Archive for December, 2009
MASYARAKAT NEGARA ZIKIR : PART 3
oleh aRiL pada Dec.28, 2009, di Community, General, Motivasi
MEMPERKASA NEGARA DENGAN ZIKIR
Negara Umat Islam akan menjadi perkasa dan sentiasa berada dibawah rahmat Allah jika seandainya umat Islam itu sendiri menunjukkan minat dan kecintaannya terhadap amalan ketaatan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Umat Islam sepatutnya mengidamkan sebuah Negara yang disebut oleh Allah sebagai ”Baldatun Taiyyibatun wa Rabbun Ghafur”. Dalam hal ini Imam Qatadah menyatakan bahawa kemuliaan seumpama ini hanya diperolehi oleh kaum yang dikurniakan Allah nikmat, diperintahkan-Nya melakukan ketaatan dan dicegah-Nya dari sebarang perlakuan maksiat.
Antara amalan asasi itu ialah zikrullah. Antara faedah zikrullah dalam konteks sebuah Negara, telah Allah bentangkan sejelas-jelasnya di dalam al-Quran itu sendiri, antaranya, Negara Umat Islam akan stabil ekonominya dengan naungan zikir, firman Allah,
37. (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang Yang kuat imannya Yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) Yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.
38. (Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka Dengan sebaik-baik balasan bagi apa Yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurniaNya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa Yang dikehendakiNya Dengan tidak terhitung.
(Surah Al-Nur, 24: 37-38)
Ayat ini secara jelas menyatakan rezeki dan agihannya adalah dengan iradah Allah. Walaupun manusia disuruh agar berusaha tetapi Allah tetap menjadi penentu kepada kejayaan dan kestabilan ekonomi sesebuah Negara. Justeru kita boleh melihat kemewahan sesebuah Negara boleh runtuh sekelip mata walaupun Negara itu mempunyai asas-asas ekonomi yang kukuh.
Apatah lagi jika keutuhan ekonomi dan kehebatan modal insan yang dibangunkan dijadikan kebanggaan sehingga melupai Allah. Hal sebegini sebenarnya mengundang kerugian kepada keseluruhan warga Negara tersebut.
Firman Allah S.W.T
9. Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa Yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang Yang rugi. (Surah al-Munafiqun, 63:9)
Negara yang makmur juga adalah Negara yang terpelihara daripada pelbagai gejala yang tidak sihat dan indeks jenayah yang rendah. Namun perkara ini sukar dicapai jika sekiranya masyarakat dan warga sesebuah Negara tidak mempunyai keutuhan peribadi dan ketenangan jiwa yang sepatutnya. Kemudahan rekreasi semata-mata hanya membantu memberikan ketenagan dalam masa singkat, tidak kekal dan amat bergantung kepada kecenderungan individu-individu berkenaan. Namun dengan zikrullah, Allah memberi jaminan bahawa ketenangan hakiki akan diperolehi, firman-Nya
28. “(Iaitu) orang-orang Yang beriman dan tenang tenteram hati mereka Dengan zikrullah”. Ketahuilah Dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.
(Surah al-Ra’d, 13:28)
Kedapatan umat Islam yang amat terpengaruh dengan budaya hedonisme (hiburan). Hiburan yang melaungkan bait syair dan kata-kata puitis yang mengkhayalkan menjadi santapan mereka setiap hari. Masyarakat hari ini mengganggap bait-bait syair dan puisi yang didendangkan dapat menghilangkan tekanan yang mereka alami. Malangnya mereka terjebak dengan pelbagai fahaman sesat dan budaya songsang yang dihasilkan oleh dunia barat.
Hal ini juga telah berlaku di zaman Rasulullah tetapi selepas para penyair zaman itu beriman, mereka beralih untuk berzikir dan melaungkan syair yang menggambarkan kebesaran Allah.
Allah S.W.T berfirman
224. dan Ahli-ahli syair itu, diturut oleh golongan Yang sesat - tidak berketentuan hala.
225. tidakkah Engkau melihat Bahawa mereka merayau-rayau Dengan tidak berketentuan hala Dalam tiap-tiap lembah (khayal dan angan-angan kosong)?
226. dan Bahawa mereka memperkatakan apa Yang mereka tidak melakukannya?
227. kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh (dari kalangan penyair-penyair itu), dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri sesudah mereka dianiaya. dan (ingatlah), orang-orang Yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali. (Surah al-Shu’ara, 26 : 224-227)
Sebuah Negara yang dilanda oleh kemerosotan kualiti peribadi warganya perlu menggandakan pelbagai usaha pemulihan. Islam tidak menafikan pendekatan-pendekatan lain yang sedang dan telah dijalankan. Bahkan Islam sendiri tampil mengemukakan modul pemulihan yang rabbani iaitu zikrullah dan istighfar. Firman Allah
135. dan juga orang-orang Yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada Yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji Yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).
(Surah Ali-Imran, 3: 135)
Umat Islam wajib berjihad mempertahankan bumi umat Islam dan tanah airnya. Keamanan daripada gangguan musuh akan menjamin kesentosaan umat Islam dalam melaksanakan ibadat kepada Allah. Allah memerintahkan umat Islam untuk membuat persiapan secukupnya. Ianya bukan sahaja menjadi kewajipan kerajaan tetapi ianya merupakan kewajipan keseluruhan warga Negara yang muslim.
Namun tidak semua Negara yang mempunyai sistem pertahanan kuat mampu bertahan bahkan kita melihat dalam sejarah tamadun manusia banyak kuasa-kuasa besar dunia tersungkur dan akhirnya dijajah oleh pihak lain. Justeru, Allah menyatakan didalam firman-Nya bahawa kekuatan persenjataan hendaklah diiringi bersekali dengan kekuatan jiwa dan kemantapan keyakinan. Hal ini akan Cuma terlaksana jika sekiranya umat Islam celik basírah, mengetahui hakikat Allah dan mempersaksikan bahawa semua kejadian adalah daripada-Nya. Oleh yang demikian ia tunduk kepada Allah, redha dengan hukum-hukum-Nya dan mengharapkan daripada-Nya pertolongan yang baik. Firman-Nya
45. Wahai orang-orang Yang beriman! apabila kamu bertemu Dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan). (Surah al-Anfal, 8: 45)
Sebenarnya banyak lagi faedah yang diperolehi oleh Negara yang warganya berzikir. Namun faedah ini tidak dapat ditanggap dengan pancaindera. Oleh sebab itu umat Islam sering melupakannya. Apatah lagi umat Islam kini begitu terpesona dengan kebendaan dan melupai persoalan ghayb yang wajib diimani. Apa yang dinyatakan diatas adalah merupakan rezeki yang bersifat ma’nawi bukannya rezeki yang hissi. Sedangkan rezeki yang ma’nawi inilah yang menyebabkan kita mampu untuk hidup dengan penuh keamanan dan kesentosaan. Apa yang dimaksudkan dengan rezeki yang ma’nawi itu ialah kurniaan Allah yang tidak dapat dipersaksikan oleh mata kasar dan pancaindera yang lain seperti iman, ikhlas, berkat, kasih sayang, perpaduan dan sebagainya. Apalah gunanya jika ekonomi kita amat stabil tetapi jiwa rakyatnya berpecah belah, sistem kekeluargaan kacau bilau dan jenayah berleluasa.
MASYARAKAT NEGARA ZIKIR : PART 2
oleh aRiL pada Dec.22, 2009, di Community, General, Motivasi
GENERASI ULU AL-ALBAB
Bagi kemajuan hakiki sesebuah Negara, usaha melahirkan generasi Ulu al-Bab perlu diperkasakan. Generasi Ulu al-Bab adalah generasi yang membesar dengan kemantapan ilmu berkaitan ciptaan Allah. Tetapi ianya cukup berbeza dengan generasi berilmu yang diwujudkan oleh sistem barat. Generasi Ilmu barat tidak holistik bahkan tidak ubah umpama hidupan liar yang diasuh melakukan apa yang dilakukan oleh manusia, ianya kelihatan pandai tetapi hakikatnya ia tetap seekor haiwan yang tidak dapat menanggung taklif Allah.
Sebaliknya generasi Ulu al-Bab adalah generasi yang sentiasa berzikir kepada Allah samada ada ketika berdiri, duduk ataupun ketika tidur mengiring. Hati mereka sentiasa mengingat Allah. Hati yang sebegini akhirnya menggerakkan tenaga mereka untuk melihat tanda keagungan Allah melalui ciptaan-Nya yang menakjubkan sama ada di langit mahupun di bumi.
Generasi Ulu al-Bab, melihat dunia dan makhluk ciptaan Allah ini sebagai suatu yang amat bernilai. Dunia adalah ladang yang perlu dimajukan sebagaimana yang dikehendaki Allah, manakala hasilnya pula akan dituai pada hari Akhirat kelak. Mereka bimbang jika nikmat ini disalahgunakan sehingga mencampakkan mereka ke Neraka jahannam.
Oleh itu mereka sentiasa ingin maju dan kehadapan, digeruni oleh lawan, terbilang sebagai satu generasi yang bijaksana dalam menggunakan nikmat yang dikurniakan Allah. Hal inilah yang dimaksudkan di dalam Firman Allah S.W.T.
Yang bermaksud, sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): ”Wahai Tuhan kami ! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” (Surah Ali-Imran, 3: 190-191)
Imam Fakhr al-Razi di dalam Tafsir al-Kabir menyatakan bahawa apabila Allah S.W.T. membentangkan dalil-dalil tentang ketuhanan, kekuasaan dan hikmah yang bertujuan untuk mengistiharkan Rububiyyah-Nya, Allah akan menyebut selepas itu dengan dalil-dalil yang membawa kepada Ubudiyyah. Adapun pembahagian Ubudiyyah itu ada tiga, iaitu perakuan dalam hati, ikrar dengan lidah dan amalan anggota badan.
Justeru maksud firman Allah ”orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah” adalah merujuk kepada pengabdian secara lisan, maksud firman-Nya ”semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring” adalah merujuk kepada pengabdian dengan amalan anggota badan manakala maksud firman-Nya ”dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi” merujuk kepada pengabdian dengan hati, fikiran dan ruh.
Hal ini demikian kerana manusia itu tidak terlepas dari melakukan tiga bentuk pengabdian ini. Justeru apabila seseorang itu lidahnya basah dengan zikrullah, anggota lahirnya beramal dengan syukor dan hatinya dengan bertafakkur tentang kebesaran Allah maka sesungguhnya ia telah melaksanakan ubudiyyahnya dalam semua bentuk.
Mufassir mengatakan bahwa ayat ini ada dua persoalan penting, iaitu:-
i. Ayat ini bermaksud hal keadaan manusia itu adalah sentiasa berzikir dan mengingat tuhannya dalam ketiga-tiga keadaan tersebut.
ii. Dalam ayat ini Allah menyifatkan Ulu al-Bab sebagai orang yang sentiasa berzikir kepada Allah, ianya satu dalil dan hujah bahawa penciptaan mereka adalah bagi berzikir kepada Allah tanpa henti walau seketika.
Oleh kerana amalan zikrullah ini satu tuntutan dalam semua keadaan maka para ulama telah ijma’ tentang keharusan berzikir dengan hati dan lisan sama ada ianya suci atau dalam keadaan berhadath, berjanabah, haid dan nifas. Begitu juga bagi tujuan bertasbih, bertahmid, bertakbir dan berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.
GENERASI AHL AL-DHIKR
Generasi ahl al-Dhikr sering dirujuk secara umumnya ialah kepada golongan cerdik pandai. Bahkan ada sesetengah khalayak cenderung untuk menafsirkan bahawa ahl al-Dhikr adalah golongan pakar di dalam sesuatu bidang. Tafsiran sedemikian tidaklah salah bahkan ianya merupakan satu daripada aspek ahl al-Dhikr. Namun jika dirujuk kepada kitab-kitab tafsir, ahl al-Dhikr ditujukan kepada orang yang berpengetahuan tentang al-Quran itu sendiri. Bahkan ada sesetengah ulama menafsirkan ahl al-Dhikr merujuk juga kepada umat Islam itu sendiri. Hal ini demikian kerana al-Quran itu sendiri disebut juga sebagai al-Dhikr.
Namun apa yang ingin diutarakan disini ialah umat Islam adalah satu umat yang sentiasa membawa al-Quran di dalam jiwanya. Akidah, ibadah dan akhlaknya adalah diasaskan dengan pengajaran al-Quran. Setiap gerak lakunya terpancar kehebatan syariat Islam kerana ianya bersumberkan al-Quran atau al-Dhikr.
Sifat Manusia
oleh rozainy pada Dec.15, 2009, di General
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Sekiranya anak Adam memiliki satu lembah daripada harta, nescaya ia mahu yang kedua dan sekiranya ia mempunyai dua lembah nescaya ia mahu yang ketiga. Tidak akan memenuhi perut anak Adam melainkan tanah dan Allah sentiasa menerima taubat orang yang bertaubat.”
Riwayat Ahmad
Huraian
i) Manusia secara semulajadinya bersifat tamak dan dengki terhadap kelebihan orang lain.
ii) Kedua-dua sifat ini membawa kerugian kerana ia akan melahirkan individu yang tidak bersyukur sehingga hubungan dalam masyarakat menjadi rosak akibat daripada berlakunya pergaduhan dan persengketaan sesama sendiri.
iii) Selaku umat Islam kita dituntut untuk sentiasa bersyukur kepada Allah kerana dengan bersyukur hati kita akan tenang dan redha di samping mempercayai bahawa rezeki itu terletak di tangan Tuhan. Kita wajib berusaha sedangkan yang menentukannya adalah Allah S.W.T. Bahkan Allah telah berjanji bahawa rezeki orang yang bersyukur akan ditambah sebaliknya pula bagi orang kufur (tidak bersyukur).
iv) Lawan kepada sikap tamak itu adalah bersikap sederhana iaitu menolak keterlaluan di mana kita dituntut agar bersederhana dalam menetapkan sesuatu peraturan, perbelanjaan dan sebagainya tetapi mestilah menyeimbangkannya terutama dalam memenuhi tuntutan keduniaan dan tuntutan akhirat.
Sabar Atas Kematian Insan Tersayang
oleh rozainy pada Dec.15, 2009, di General
Hadith :
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Jika seorang hamba Allah kematian anak, Allah bertanya kepada Malaikat:”Adakah kamu telah mengambil nyawa anak hamba-Ku? Malaikat menjawab:”Ya.” Allah bertanya lagi: “Kamu telah mengambil nyawa buah hatinya?” Malaikat menjawab:”Ya”. Allah bertanya kali ketiga:”Apakah kata hamba-Ku?”Malaikat menjawab:”Ia bersyukur pada-Mu serta mengucapkan “dari Allah kita datang dan kepadanya kita kembali”. Allah Ta’ala memerintahkan malaikat-Nya:”Binalah baginya sebuah rumah di syurga dan namakan rumah itu ‘Rumah Kesyukuran’.”
(at-Tirmidzi dan Ibnu Hibban)
Huraian
1. Apabila keimanan seseorang itu sudah kukuh dan mencapai kedudukan yang istimewa, pasti segala kejadian dan musibah yang terjadi, menjadi kecil pada dirinya.
2. Dia menyerahkan segala yang menimpa kepada Allah S.W.T tanpa merasa bimbang, kecewa dan sedih bahkan menerimanya dengan perasaan yang tenang dan sabar. Dengan perkataan lain, dia redha terhadap qada’ dan tunduk terhadap takdir Allah S.W.T. Inilah sifat yang harus ada pada seorang mukmin yang sebenar.
3. Tidak dinafikan bahawa kesabaran itu amatlah berat, namun terlalu besar ganjarannya jika mahu dibandingkan dengan ujian-ujian yang lain. Hal ini termasuklah kesabaran seseorang itu di atas kematian anak kecil mereka di mana pada hari akhirat kelak ia akan menjadi suatu syafaat (mudah mendapat keampunan Allah) buat mereka yang menjadi ibu bapanya.
Tiga Golongan Yang Menjadi Ahli Syurga
oleh rozainy pada Dec.15, 2009, di General
Hadith :
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Ahli syurga itu ada tiga golongan iaitu orang yang memerintah yang bersifat adil dan dikurniakan taufiq, orang yang berperasaan kasih sayang serta berhati lembut kepada setiap kaum karabat dan sesama Islam, orang yang tidak suka meminta-minta dan berusaha mengelak daripada meminta-minta sedangkan ia mempunyai keluarga yang ramai”.
Riwayat Muslim
Huraian
Tiga golongan yang menjadi ahli syurga ialah:
1. Pemerintah yang berlaku adil di dalam pemerintahannya.
2. Orang yang mempunyai sifat kasih sayang serta berlemah lembut khususnya kepada ahli keluarga dan umumnya kepada sesama Islam.
3. Seseorang yang tabah dan cekal menghadapi kesusahan hidup tanpa mengharapkan pertolongan orang lain.