Baitulummah Society

Archive for July, 2009

Nasihat Dari Orang Tua

oleh rozainy pada Jul.31, 2009, di Motivasi

Get this widget | Track details | eSnips Social DNA

 

Wahai diri ketahuilah oleh engkau
Berdiri tegak seperti alif
Menjunjung amanah sebagai khalifah
Mencari hakikat pengabdian diri
Mengenali Pencipta yang Maha Berkuasa
Mencari cinta yang abadi
Bukan hanya lafazan dibibir
Sujud menyembah Allah yang berkuasa
Bukan hanya ditikar sejadah
Bumi Allah menjadi hamparan sejadah kita
Mencari hakikat pengabdian diri
Bukan letaknya dikedai kopi
Bukan letaknya pada prasangka
Bukan letaknya pada andaian belaka
Hakikat pengabdian diri adalah berjalan diatas ilmu
Menghamba-abdikan diri kepada Allah
Membahagiakan yang lain dengan mematikan kehendak diri
Dengan menghidupkan kehendak Allah
Sekadar mengambil barang pakai
Sekadar mengambil barang makan dan minum
Agar bertenaga badan untuk beribadah
Mencari erti cinta abadi
Membinasakan diri maka mengenallah cinta
Melihat yang lain mengarah kepada yang Esa

Komen : lagi...

Begitu Sukar Untuk Berjihad…

oleh sifumirza pada Jul.31, 2009, di Community, Motivasi

salam semua..

saya tidak pasti siapa dan berapa ramai akan membaca entri ini.

entri ini terhasil setelah saya melakukan pengamatan selama beberapa tahun dan ianya saya dalami serta halusi dengan penuh minat beberapa waktu yang terdekat ini.

isunya cukup mudah…. kesukaran untuk berjihad.

jika perkataan jihad itu merupakan satu ungkapan yang ‘besar’ atau ‘berat’ maka bolehlah kita menukarnya dari jihad kepada ‘ibadah untuk Allah’.

saya rasa hampir kesemua dari kita faham bahawa setiap gerak kerja tubuh badan dari otak hingga ke hujung jari yang berlaku secara sedar atau tidak sedar merupakan pergerakan yang tidak lain hanyalah kerana Allah Taala, Tuhan Sekelian Alam.

saya katakan ‘hampir semua dari kita’ kerana ‘hampir semua dari kita’ juga yang tidak faham maksud jihad serta ibadah yang perlu kita lakukan di dunia ini dalam ertikata sebenarnya..

ada di kalangan kita yang berjihad atau beribadah kerana sesuatu.
ya saya ulangi, ada di antara kita yang beribadah bersungguh-sungguh sampai bertanda dahi kerana berkehendakkan sesuatu.

baiklah… masuk semula ke topik kita… kesukaran untuk berjihad.

mari kita ‘pergi’ ke zaman Rasulullah dan susuri perjuangan Baginda semasa berdakwah ketika itu..

sudah pasti ramai di kalangan puak quraish yang memilih untuk memeluk agama islam serta beriman kepada Allah & Rasul adalah kerana di keranakan.

ada yang tertarik dengan keindahan Islam.
ada yang tertarik dengan ganjaran hari akhirat.
ada yang mahu lari dari cengkaman pengabdian (hamba abdi)
ada yang benar-benar ikhlas dan menurut segala perintah yang Allah turunkan melalui Junjungan.

kelumpuk 1 hingga 3 sudah pasti akan kecundang dan terpilih untuk masuk ke dalam golongan atau puak yang digelar sebagai musyrik, munafik dan kuff.

mereka-meraka yang mahukan kesaktian atau mahu berselindung di sebalik ke mukjizatan Rasulullah ketika itu sudah pasti akan tergolong ke dalam golongan munafik….munafik pada diri, munafik kepada Rasulullah dan munafik kepada Allah.

mereka-mereka yang memeluk agama islam tetapi masih terus mengamalkan budaya lama seperti menyimpan patung-patung kecil di dalam tas tangan atau di dalam jubah hatta serban untuk kelarisan perniagaan, perlindungan dsbnya sudah pasti tergolong ke dalam golongan musyrikin…menduakan Allah, mengenepikan nasihat Rasulullah dsbnya.

mereka-mereka yang memeluk agama Islam melalui lisan sahaja tanpa menyeiringkan niat serta perbuatan semata-mata mahu berselindung di dalam kekuatan umat islam sudah tentu tergolong ke dalam golongan kuff.. iaitu menolak agama islam secara bersembunyi menanti saat islam jatuh agar mereka boleh melompat semula ke ajaran asal kaum kafir.

baiklah…

mengapa kita sukar untuk berjihad?

jawapannya ialah kita masih lagi mengutamakan diri sendiri atau bersikap ’selfish’.

jawapannya ialah kita masih ingat, pikir dan rasa bahawa apa yang ada di sekeliling kita seperti; masa, harta, wang ringgit, keluarga dan kuasa pangkat adalah milik mutlak kita.

kita lupa bahawa segala-galanya adalah milik Allah Robbul Jaleel.
di mana Allah berkuasa mengada dan mengtiadakan sesuatu perkara itu dengan kehendakNya pada bila-bila masa sahaja.

atas sebab kita selfish atau mementingkan diri kita sendiri maka kita tanpa sedar akan mengalami kepayahan untuk melakukan jihad atau ibadah hanya kerana Allah.

kita gagal bangun malam untuk berzikir.
kita gagal memperuntukkan masa untuk berdakwah serta beribadah.
kita gagal menginfakkan harta serta wang ringgit ke jalan Allah.
kita gagal meninggalkan anak isteri kita untuk berjuang kerana Allah.
kita gagal untuk meninggalkan keluarga kita untuk berjihad.

kita masih terus diulit posisi atau jawatan yang kita takut akan terlepas.
kita masih diulit harta wang ringgit yang kita takut berpisah darinya.
kita masih dibelit keluarga dan anak pinak yang kita takut untuk berenggang.
kita masih dijerat masa yang kita takut tidak sempat melakukan apa sahaja untuk diri.

oleh itu…. memang sukar sama sekali untuk kita berjihad melainkan kita benar-benar tulus ikhlas serta memahami hakikat pengabdian diri kita yang sebenarnya.

adakah sukar untuk kita berjihad?

kita sendiri ada jawapannya…

adakah sukar untuk kita bermunajjat?

kita sendiri ada jawapannya…

adakah sukar untuk kita bermuhasabbah?

kita sendiri ada jawapannya…

adakah sukar untuk kita menemui ketenangan diri?

kita sendiri yang memilihnya…

————————————

moga mendapat ilmu, kefahaman darinya…

wasalam

Komen :, lagi...

Siri 1: Ilmu Buah Kelapa

oleh Abu Loklak pada Jul.28, 2009, di Abu Loklak

Dipetik dari Siri Pengajian Abu Loklak.

Aku ingin kongsi antara pengajaran yang aku dapat diawal perguruanku dengan Syeh Maulana Rabbani.

Adapun pada suatu ketika, guruku telah mengajarkan satu ilmu yang tidak pernah aku dengari. Beliau telah memberitahu satu buah yang sangat jarang dijumpai dan aku sendiri tidak pernah melihatnya seumur hidupku.

“Hari ini aku ingin membicarakan hal buah kelapa.” Begitulah kata-kata awal guruku. “Tahukah engkau sungguh besarNya kuasa Allah dan kasihnya Allah kepada hamba-hambaNya sehingga Allah telah menciptakan sejenis pokok yang awal mula kejadiannya hanyalah sebiji benih. Apabila ia telah membesar, menjadilah ia pokok yang sangat tinggi dan pokok ini tidak mempunyai dahan walau satupun.” Guru meneruskan. Semua anak murid mula menumpukan perhatian. Keadaan berubah menjadi sunyi. Semua anak mata menumpukan pada guru dan menunggu ilmu seterusnya yang bakal diterima.

“Pokok ini pula akan mengeluarkan buah, dan buah itu pula akan mengandung air suci yang menyucikan. Maha Suci Allah…” Guruku menambah. Aku sudah hanyut dengan duniaku. Percakapan guruku sudah dengar tidak dengar kerana menghayati apa yang aku dengar baru tadi. “Dalam buah ada air suci, air yang suci lagi menyucikan,” fikirku. “Sudah ada modal,” detikku.

Aku terus melayani fikiranku hinggalah tamat pengajian pada hari itu. Aku yang tak sabar-sabar dari  tadi, terus menuju ke Restoren Omar Kayam, untuk menemui beberapa kenalanku di situ. Setelah duduk dan meminta minuman, akupun memulakan bicara kepada Abu Bangola.

“Engkau tahu buah kelapa?” Soalku kepada Abu Bangola. Abu Bangola terlopong. Tidak pernah beliau mendengar nama itu. Setelah beberapa ketika berfikir, dia pun menggeleng. “Huh,” bentakku. “Itulah, asyik asyik jual kain jual kain. Bukalah mata, lihatlah Kebesaran Allah.” Kataku dengan bangga.

“Kau tahu tak, kasihnya Allah kepada kita, Allah telah menciptakan buah yang begitu banyak faedahnya untuk kita. Kalau engkau belah kelapa itu, dalam dia ada air. Air yang suci lagi menyucikan.” Kataku lagi sambil melirik bangga melihat Abu Bangola terlopong mendengar kata-kataku.

Setelah bercerita kepada beberapa orang dalam beberapa hari kemudian, pakcikku kebetulan datang minum di Restoren Abu Kayam. Gembira tak terkira hatiku kerana inilah masaku untuk menunjukkan bahawa aku juga berilmu sepertinya.

“Pakcik pernah dengar buah kelapa?” Kataku dengan nada yang agak gelojoh setelah duduk dan memesan minuman. “Macam pernah dengar tapi tak pasti.” Jawab pakcikku. Hatiku melonjak kegembiraan. Inilah masa untukku menunjukkan ilmuku. “Besarnya kuasa Allah dan sayangnya Allah kepada kita … kalau pakcik belah kelapa itu, dalam tu ada air. Air yang suci lagi menyucikan.” Kataku, sambil mataku melirik kepada pakcikku yang mendengar dengan asyik setiap kata-kataku.

“Bagus betul buah kelapa ni ye.” Ujar pakcikku. “Apa lagi ye yang ada di dalam buah tu kalau kita belah?” Tanya pakcikku dengan penuh harapan. Aku mula merasa gelisah. “Guruku tidak pula bercerita tentang perkara lain selain dari airnya. Macam mana nak jawab ni?” Detik hati berkata-kata. “Ha, begini.” Aku mendapat jalan. “Nak tahu kena masuk ahli la.” Bisikku kepada pakcikku, sambil menerangkan tentang perguruanku. Aku menarik nafas lega, pakcikku lupa soalannya tadi dan menumpukan perhatian pada perguruanku.

Keesokannya, tanpa membuang masa aku terus mengadap guruku. “Apa lagi ye tok yang ada dalam buah kelapa tu kalau kita belah?” Tanyaku. “Ada umbun. Kalau dimakan, sangat manis rasanya.” Kata guruku kepadaku setelah beberapa ketika menganggukkan kepala.

Hatiku serba tak senang sejak dua minggu kebelakangan ni. “Manalah pergi pakcikku ni. Dah dua minggu tak nampak batang hidung.” Hatiku merungut.  Tiba-tiba aku nampak pakcikku sedang menunggung motosikal kapcainya di hadapan Restoran Omar Kayam. “Pakcik Omar Siddik, marilah minum .“ Panggilku. Hatiku gembira dia memberhentikan motosikalnya dan duduk bersamaku.

Setelah beberapa lama, hatiku semakin gelisah. “Kenapalah dia ni tak tanya lagi?” dengus hatiku. “Pakcik, dulu pakcik ada tanya saya sesuatu kan?” aku mula mengorak langkah. “Tanya apa?” jawabnya. “Ala, ada. Haritu, ada pakcik tanya.” Ujarku buat-buat tidak ingat. “Pakcik tak ingat ke?” Tambahku.

“Ye, ye. Ada. Dah ingat. Pasal kelapa.” Katanya sambil mengangguk-anggukkan kepala. Hampir melompat keriangan aku dibuatnya. “Apa ye  soalannya?” Tanyaku lagi. “Itulah, saya nak tahu jugak apa lagi yang ada dalam kelapa tu kalau kita belah?” Kata pakcikku. “Baiklah, aku akan cakap.” “Dalam tu ada umbut, kalau di makan sedap rasanya.” Hidungku kembang sambil mataku melirik pada pakcikku mendengar dengan kusyuk. “Baguslah, ada air boleh diminum dan ada umbut boleh dimakan. Mesti ada lagi kan?” Tanya pakcikku dengan lebih lanjut. Aku menjadi serba salah. Aku memang tidak tahu. Akupun menggunakan alasan seperti biasa. Mujur pakcikku tenang tidak menanyakan lagi soalan itu setelah aku mengajaknya menjadi ahli.

Hari ini aku datang awal. Aku nampak guruku datang. Dia sedang menyanyi-nyanyi kecil sambil menikmati suasana pagi. “Cantik,” kata hatiku, “moodnya ok tu!” Aku pun tak sempat guruku melabuhkan punggung ke pangkin aku sudah buka mulut.”Guru, selain air dan umbut apa lagi yang ada pada buah kelapa ye?” Tanyaku.

“Eh, engkau ni pun. Berapa banyak kali nak tanya ni? Engkau dah cari buah kelapa ke belum? Dah belah kelapa ke belum?” Bentak guruku. “Tak lagi lah.” Jawabku menunduk. “Habis tu, berapa ramai yang engkau dah ceritakan pasal ilmu buah kelapa ni?” Tanyanya lagi. “Dalam sepuluh orang. Jiran-jiran saya, kawan-kawan saya dan sedara mara saya.” Jawabku pantas. “Sepuluh orang! Tak guna punya budak. Aku ajar ilmu untuk kau guna berjalan, bukan untuk kau memperkatakan kepada orang. Dan bukan untuk kau bangga-banggakan.”

“Berbahagialah engkau jika engkau dapat pengajaran dari perkara ini. Sesungguhnya, inilah pengajaran engkau tidak harus lupakan kerana ramai yang kecundang kerana perbuatan seperti engkau ini.” Guruku mengakhiri kata-katanya.

Pengajaran yang aku dapat:

  • Ilmu yang berguna adalah ilmu yang dapat membentuk keperibadian yang mantap
  • Ilmu yang berguna adalah ilmu yang diamalkan, bukan ilmu yang dibangga-banggakan
  • Ilmu yang berguna adalah ilmu yang dapat dibawa berjalan, bukan ilmu yang diperkatakan
  • Ramai yang suka berbangga memperkatakan ilmu yang diberitakan kepadanya bukan ilmu yang dia dapat dari perjalanannya
Komen : lagi...

Kisah Siri Pengajian Abu Loklak

oleh Abu Loklak pada Jul.24, 2009, di Abu Loklak

Tersebutlah kisah, pada suatu ketika, di suatu tempat penuh rahsia. Aku menjalani kehidupan seharianku yang kebanyakannya dipenuhi dengan pelajaran dan pengajaran yang ingin aku kongsikan dengan pembaca sekalian.

Kisah bermula apabila aku berguru dengan Syeh Maulana Rabbani. Beliau adalah seorang guru yang sangat unik yang menyebabkan aku tertarik untuk mendalami ilmuku seadanya dengannya.
Dalam perguruan itu, hanya sedikit sahaja anak muridnya iaitu antaranya ialah Ahmad Yakin, Bakri Emosi, Abu Spelon, Anuar Sondol, Ahmad Buncis dan Mat Remos.

Ahmad Yakin adalah seorang yang baik dan amat mudah meyakini gurunya berkat dari ketulusan hatinya. Bakri Emosi pula adalah seorang yang mengada-ngada dan selalu dimarahi oleh gurunya. Abu Spelon pula adalah anak murid termuda dalam perguruan tersebut dan selalu dibuli oleh rakan-rakan seperguruannya. Anuar Sondol pula adalah sahabat baik kepadaku dan beliau adalah seorang yang tidak banyak berfikir panjang dan berbuat apa yang terlintas dihatinya. Ahmad Buncis pula adalah sahabat rapat kepada Ahmad Yakin dan selalu kelihatan berdua-duan dengan beliau dalam banyak hal. Akhir sekali, Mat Remos adalah seorang yang mempunyai paras rupa yang menarik dan beliau adalah seorang yang sentiasa berusaha memikat anak Syeh Maulana Rabbani.

Disamping itu juga, antara watak-watak yang tidak kurang menariknya juga dalam penceritaanku ini ialah Ibu Rohmah, Siti Kenanga, Sharipah Borgotah, Noor Manja Kani, Omar Siddik, Omar Kayam, Abu Bangola dan Abu Khorril. Ibu Rohmah adalah isteri kepada guru dan beliau adalah seorang yang sangat baik hati namun sangat suka berleter. Siti Kenanga adalah anak kepada Syeh Maulana Rabbani dan sentiasa merasa serba-salah dengan pikatan-pikatan dari anak murid ayahnya terutama dari Mat Remos. Sharipah Borgotah dan Noor Manja Kani pula adalah kawan baik Siti Kenanga dan mereka sentiasa kelihatan bersama-sama dimana juga berada.

Omar Siddik pula adalah pakcikku dan merupakan sorang yang berilmu jua dan banyak menasihatiku dalam banyak perkara. Omar Kayam pula adalah pemilik Restoren Omar Kayam dan beliau selalu berlagak macam bagus seolah-olah mempunyai banyak ilmu. Restoren Omar Kayam ini merupakan tempat banyak ilmu kupelajari dan kufahami hasil dari perguruanku dengan Syeh Maulana Rabbani. Abu Bangola merupakan seorang penjual kain dan sentiasa berjalan-jalan di sekitar kawasan perguruanku untuk menjual kain dan mengutip hutang. Akhir sekali Abu Khorril merupakan seorang peniaga kitab yang juga pemilik Gedung Kitab Khorril. Disebabkan Abu Bangola dan Abu Khorril selalu mendatangi Restoren Omar Kayam, banyaklah juga pelajaran yang kupelajari dari kehadiran mereka disepanjang pengajianku.

Aku, pula, Abu Loklak tatkala memulakan pengajianku merupakan seorang yang pemalas, selalu menginginkan yang mudah, juga seorang yang jendol dan suka bermain nombor ekor. Namun, sekarang ini setelah sekian lamanya berguru, telah mempunyai keperibadian yang mantap dan disegani oleh rakan seperguruanku dan juga masyarakat sekeliling.

Maka, aku ingin memaparkan sedikit sebanyak kisah pengajianku dengan Syeh Maulana Rabbani yang telah membantuku mendapat kefahaman dalam perjalanan kehidupanku. Siri Pengajian Abu Loklak ini akan dikeluarkan dari masa ke semasa sekurang-kurangnya seminggu sekali. Harapan penulis agar semua pembaca boleh mendapat manafaat darinya.

Komen : lagi...

Alahai Anak Murid…

oleh sifumirza pada Jul.23, 2009, di General

salam buat semua….

saya cuba mengimbangi susunan masa dan jadual kerja seharian saya yang tidak boleh begitu rigid tetapi perlu ada garis panduan seumpama kompas dalam menuju ke hadapan..

saya perlu memastikan perjalanan operasi pejabat berjalan lancar, memastikan syarikat mempunyai cukup dana untuk bergerak, memastikan setiap program latihan yang akan berlansung disusun dan pemilihan trainer adalah menepati kehendak program, memastikan setiap module tidak ‘basi’ atau terlalu lama tanpa sebarang pembaikan.

dan paling penting saya mesti memastikan saya akan menulis setiap hari..walaupun kadang-kadang saya mengambil masa yang terlalu lama melakukan research untuk module-mudule terbaru, saya gagahkan juga untuk tidak terlalu lama ‘bercuti’ dari menulis sekiranya waktu ‘r&d’ merentap masa yang banyak..

antara lembaran-lembaran yang menjadi tempat saya menukil ialah laman blog saya dan laman forum baitulummah ini…

antara subjek kegemaran saya ialah ‘Human Science’ atau ‘Sains Manusia’…

saya suka mengkaji…setiap detik dan ketika, saya hidup dalam makmal yang besar, makmal yang dipenuhi oleh subjek-subjek kajian saya iaitu manusia…

manusia -manusia ini sangat unik dan istimewa..ya..manusia memang unik untuk dijadikan subjek kajian dalam Module Human Science yang saya sedang belajar dan mengajar sekarang…

suka saya berkongsi salah satu hasil kajian saya yang terkini..

ianya adalah tentang pertalian ilmu di antara seorang pengajar dan pelajar;

saya susuri zaman kegemilangan Islam seribu empat ratus tahun dahulu dan menjadikan titik permulaan garis masanya ialah tatkala Rasulullah s.a.w menerima wahyunya yang pertama di gua hiraq..

saya menetapkan penerimaan wahyu yang pertama itu sebagai landasan atau batu asas dalam setiap pertalian ilmu yang berlaku di antara seorang pengajar dan pelajar.

apa bezanya pertalian ilmu di antara seorang pengajar dan pelajar 1400 tahun dahulu dengan abad ke dua puluh satu ini?

mengapa satu ketika dahulu Islam sangat tinggi peradabannya hasil dari ketinggian ilmu yang ada pada ummat di waktu itu?

mengapa kini setelah 1400 tahun berlalu, tahap keilmuan yang ada pada ummat berada pada garis yang sangat rendah serta boleh diperkotak-katikkan oleh pihak barat atau bukan islam?

mengapa sebagai contohnya Ibnu Sina berhasil mencipta beribu-ribu formula sainsnya dan menjadi asas kepada ilmu perubatan moden masa kini?

apa istimewanya Ibnu Sina, Al-Kharizmi, Ar-Razi, Al-Biruni, Al-Tabari?

apa istimewanya Imam Shafie, Iman Hanafi, Imam Maliki dan Imam Hambali?

apa istimewanya Imam Bukhari, Imam Muslim?

kesemua mereka sudah pasti memulakan proses pencarian ilmu sebagai pelajar terlebih dahulu dan bukannya lahir terus menjadi pengajar atau ilmuan hebat..

pernahkah kita terfikir siapa guru atau pengajar mereka?

pernahkah kita terfikir siapa yang turut sama belajar dengan mereka?

paling penting, bagaimana mereka-mereka ini muncul sebagai insan-insan yang hebat (bagi saya sangat hebat) lantas membuatkan seluruh ummat berbangga dengan pencapaian mereka..

pernahkah kita susuri kehidupan mereka untuk kita mendapat ‘intipati’ kehebatan mereka?

perlu diingat, mereka bermula sebagai pelajar atau anak murid kepada pengajar atau guru mereka…

apa bezanya kita yang menghabiskan duit ‘mak bapak’ atau ‘pinjam ptptn berpuluh ribu’ untuk masuk ke universiti atau kolej semata-mata untuk menjadi insan hebat dalam jurusna tertentu..

cuma masa dahulu, keadaannya lebih sukar..hanya mereka-mereka yang berjiwa besar dan sanggup berkorban sahaja yang sanggup merentas 7 lautan serta 7 benua untuk mendapatkan guru yang hebat serta ilmu yang terbaik…

bolehlah kita samakan semangat mereka-mereka terdahulu dengan semangat kita (jika kita tidak tahu malu) kerana manusia abad ke 21 ini memang jenis yang tidak mahu kalah serta sering menegakkan benang yang basah apatahlagi hanya pandai berkata-kata dari melakukannya.. (cakap lebih dari buat)..

apakah rahsianya?

inilah hasil kajian saya….

rahsianya ialah terletak kepada ‘aqad’ di antara murid & guru…

tadika (kemas ke tak kemas ke), sekolah rendah, sekolah menengah, matrikulasi, pra-universiti, kolej komuniti, kolej swasta, institut pengajian tinggi swasta atau kerajaan semuanya tidak mengamalkan ‘aqad’ di antara guru atau pengajar dengan anak murid atau pelajar.

di sinilah di mana ‘hampir tiada pertalian cahaya atau getaran cahaya’ yang tersambung di antara guru dan murid.

apatahlagi guru itu sendiri pun tiada talian cahayanya atau tiada aqad dengan ‘lectrurer’nya dulu.

maka akibat ‘putusnya’ talian cahaya ini…….maka kita sendiri dapat saksikan terjunamnya mutu ilmu di kalangan ummat islam berbanding ummat islam 1400 tahun dahulu..

sebarang ilmu yang tiada pertalian cahaya atau aqad adalah ilmu sementara yang tidak kekal lama.

apa berlaku setelah ramai para ulama dibunuh semasa baghdad diserang oleh tentera bersekutu satu masa dahulu (bukan zaman saddam hussien yer..).. tatkala itu berjuta kitab-kitab telah dicampak ke dalam sungai thurat sehingga warna air sungai tersebut menjadi hitam…

putuslah talian cahaya ketika itu… adapun terdapat beberapa ulama dan ilmuan yang hidup untuk menjadi penyambung kepada ‘pertalian cahaya’ @ aqad ini dengan izin Allah..

di abad ke 21 ini, tidak dapat saya nafikan juga terdapat guru-guru yang masih meneruskan amalan ‘pertalian cahaya’ ini di antara mereka dan anak-anak murid mereka… Alhamdulillah.. syukur kerana sebagai hamba kita hanya perlu tunduk sujud serta menghambaabdikan diri dan beribadah sepenuh hati & jiwa… selebihnya, yakni untuk mempelihara ‘talian cahaya’ ini, ianya adalah urusan Allah Azza Wajalla..

maka bergembiralah murid-murid yang mendapat pertalian cahaya ini kerana guru-guru anda sudah tentu mempunyai pertalian cahaya dengan guru-guru mereka.. kerana jika tiada ‘pertalian cahaya’  atau aqad ini, maka ilmu yang dicurahkan tidak akan masuk kedalam sebuah bekas tetapi tercurah ke atas daun keladi… dan apabila ilmu itu tercurah ke daun keladi, maka kita lihatlah produk manusia-manusia akhir zaman ini…Masya Allah…

pesanan saya kepada mereka-mereka yang digelar anak murid (iaitu mereka-mereka yang telah melalui acara bai’ah serta aqad dengan guru masing-masing);

1. berbanyak-banyaklah bertaubat serta beristigfar, memanjat kesyukuran, bersujud serta beribadah dengan penuh kesungguhan kehazrat Allah Azza Wajalla kerana menemukan anda dengan guru yang akan membimbing anda sepenuh jiwa dan raganya.

2. berbanyak-banyaklah melakukan muhasabah diri setiap detik dan ketika agar muhasabah diri ini dapat membantu anda melawan hawa nafsu dan bergerak menjadi insan cemerlang dari masa ke semasa.

3. bertertiblah dengan guru, ahlinya serta majlis-majlisnya.

4. jauhilah sikap mazmumah dan buruk sangka terhadap guru, termasuk merajuk atau makan hati terhadap guru (fikirlah, siapa guru & siapa murid)

5. bergegaslah apabila mendapat arahan guru, serta lakukan arahan tersebut dengan hati yang terbuka kerana ada ilmu yang sangat banyak untuk anda semasa dan selepas anda melaksanakan arahan tersebut.

6. dengarlah dan patuhlah dengan guru anda kerana 2 perkara inilah yang akan memastikan anda menjadi seroang insan yang cemerlang.

7. berlaku adillah kepada diri anda sekiranya anda tidak mampu untuk melaksanakan 6 perkara di atas kerana menjadi anak murid tidak sama seperti menjadi pelajar atau murid (anak murid mengikut setiap perintah guru, manakala murid boleh tidak ikut arahan…)… dan berlaku adil ini perlu kepada perbuatan yakni : memutuskan aqad dengan segera agar diri anda tidak sengsara selama-lamanya.

dan perlu diingat, dalam satu-satu masa anda boleh menjadi murid kepada ramai guru tetapi hanya menjadi anak murid kepada seorang guru sahaja… sehinggalah perguruan anda tamat atau guru memutuskan aqad atau anda sendiri yang memutuskan aqad atau/dan apabila salah seorang meninggal dunia..

akhir kalam yang tiada pengakhiran… selamat ‘meneruskan pertalian cahaya’ itu…

sesungguhnya pertalian cahaya itu bermula di gua hiraq..

wasalam & selamat malam buat semua..

Komen lagi...

Mencari sesuatu?

Sila cari di bawah: