meleset sama sekali.

tidak ramai rupanya yang boleh melihat zahir dan batin sekaligus.. ada yang asyik dengan keindahan zahir lantas sibuk menyusun ayat serta kata-kata yang indah dalam mengambarkan sesuatu perkara itu…. ada juga yang tidak dapat melihat keindahan zahir apalagi batin tetapi cuba juga untuk mengambarkan sesuatu yang ’stereotype’…

saya kira ini adalah satu anugerah Allah buat saya yang biasa ini.
saya kata biasa kerana saya bukanlah lulusan universiti islam atau pondok mana-mana.
saya kata biasa kerana saya yakin semua manusia juga mempunyai keupayaan yang sama seperti saya…

mengapa saya katakan sama dari segi keupayaan?
ianya kerana setiap kita telah dianugerahkan Allah keupayaan atau potensi yang hebat; merangkumi kekuatan, kehendak, ilmu, kehidupan, pendengaran, penglihatan dan pertuturan.

cuma mungkin ada manusia yang sedar akan potensi diri tersebut dan ada yang lalai leka… itu yang membezakannya.

bagi yang sedar pula, ada juga yang bersikap acuh tak acuh untuk memaksimakan potensi atau keupayaan diri tadi hingga layaknya seolah seperti tidak sedar atau tiada kesedaran.

kesedaran tidaklah boleh dibuat-buat.
ianya asli dan datang dengan keyakinan yang bulat…sangat bulat sehingga tiada cacat dipermukaannya.

kesedaran bermula apabila kita menyedari betapa diri kita ini bukanlah milik sesiapa kecuali Allah.
kesedaran bermula apabila kita menyedari bahawa setiap apa yang ada di depan kita adalah hadirnya dari Allah.
kesedaran bermula apabila kita menjaga hubungan kita sesama manusia…’hablum minannas’
kesedaran bermula apabila kita sedar bahawa hadirnya kita di muka bumi ini tidak lain tidak bukan hanyalah untuk tujuan beribadah kepadaNYA…
kesedaran bermula apabila kita sedar bahawa kita tiada daya upaya ke atas setiap perkara…
kesedaran bermula apabila kita menyedari bahawa penyerahan bulat itu bermula pada setiap turun naik nafas kita..
kesedaran bermula apabila kita memaksimakan sebaiknya anugerah Allah kepada kita..
kesedaran bermula apabila kita sedar bahawa kita hanya hamba yang menurut segala perintah Allah..
kesedaran bermula apabila kita menyesali di atas setiap kekhilafan yang kita lakukan dalam kehidupan seharian..
kesedaran bermula apabila kita tidak mensia-siakan kesempatan yang diberi dalam ibadah seharian..
kesedaran bermula apabila kita benar-benar dalam keadaan sujud hanya kepada Allah..
kesedaran bermula apabila sudah tiada lagi dunia di dalam diri kita..
kesedaran bermula apabila kita bahagia melihat manusia lain bahagia..
kesedaran bermula apabila kita bangun ditengah malam di malam yang gelap untuk beribadah kepadaNya..
kesedaran bermula apabila kita cinta kepada semua manusia sebagaimana kita mencintai diri kita..
kesedaran bermula apabila kita sudah tiada sifat mementingkan diri sendiri..
kesedaran bermula apabila kita bersedia untuk mati..
kesedaran bermula apabila kita sentiasa bersyukur atas setiap anugerah Allah..
kesedaran bermula apabila kita sentiasa tenang tatkala susah dan senang..

kesedaran ini satu sifat asli yang tidak boleh dibuat-buat.
kesedaran juga tidak boleh dipaksa-paksa.

ya, kesedaran merujuk kepada kepekaan diri kita;

kepekaan terhadap Allah
kepekaan terhadap diri sendiri
kepekaan terhadap manusia lain
kepekaan terhadap seluruh ciptaannya

jika kita masih meletakkan diri atau keluarga sebagai keutamaan dalam perjalanan hidup ini, maka kita belumlah lagi tergolong kedalam golongan yang sedar dan peka.

kita tiba-tiba bersifat pentingkan diri apabila mengutamakan keluarga sedangkan pada masa yang sama, kita diperlukan untuk kemaslahatan umum (kebaikan ummah).

kita jadi manusia yang bongkak sombong serta takbur apabila kita mengelak untuk meluangkan sedikit masa demi kepentingan sesama Islam.

kita jadi manusia yang ‘laro’ atau lalai apabila kita tidak mahu memahami isi serta maksud yang tersurat atau tersirat akan setiap firman Allah.

kita jadi manusia yang engkar apabila hanya bersyukur di atas pemberian nikmat kepada diri sendiri dan keluarga sahaja.

kita jadi manusia yang hipokrit apabila tatkala susah, barulah kita menadah tangan memohon…dan permohonan itu hanyalah sekadar untuk melepaskan diri dari kesusahan sedangkan kita tidak pernah menghulur bantuan barang apa sahaja yang mampu untuk ummah.

begitulah…

bagaimana mahu kita mendapatkan kesedaran dan kepekaan asli ini?

ianya bermula apabila kita berjaya memutuskan setiap tali yang terikat pada diri kita…tali yang menghubung kita dengan dunia yang fana…tali yang sering mengasyikkan diri kita dengan hiburan dunia…tali yang sering mengikat kemas kita dipembaringan di sepertiga malam.

putuskanlah tali-tali itu..

bergantunglah sepenuhnya kepada Allah..kerana Dialah tempat kita bergantung seluruhnya.

saya masih terus belajar…
apa yang dikongsi adalah episod perjalanan hidup saya…

mudah-mudahan kita berjaya dengan izinNya di dunia dan akhirat.. insya Allah.

wasalam

Komen lagi...

MASYARAKAT NEGARA ZIKIR : PART 4

oleh aRiL pada Jan.03, 2010, di Community, General, Motivasi

bismillah3_jpg_jpg1AMALAN AL-DHIKR

Walaupun perkataan al-Dhikr itu sering dirujuk kepada sebutan nama-nama Allah, tasbih dan lain-lain, tetapi ada beberapa amal ibadah yang juga disebut sebagai al-dhikr. Namun ibadat sebegini jarang dilihat sebagai al-dhikr. Antara ibadat yang juga merupakan al-dhikr ialah solat. Hal ini dengan jelas disebut oleh Allah didalam firman-Nya

14. “Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, Sembahlah akan Daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati Daku. (Surah al-Ta-ha, 20:14)

Firman Allah yang lain,

9. Wahai orang-orang Yang beriman! apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); Yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat Yang sebenarnya) (Surah al-Jumu’ah, 62:9)

Allah juga menyebutkan al-Quran sebagai al-Dhikr, Firman-Nya

9. Sesungguhnya Kamilah Yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah Yang memelihara dan menjaganya. (Surah al-Hijr, 15:9)

Terdapat pelbagai amalan yang dikategorikan sebagai zikir, antaranya bertasbih, bertahmid, bertahlil, istighfar, berselawat, berdoa dan lain-lain. Walau bagaimanapun Zikir yang paling utama ialah al-Quran itu sendiri. Bahkan al-Dhikr itu merupakan nama lain al-Quran selain daripada al-Furqan, al-Kitab dan lain-lain.

MEMBUDAYAKAN ZIKIR

Setelah kita melihat dan meneliti kepentingan zikir dalam kehidupan peribadi dan kehidupan bernegara maka sudah sampai masanya amalan zikir ini dibudayakan. Membudayakan zikir bukanlah bermmaksud untuk menjadikannya sebagai suatu upacara rasmi yang akan ditentukan tarikh dan tempatnya. Sebaliknya maksud membudayakan amalan zikir ialah memprogramkannya sehingga warga Negara seluruhnya akan mengingat Allah dalam apa jua keadaannya.
Untuk menjadikan amalan zikir ini sebati didalam sanubari warga Negara maka asuhan yang sistematik dan kesinambungan perlu dirangka. Walaupun pada awalnya ianya kelihatan amat ritual tetapi untuk sampai ketahap masyarakat sentiasa berzikir dan mengingat Allah dalam semua hal sama ada ketika di masjid atau di tempat kerja, ketika susah atau ketika mewah, ketika bergerak atau bersiaga, maka satu asuhan yang komprehensif perlu diterapkan. Hal inilah yang menjadi tujuan utama bertarekat pada golongan sufi.
Walau bagaimanapun bukanlah kertas ini bertujuan untuk mengketengahkan tarekat tasawuf. Perkara ini disebutkan agar perlaksanaan yang sistematik itu dapat diusahakan sebagaimana asuhan yang dibuat oleh syeikh—syeikh tarekat tasawuf.
Di Malaysia beberapa buah negeri telah mula menguatkuasakan Enakmen Tarekat Tasawuf. Undang-Undang ini dirangka sedemikian rupa adalah bertujuan untuk memurnikan dan mempastikan segala amalan al-dhikr dilaksanakan berdasarkan disiplin tarekat yang betul. Selain itu ada juga negeri-negeri yang menjadikan pembacaan al-Quran sebagai satu budaya kerja. Kerajaan Negeri Johor misalnya telah mewujudkan program pembudayaan al-Quran kepada semua kakitangan kerajaan. Ini adalah antara contoh-contoh awal budaya al-dhikr itu dijalankan.
Adalah besar harapan kita, Negara ini akan menjadi Negara Islam contoh dalam mendidik rakyatnya supaya berzikir kepada Allah. Rakyat yang berzikir dan sentiasa mengingati Allah akan mendapat rahmat di sisi Allah dengan kadar yang tidak dapat dibayangkan oleh kemampuan manusia itu sendiri.

Komen :, lagi...

Mencari sesuatu?

Sila cari di bawah: