Baitulummah Society

Archive for August, 2009

Kisah Para Wali - Ibrahim bin Adham

oleh Kamal Arif Maz pada Aug.27, 2009, di Community, General

Kisah Para Wali

Episod dari Tazkirat Al-Auliya

“Orang yang cinta Allah itu hilang, dalam melihat Allah hingga lenyap dirinya, dan dia tidak boleh membezakan yang mana penderitaan dan yang mana kesenangan.”

Diambil dari buku yang ditulis oleh Farid Al-Din Attar

Ibrahim bin Adham (Bahagian 1)

Abu Ishak Ibrahim bin Adham, lahir di Balkh dari keluarga bangsawan Arab di dalam sejarah sufi disebutkan sebagai seorang raja yang meninggalkan kerajaannya – sama dengan kisah Gautama Buddha – lalu mengembara ke arah Barat untuk menjalani hidup bersendirian yang sempurna sambil mencari nafkah melalui kerja kasar yang halal hingga ia meninggal dunia di negeria Persia kira-kira tahun 165H/782M. Beberapa sumber mengatakan bahawa Ibrahim terbunuh ketika mengikuti angkatan laut yang menyerang Bizantium. Taubatnya Ibrahim merupakan sebuat kisah yang unik dalam kehidupan kaum muslimin.

Kisah mengenai diri Ibrahim bin Adham

Ibrahim bin Adham adalah Raja Balkh dan memiliki daerah kekuasannya yang sangat luas. Ke mana pun ia pergi, empat puluh buah pedang emas dan empat puluh buat tongkat kebesaran emas diusing di depan dan di belakangnya. Pada suatu malam ketika ia tertidur di bilik istananya, atas bilik itu berderak-derik seolah-olah ada seseorang yang sedang berjalan di atas atap. Ibrahim terjaga dan berseru: “Siapakah itu?”

“Sahabatmu. Untaku hilang dan aku sedang mencarinya di atas atap ini,” terdengar sebuah sahutan.

“Bodoh, engkau handak mencari unta di atas atap?” seru Ibrahim.

“Wahai manusia yang lalai,” suara itu menjawab. “Apakah engkau hendak mencari Allah dengan berpakaian sutera dan tidur di atas katil emas?” suara itu menjawab.

Kata-kata itu sangat mengecutkan hati Ibrahim. Ia sangat gelisah dan tidak dapat meneruskan tidurnya. Ketika hari telah siang, Ibrahim pergi ke ruang tamu dan duduk di atas singgahsananya sambil berfikir-fikir, risau dan merasa amat bimbang. Para menteri berdiri di tempat masing-masing dan hamba-hamba telah berbaris sesuai dengan tingkatan mereka. Kemudian dimulakan pertemuan terbuka.

Tiba-tiba seorang lelaki berwajah menakutkan masuk ke dalam ruang tamu itu. Wajahnya begitu menyeramkan sehingga tidak seorang pun di antara anggota-anggota mahupun hamba-hamba istana yang berani menanyakan namanya. Semua lidah menjadi kelu. Dengan tenang lelaki tersebut melangkah ke depan singgahsana.

“Apakah yang engkau inginkan?” tanya Ibrahim.

“Aku baru sahaja sampai ke tempat persinggahan ini,” jawab lelaki itu.

“Ini bukan tempat persinggahan para kafilah. Ini adalah istanaku. Engkau sudah gila!” Ibrahim mengherdiknya.

“Siapakah pemilik istana ini sebelum engkau?” tanya lelaki itu.

“Ayahku!” jawab Ibrahim.

“Dan sebelum ayahmu?”

“Datukku!”

“Dan sebelum datukmu?”

“Ayah dari datukku!”

“Dan sebelum dia?”

“Datuk dari datukku!”

“Ke manakah mereka sekarang ini?” tanya lelaki itu.

“Mereka telah tiada. Mereka telah mati,” jawab Ibrahim.

“Jika demikian, bukankah ini tempat persinggahan yang dimasuki oleh seseorang dan ditinggalkan oleh yang lainnya?”

Setelah berkata demikian lelaki itu hilang. Sesungguhnya ia adalah Nabi Khidir as. Kegelisahan dan kerisauan hati Ibrahim semakin menjadi-jadi. Ia dihantui oleh bayang-bayangnya sendiri dan terdengar suara-suara di malam hari; kedua-duanya sama merisaukan. Akhirnya kerana tidak tahan lagi, pada suatu hari Ibrahim berkata: “Siapkan kudaku! Aku hendak pergi berburu. Aku tidak tahu apakah yang telah terjadi terhadap diriku sejak kebelakangan ini. Ya Allah, bilakah semua ini akan berakhir?”

Setelah kudanya disiapkan lalu ia berangkat pergi memburu. Kuda itu dipacunya melalui padang pasir, seolah-olah ia tidak sedar akan segala perbuatannya. Dalam kerisauan itu ia terpisah dari rombongannya. Tiba-tiba terdengar olehnya sebuah seruan: “Bangunlah!”

Ibrahim pura-pura tidak mendengar seruan itu. Ia terus memacu kudanya. Untuk kali keduanya suara itu berseru kepadanya, namun Ibrahim tetap tidak mempedulikannya. Ketika suara itu berseru untuk kali ketiganya, Ibrahim semakin memacu kudanya. Akhirnya untuk kali keempat, suara itu berseru: “Bangunlah sebelum engkau kupukul!”

Ibrahim tidak dapat mengendalikan dirinya. Di saat itu terlihat olehnya seekor rusa. Ibrahim hendak memburu rusa itu tetapi tiba-tiba binatang itu berkata kepadanya: “Aku disuruh untuk memburumu. Engkau tidak dapat menangkapku. Untuk inikah engkau diciptakan atau inikah yang diperintahkan kepadamu?”

“Tuhan, apakah yang menghalang diriku ini?” seru Ibrahim. Ia memalingkan wajahnya dari rusa tersebut. Tetapi dari tali pelana kudanya terdengar suara yang menyerukan kata-kata yang serupa, Ibrahim kebingungan dan ketakutan. Seruan itu semakin jelas kerana Allah Yang Maha Berkuasa mahu menunaikan janji-Nya. Kemudian suara yang serupa berseru lagi dari bajunya. Akhirnya sempurnalah seruan Allah itu dan pintu syurga terbuka bagi Ibrahim. Keyakinan yang teguh telah tertanam di dalam dadanya. Ibrahim turun dari tunggangannya. Seluruh pakaian dan tubuh kudanya basah oleh cucuran air matanya. Dengan sepenuh hati Ibrahim bertaubat kepada Allah.

Ketika Ibrahim menyimpang dari jalan raya, ia melihat seorang gembala yang memakai pakaian dan topi dibuat dari bulu kambing biri-biri. Pengembala itu sedang menggembalakan sekumpulan binatang. Setelah diamatinya ternyata si pengembala itu adalah hambanya yang sedang menggembalakan biri-biri kepunyaannya. Kepada pengembala itu Ibrahim menyerahkan pakaian yang bersulam emas, topinya yang bertatahkan batu permata dan biri-biri tersebut, sedang dari pengembala itu Ibrahim meminta pakaian dan topi dari bulu biri-biri yang sedang dipakainya. Ibrahim lalu memakai pakaian dan topi bulu milik pengembala itu dan semua malaikat menyaksikan perbuatannya itu dengan penuh kekaguman.

“Betapa megah kerajaan yang diterima putera Adam ini,” malaikat-malaikat itu berkata. “Ia telah mencampakkan pakaian keduniaan yang kotor lalu menggantikannya dengan jubah kepapaan yang megah.”

Dengan berjalan kaki, Ibrahim bermusafir melalui gunung-ganang dan padang pasir yang luas sambil menyesali segala dosa-dosa yang pernah dilakukannya. Akhirnya ia sampai di Merv. Di sini Ibrahim melihat seorang lelaki terjatuh dari sebuah jambatan. Pasti ia akan mati dihanyutkan oleh air sungai.

“Dari jauh Ibrahim berseru: “Ya Allah, selamatkanlah dia!”

Seketika itu juga tubuh lelaki itu berhenti di awang-awangan sehingga orang lain tiba dan menariknya ke atas. Dan dengan merasa hairan mereka memandang Ibrahim: “Manusia apakah itu?” seru mereka.

Ibrahim meninggalkan tempat itu dan terus berjalan sampai ke Nishapur. Di kota Nishapur Ibrahim mencari sebuah tempat terpencil di mana ia dapat tekun mengabdikan diri kepada Allah. Akhirnya bertemulah ia dengan sebuah gua  yang akan menjadi amat terkenal. Di dalam gua itulah Ibrahim menyendiri selama sembilan tahun, tiga tahun pada setiap ruang yang terdapat di dalamnya. Tidak seorang pun yang tahu apakah yang telah dilakukannya baik siang mahupun malam di dalam gua itu, kerana hanya seorang manusia yang luar biasa gagahnya yang sanggup bersendirian di dalam gua itu pada malam hari.

Setiap hari Khamis, Ibrahim memanjat keluar dari gua tersebut untuk mencari kayu api. Keesokan paginya ia pergi ke Nishapur untuk menjual kayu-kayu itu. Setelah melakukan solat Jumaat ia pergi membeli roti dengan wang yang diperolehinya. Roti itu separuhnya diberikan kepada pengemis dan separuhnya lagi untuk membuka puasanya. Demikianlah yang dilakukannya setiap minggu.

Pada suatu malam di musim salji, Ibrahim sedang berada di tempat beribadah. Malam itu udara sangat dingin dan untuk bersuci Ibrahim harus memecahkan ais. Sepanjang malam badannya menggigil namun ia tetap mengerjakan solat dan berdoa hingga fajar menyinsing. Ia hampir mati kediginan. Tiba-tiba ia teringat pada api. Di atas tanah dilihatnya ada sebuah kain bulu. Dengan kain bulu itu sebagai selimut ia pun tertidur. Setelah hari terang benderang barulah ia terjaga dan badannya terasa hangat. Tetapi ia segera sedar bahawa yang disangkanya sebagai kain bulu itu  adalah seekor naga dengan biji mata berwarna merah darah. Ibrahim berdoa: “Ya Allah, Engkau telah mengirimkan mahkluk ini dalam bentuk yang halus, tetapi sekarang terlihatlah bentuk sebenarnya yang sangat mengerikan. Aku tidak kuat menyaksikannya.”

Naga itu segera bergerak dan meninggalkan tempat itu setelah dua atau tiga kali bersujud di depan Ibrahim.

Ibrahim bin Adham pergi ke Makkah

Ketika kemasyhuran kealimannya tersebar luas, Ibrahim meninggalkan gua tersebut dan pergi ke Makkah. Di tengah perjalanan, Ibrahim berjumpa dengan tokoh besar agama yang mengajarkan kepadanya Nama Yang Teragung dari Allah dan setelah itu pergi meninggalkannya. Dengan Nama Yang Teragung itu Ibrahim menyeru Allah dan sesaat kemudiaan nampaklah olehnya Nabi Khidir as.

“Ibrahim,” kata Nabi Khidir kepadanya.  “Saudaraku Daud yang mengajarkan kepadamu Nama Yang Teragung itu.”

Kemudian mereka berbincang-bincang mengenai berbagai masalah. Dengan izin Allah swt Nabi Khidir adalah manusia pertama yang telah menyelamatkan Ibrahim.

Mengenai kisah selanjutnya, perjalanannya menuju ke Makkah Ibrahim menceritakan seperti berikut ini: “Setibanya di Zatul Iraq, kudapati seramai tujuh puluh orang yang berjubah kain perca bergelimpangan mati dan darah mengalir dari hidung dan telinga mereka. Aku berjalan di sekitar mayat-mayat tersebut, ternyata salah seorang di antaranya masih hidup.”

“Anak muda, apakah yang telah terjadi?” Aku bertanya kepadanya.

“Wahai anak adam,” jawabnya padaku. “Duduklah berhampiran air dan tempat solat, janganlah menjauhinya agar engkau tidak dihukum, tetapi jangan pula terlalu dekat agar engkau tidak celaka. Tidak seorang manusia pun bersikap terlampau berani di depan sultan. Takutilah Sahabat yang memukul dan memerangi para penziarah ke tanah suci seakan-akan mereka itu orang-orang kafir Yunani. Kami ini adalah rombongan sufi yang menembus padang pasir dengan berharap Allah dan berjanji tidak akan mengucapkan sepatah katapun di dalam perjalanan, tidak akan memikirkan apa pun kecuali Allah, sentiasa membayangkan Allah ketika berjalan mahupun istirehat, dan tidak peduli kepada segala sesuatu kecuali kepada-Nya.”

Setelah kami mengharungi padang pasir dan sampai ke tempat di mana para penziarah harus mengenakan jubah putih, Khidir as datang menghampiri kami. Kami mengucapkan salam kepadanya dan Khidir membalas salam kami. Kami sangat gembira dan berkata: “Alhamdulillah, sesungguhnya perjalanan kita telah diredhai Allah, dan yang mencari telah mendapatkan yang dicari, kerana bukankah orang soleh sendiri telah datang untuk menyambut kita.” Tetapi saat itu juga berserulah sebuah suara dalam diri kami: “Kamu pendusta dan berpura-pura! Begitulah kata-kata dan janji kamu dahulu? Kamu lupa kepada-Ku dan memuliakan yang lain. Binasalah kamu! Aku tidak akan membuat perdamaian dengan kamu sebelum nyawa kamu Kucabut sebagai pembalasan dan sebelum darah kamu Kutumpahkan dengan pedang kemurkaan! Manusia-manusia yang engkau saksikan bergelimpangan di sini, semuanya adalah korban dari pembalasan itu. Wahai Ibrahim, berhati-hatilah engkau! Engkau pun mempunyai cita-cita yang sama. Berhati-hatilah atau pergilah jauh-jauh dari situ.?

Aku sangat takut mendengar kisah itu. Aku bertanya kepadanya: “Tetapi mengapakah engkau tidak turut dibinasakan?”

Kepadaku dikatakan: “Sahabat-sahabatmu telah matang sedang engkau masih mentah. Biarlah engkau hidup sesaat lagi dan akan menjadi matang. Setelah matang engkau pun akan menyusul mereka.”

Setelah berkata demikian ia pun menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Ibrahim tiba di Makkah

Empat belas tahun lamanya Ibrahim mengharungi padang pasir dan selama itu pula ia selalu berdoa dan merendahkan diri kepada Allah. Ketika hampir sampai ke kota Makkah, para sesepuh kota hendak menyambutnya.Ibrahim mendahului rombongannya agar tidak seorang pun dapat menyenali dirinya. Hamba-hamba yang mendahului para sesepuh tanah suci itu melihat Ibrahim, tetapi kerana belum pernah bertemu dengannya, mereka tidak mengenalinya. Setelah Ibrahim begitu dekat, para sesepuh itu berseru:” Ibrahim bin Adham hampir sampai. Para sesepuh tanah suci telah datang menyambutnya.”

“Apakah kamu inginkan dari si bidaah itu?” tanya Ibrahim kepada mereka. Mereka langsung menangkap Ibrahim dan memukulnya.

“Para sesepuh tanah suci sendiri datang menyambut Ibrahim tetapi engkau menyebutnya bidaah?” herdik mereka.

“Ya, aku katakan bahawa dia adalah seorang bidaah,” Ibrahim mengulangi ucapannya.

Ketika mereka meninggalkan dirinya, Ibrahim berkata pada dirinya sendiri: “Engkau pernah menginginkan agar para sesepuh itu datang menyambut kedatanganmu, bukankah telah engkau perolehi beberapa pukulan mereka? Alhamdulillah, telah kusaksikan betapa engkau telah memperoleh apa yang engkau inginkan!”

Ibrahim menetap di kota Makkah. Ia selalu ditemani beberapa orang sahabat dan ia memperolehi nafkah sebagai tukang kayu.

Komen :, lagi...

Kisah Para Wali - Habib Al-Ajami

oleh Kamal Arif Maz pada Aug.24, 2009, di Community, General

Kisah Para Wali

Episod dari Tazkirat Al-Auliya

“Orang yang cinta Allah itu hilang, dalam melihat Allah hingga lenyap dirinya, dan dia tidak boleh membezakan yang mana penderitaan dan yang mana kesenangan.”

Diambil dari buku yang ditulis oleh Farid Al-Din Attar

Habib Al-Ajami

Habib bin Muhammad al-‘Ajami al-Basri, seorang Parsi yang menetap di Basrah. Ia adalah seorang ahli hadis terkenal yang merawikan hadis-hadis dari Hassan al-Basri, Ibnu Sirin dan lain-lain tokoh yang dipercayai.

Dia bertaubat dari kehidupan jahil dan berfoya-foya disebabkan dalil-dalil yang dikemukakan oleh Hasan sangat menyentuh hatinya. Habib al-‘Ajami sering mengikuti pengajaran-pengajaran yang disampaikan oleh Hasan sehingga akhirnya ia menjadi salah seorang sahabat beliau yang paling akrab.

Kisah Habib si orang Parsi

Pada mulanya Habib adalah seorang yang kaya raya dan suka meminjamkan wangnya dengan dikenakan bunga. Ia tinggal di kota Basrah, dan setiap hari mengelilingi kota Basrah untuk menagih hutang piutangnya. Jika tidak dibayar hutangnya dan bunganya sekali maka ia akan menuntut ganti rugi dengan alasan kasut yang dipakainya menjadi haus di perjalanan. Dengan cara seperti inilah Habib menyara hidupnya setiap hari.

Pada suatu hari Habib pergi ke rumah seorang yang berhutang kepadanya. Tetapi si piutang itu tidak ada di rumah. Maka Habib meminta ganti rugi kepada isteri orang tersebut.

“Suamiku tidak ada di rumah, aku tidak mempunyai sesuatu pun untuk diberikan kepadamu tetapi kami ada menyembelih seekor kambing biri-biri dan lehernya masih ada lagi, jika engkau suka akan kuberikan kepadamu.” Isteri si piutang itu berkata kepadanya.

“Bolehlah!” si lintah darah menjawab. Ia berfikir bahawa setidak-tidaknya ia dapat mengambil leher kambing biri-biri tersebut dan membawanya pulang. “Masaklah!”

“Aku tidak mempunyai roti dan minyak,” wanita itu menjawab.

“Baiklah,” si lintah darat menjawab. “Aku akan mengambil minyak dan roti, tapi untuk semua itu engkau harus membayar ganti rugi pula.” Lalu ia pun pergi mengambil minyak dan roti.

Kemudian wanita itu segera memasakkannya di dalam belanga. Setelah masak dan hendak dituangkan ke dalam mangkuk, seorang pengemis datang mengetuk pintu.

“Jika yang kami miliki kami berikan kepadamu,” Habib memarahi si pengemis, “engkau tidak akan menjadi kaya, tetapi kami sendiri akan menjadi miskin.”

Si pengemis yang kecewa memohon kepada wanita itu agar ia sudi memberikan sekadar makanan kepadanya. Wanita itu segera membuka tutup belanga, ternyata semua isinya telah berubah menjadi darah hitam. Melihat ini, wajahnya menjadi pucat lesi. Segera ia mendapatkan Habib dan mengajaknya untuk melihat isi belanga itu kepadanya.

“Saksikanlah apa yang telah menimpa diri kita kerana ribamu yang terkutuk dan herdikanmu kepada pengemis!” Wanita itu menangis. “Apakah yang akan terjadi atas diri kita di atas dunia ini?” Lebih-lebih lagi di akhirat nanti!”

Melihat kejadian ini dada Habib terbakar oleh api penyesalan. Penyesalan yang tidak akan pernah reda sepanjang hidupnya.

“Wahai wanita! Aku menyesal atas segala perbuatan yang telah kulakukan!”

Keesokan harinya Habib pergi menemui orang-orang yang berhutang kepadanya. Kebetulan sekali hari itu adalah hari jumaat dan kanak-kanak sedang bermain di jalan. Ketika melihat Habib, mereka berteriak-teriak: “Lihat, Habib lintah darat sedang menuju ke sini, marilah kita lari, kalau tidak nescaya debu-debu tubuhnya akan melekat di tubuh kita dan kita akan terkutuk pula seperti dia!”

Kata-kata ini sangat melukai hati Habib. Kemudian ia pergi ke tempat awam dan di sana terdengarlah olehnya ucapan-ucapan itu bagaikan menusuk-nusuk jantungnya sehingga akhirnya ia jatuh pengsan.

Habib bertaubat kepada Allah dari segala perbuatan yang telah dilakukannya, setelah menyedari apa yang terjadi, Hasan al-Basri datang memapahnya dan menghiburkan hatinya. Ketika Habib hendak meninggalkan tempat itu seorang yang berhutang kepadanya melihatnya dan cuba untuk menghindari diri darinya.

“Jangan lari,” Habib berkata. “Di waktu yang sudah-sudah engkaulah yang menghindariku, tetapi sejak saat ini akulah yang harus menghindari dirimu.”

Habib meneruskan perjalanannya, kanak-kanak tadi masih juga bermain-main di jalan. Melihat Habib mereka segera berteriak: “Lihat Habib yang telah bertaubat sedang menuju ke mari, mari kita lari! Jika tidak nescaya debu-debu di tubuh kita akan melekat di tubuhnya sedang kita adalah orang-orang yang telah berdosa kepada Allah.”

“Ya Allah ya Tuhanku!” seru Habib. “Baru saja aku membuat perdamaian dengan-Mu, tetapi engkau telah menanamkan di dalam hati manusia untuk diriku dan telah mengumandangkan namaku di dalam keharuman.”

Kemudian Habib membuat sebuah pengumuman yang berbunyi: “Kepada siapa sahaja yang menginginkan harta benda kepunyaan Habib, datanglah dan ambillah!”

Orang datang beramai-ramai, Habib memberikan segala harta kekayaannya kepada mereka dan ia tidak mempunyai sesuatupun yang tinggal. Namun masih ada seorang yang datang untuk meminta, kepada orang itu Habib memberikan cadar isterinya sendiri. Kemudian datang pula sorang lagi dan Habib memberikan pakaian yang sedang dikenakannya, sehingga tubuhnya terbuka. Lalu ia pergi menyepi di sebuah tempat di pinggir sungai Euphrat, dan di sana ia membaktikan diri untuk beribadah kepada Allah. Siang malam ia belajar di bawah naungan Hasan namun ia masih tidak dapat menghafal al-Quran, dan kerana itulah ia digelar ‘ajami atau orang Barbar.

Waktu berlalu, Habib sudah benar-benar dalam keadaan papa, tetapi isterinya masih tetap menuntut biaya rumahtangga kepadanya. Maka Habih pergi meninggalkan rumahnya menuju tempat pertapaan untuk melakukan kebaktiannya kepada Allah dan apabila malam tiba barulah ia pulang.

“Di mana sebenarnya engkau bekerja sehingga tidak ada sesuatu pun yang engkau bawa pulang?” Isterinya mendesak.

“Aku bekerja pada seseorang yang sangat Pemurah,” jawab Habib. “Sedemikian Pemurahnya Ia sehingga aku malu meminta sesuatu kepada-Nya, apabila saatnya nanti pasti ia akan membayar upahku.”

Demikianlah setiap hari Habib pergi ke pertapaannya untuk beribadah kepada Allah. Pada waktu solat zuhur di hari yang kesepuluh, dia teringat. “Apakah yang akan kubawa pulang malam nanti? Dan apakah yang harus kukatakan kepada isteriku?”

Lama ia termenung. Tanpa pengetahuannya Allah Yang Maha Besar telah mengutus pesuruh-pesuruh-Nya ke rumah Habib. Seorang membawakan gandum sepemikul keldai, yang lain membawa seekor kambing yang telah dibuang kulit, dan yang terakhir membawa minyak, madu, rempah-rempah dan bumbu-bumbu. Semua itu mereka pikul dan diikuti seorang pemuda gagah yang membawa sebuah bekas berisi 300 dirham perak. Sesampainya di rumah Habib, pemuda itu mengetuk pintu.

“Apakah maksud kamu datang ke mari?” tanya isteri Habib setelah membukakan pintu.

“Majikan kami telah menyuruh kami untuk menghantarkan barang-barang ini,” pemuda gagah itu menjawab. “Sampaikanlah pesan ini kepada Habib: “Bila engkau melipatgandakan jerih payahmu maka kami akan melipatgandakan upahmu.” Setelah berkata demikian mereka pun berlalu.

Setelah matahari terbenam Habib berjalan pulang. Ia merasa malu dan sedih. Ketika hampir sampai ke rumah, terciumlah olehnya bau roti dan masakan-masakan. Dengan berlari isterinya datang menyambut, mengelap peluh di mukanya dan bersikap lembut kepadanya, sesuatu yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.

“Wahai suamiku,” isterinya berkata. “Majikanmu adalah seorang yang sangat baik dan pengasih. Lihatlah segala yang telah dikirimkannya ke mari melalui seorang pemuda yang gagah dan tampan. Pemuda itu berpesan: “Bila Habib pulang, katakanlah kepadanya, bila engkau melipatgandakan jerih payahmu maka Kami akan melipatgandakan upahmu.”

Habib merasa hairan.

“Sungguh menakjubkan! Baru sepuluh hari aku bekerja, sudah sedemikian banyak imbalan yang dilimpahkan-Nya kepadaku, apa pulakah yang akan dilimpahkan-Nya nanti?”

Sejak saat itu Habib memalingkan wajahnya dari segala urusan dunia dan menyerahkan dirinya kepada Allah semata-mata.

Habib dengan wanita tua

Pada suatu hari seorang wanita tu datang kepada Habib, dia merebahkan dirinya di depan Habib dengan sedih hati.

“Aku mempunyai seorang putera yang telah lama pergi meninggalkanku. Aku tidak sanggup lebih lama lagi berpisah kepadanya, berdoalah kepada Allah,” mohonnya kepada Habib. “Semoga berkat doamu, Allah mengembalikan puteraku itu kepadaku.”

“Adakah engkau memiliki wang?” tanya Habib kepada wanita tua itu.

“Aku mempunyai dua dirham,” jawabnya.

“Berikan wang tersebut kepada orang-orang miskin!”

Kemudian Habib membaca sebuah doa lalu ia berkata kepada wanita itu: “Pulanglah puteramu telah kembali.”

Belum lagi wanita itu sampai ke rumah, dilihat anaknya sedang menantikannya.

“Wahai! Anakku telah kembali!” Wanita itu berseru. Kemudian dibawanya anak itu menemui Habib.

“Apakah yang telah engkau alami?” tanya Habib kepada putera wanita itu.

“Aku sedang berada di Kirmani, guruku menyuruhku membeli daging. Ketika daging itu kubeli dan aku hendak pulang kepada guruku, tiba-tiba bertiuplah angin kencang, tubuhku dibawa terbang dan terdengarlah satu suara berkata: “Wahai angin, demi doa Habib dan dua dirham yang telah disedekahkan kepada orang-orang miskin, pulangkanlah ia ke rumahnya sendiri.”

Habib dengan hutangnya

Pada tanggal 8 Zulhijjah, Habib kelihatan berada di kota Basrah dan pada keesokan harinya di Padang Arafah. Di waktu yang lain, bencana kelaparan melanda kota Basrah. Kerana itu, dengan berhutang Habib membeli banyak bahan-bahan makanan dan membahagi-bahagikan kepada orang-orang miskin. Setiap hari Habib menggulung tempat wangnya dan menyimpan di bawah lantai. Apabila para pedagang datang menagih hutang, barulah bekas itu dikeluarkannya. Sungguh ajaib, ternyata bekas itu penuh dengan kepingan-kepingan dirham. Dari situ dijelaskan semua hutang-hutangnya.

Habib dengan Hasan al-Basri

Rumah Habib terletak di sebuah persimpangan jalan di kota Basrah. Ia mempunyai sebuah baju bulu yang selalu dipakainya baik di musim panas mahupun di musim sejuk. Sekali peristiwa, ketika Habib hendak bersuci, baju itu ditanggalkannya dan dilemparkannya ke atas tanah.

Tidak berapa lama kemudia Hasan al-Basri melalui tempat itu. Melihat baju habib yang terletak di atas jalan, ia berkata: “Dasar Habib seorang Barbar, tidak peduli berapa harga baju bulu ini! Baju seperti ini tidak boleh dibiarkan saja di tempat ini, akan hilang nanti.”

Hasan berdiri di tempat itu untuk menjaga baju tersebut. Tidak lama kemudian Habib pun kembali.

“Wahai, imam kaum muslimin,” Habib menegur Hasan setelah memberi salam kepadanya, “mengapakah engkau berdiri di sini?”

“Tahukah engkau bahawa baju baju seperti ini tidak boleh ditinggalkan di tempat begini? Akan hilang nanti. Katakan, kepada siapakah engkau memberi baju ini?”

“Kuberikan kepada Dia, yang selanjutnya memberikan kepadamu,” jawab Habib.

Pada suatu hari Hasan berkunjung ke rumah Habib. Habib memberikan kepadanya dua potong roti gandum dan sedikit garam. Hasan sudah bersiap-siap hendak menyantap hidangan itu, tetapi seorang pengemis datang dan Habib menyerahkan kedua potong roti beserta garam itu kepadanya.

Hasan merasa hairan lalu berkata: “Habib, engkau memang seorang manusia budiman. Tetapi alangkah baiknya engkau memiliki sedikit pengetahuan. Engkau mengambil roti lalu memberikan semuanya kepada seorang pengemis. Seharusnya engkau memberikan sebahagian kepada si pengemis dan sebahagian lagi kepada tetamumu.”

Habib tidak memberikan jawapan.

Tidak lama kemudian seorang budak datang sambil menjunjung dulang. Di atas dulang tersebut ada daging kambing panggang, kuih yang manis-manis dan wang perak lima ratus dirham. Budak itu menyerahkan dulang tersebut kepada Habib. Kemudian Habib membahagi-bahagikan wang tersebut kepada orang-orang miskin dan menempatkan dulang tersebut di samping Hasan.

Ketika Hasan memakan daging panggang itu, Habib berkata kepadanya: “Guru, engkau adalah seorang manusia budiman, tetapi alangkah baik seandainya engkau memiliki sedikit keyakinan. Pengetahuan harus disertai dengan keyakinan.”

Habib dengan tentera Hajjaj

Pada suatu hari ketika tentera-tentera Hajjaj memcari-cari Hassan, ia sedang bersembunyi di dalam pertapaan Habib.

“Apakah engkau telah melihat Hasan pada hari ini?” tanya mereka kepada Habib.

“Ya, aku telah melihatnya,” jawab Habib.

“Di manakah Hasan pada saat ini?”

“Di dalam pertapaan ini.”

Para tentera tersebut memasuki pertapaan Habib dan menggeledahnya, namun tidak bertemu Hasan.

“Tujuh kali tubuhku tersentuh oleh mereka, namun mereka tidak melihat diriku,” Hasan mengesahkan.

Ketika hendak meninggalkan pertapaan itu, Hasan mencela Habib: “Habib, engkau adalah seorang murid yang tidak berbakti kepada guru. Engkau telah menunjukkan tempat persembunyianku.”

“Guru, kerana aku berterus-terang itulah engkau dapat selamat. Jika tadi aku berdusta, nescaya kita berdua sama-sama tertangkap.”

“Ayat-ayat apakah yang telah engkau bacakan sehingga mereka tidak melihat diriku?” tanya Hasan.

“Aku membaca Ayat Kursi sepuluh kali, Rasul Beriman sepuluh kali, dan katakanlah, Allah itu Esa sepuluh kali. Setelah itu aku berkata: “Ya Allah, telah kuberikan Hasan kepada-Mu dan oleh kerana itu jagalah dia.”

Habib dengan gurunya Hasan

Suatu ketika Hasan ingin pergi ke suatu tempat. Lalu menyusuri tebing-tebing di pinggir Sungai Tigris sambil melihat-lihat disekitarnya. Tiba-tiba Habib muncul di tempat itu.

“Imam, mengapakah engkau berada di sini?” Habib bertanya. “Aku ingin pergi ke suatu tempat namum perahu belum juga tiba,” jawab Hasan.

“Guru, apakah yang telah terjadi terhadap dirimu? Aku telah mempelajari segala hal yang kuketahui dari dirimu. Buanglah rasa iri kepada orang-orang lain dari dalam dadamu. Tutuplah matamu dari kesenangan-kesenangan duria. Sedarilah bahawa penderitaan adalah sebuah pemberian yang sangat berharga dan sedarilah Allah menentukan segala sesuatu. Setelah itu turunlah dan berjalanlah di atas air.”

Selesai berkata demikian Habib memijakkan kaki ke permukaan air dan meninggalkan tempat itu. Melihat kejadian ini, Hasan merasa hairan dan jatuh pengsan. Ketika ia sedar, orang-orang bertanya kepadanya: “Wahai imam kaum muslimin, apakah yang telah terjadi terhadap dirimu?”

“Baru saja tadi muridku Habib mencela diriku, setelah itu ia berjalan di atas air dan meninggalkan diriku sedang aku tidak dapat berbuat apa-apa. Jika di akhirat nanti sebuah suara menyerukan: “Laluilah jalan yang berada di atas api yang menyala-nyala” sedang hatiku tidak yakin seperti sekarang ini, apakah dayaku?”

Suatu hari Hasan bertanya Habib: “Habib, bagaimanakah engkau mendapatkan karamah-karamah itu?”

Habib menjawab: “Dengan memutihkan hatiku sementara engkau menghitamkan kertas.”

Hasan berkata: “Pengetahuanku tidak memberi manafaat kepada diriku sendiri, tetapi memberi manafaat kepada orang lain.”

Komen :, lagi...

Adakah ‘Masa’ milik kita?

oleh sifumirza pada Aug.18, 2009, di Community, Motivasi

salam semua…

di akhir zaman ini.. hamba-hamba Allah lupa bahawa mereka diuji oleh Tuhan mereka tentang perkara ‘Masa’…

adakah ‘masa’ itu milik kita?

bolehkah kita membahagi-bahagikan masa?

bolehkah kita peruntukkan ‘masa’ tersebut mengikut kesedapan diri kita?

contoh;

masa untuk Allah
masa untuk Rasulullah
masa untuk sahabat
masa untuk perjuangan
masa untuk keluarga
masa untuk kerja
masa untuk bersantai
masa untuk berehat
masa untuk bermesyuarat
masa untuk beribadah khusus
masa untuk beribadah umum

dan seterusnya…

jika kita masih menetapkan ‘masa’ itu milik kita, maka kita perlu melakukan satu ‘overhaul’ terhadap pemahaman diri & tuhan.

mengapa Allah menurunkan surah berkenaan masa dan bersumpah dengan masa?

apa yang Allah surat & siratkan dengan surah tersebut?

surat tentang keadaan hamba-hambaNya pada setiap ketika.. yang terus-terusan rugi…
sirat tentang kepentingan masa, detik dan peredaran waktu..

bukankah hidup kita ini di atas kehendak Allah dan bukannya kehendak diri kita?

adakah kita mampu menetapkan kesudahan hidup kita nanti?
adakah kita hanya mampu berikan yang terbaik dan mengharapkan keredhoaan dari Allah…

sudah pasti jika kita melakukan kerosakan ke atas perjalanan hidup ini kita akan menanggung akibat dari kerosakan yang anggota kita lakukan?

adakah kita berani menyalahkan Allah secara ‘in-directly’ dengan mengeluarkan ’statement’ redho walaupun ‘terpaksa’ mengucapkan redho itu dalam keadaan pasrah?

masa terus berjalan…
masa juga akan meninggalkan kita?
masa bukan milik kita..

wasalam

Komen : lagi...

kepekaan diri…

oleh sifumirza pada Aug.12, 2009, di Community, Motivasi

salam semua…

Dari 1 hingga 10, dimanakah tahap kepekaan diri kita di saat in?

Jika tahap peka diri anda ialah pada 1 hingga 5 maka perlulah kita melakukan sesuatu untuk meningkatkan kepekaan diri kita ini.

Kepekaan diri adalah kelansungan dari sensitiviti diri terhadap hubungan dengan diri yakni melaksanakan ibadah dengan sepenuh jiwa & raga.

Kepekaan diri adalah bertunjang kepada hubungan diri dengan kejadian Allah di seluruh pelusuk alam maya ini…ianya termasuk hubungan dengan keluarga, sahabat, rakan sekerja, jiran tetangga, masyarakat, dan semua makhluk yang ada disekitar kehidupan kita.

Adalah lumrah kehidupan, ada yang kuat dan ada yang lemah.

Diri kita juga ada kekuatan & kelemahan yang perlu kita fokus untuk dipertingkatkan atau diatasi dengan hikmah.

Makhluk lain juga adalah seperti kita, ada kelebihan & ada kekurangan mereka.

Adalah menjadi amanah & tugasan kita untuk sama-sama membantu dalam menuju kesempurnaan tugasan ibadah ke arah menjadi insan kamil mukammil.

Pekakah diri kita?

Sama-sama kita pikirkan yer..

Komen :, lagi...


Mencari sesuatu?

Sila cari di bawah: