Abu Loklak
Siri 1: Ilmu Buah Kelapa
oleh Abu Loklak pada Jul.28, 2009, di Abu Loklak
Dipetik dari Siri Pengajian Abu Loklak.
Aku ingin kongsi antara pengajaran yang aku dapat diawal perguruanku dengan Syeh Maulana Rabbani.
Adapun pada suatu ketika, guruku telah mengajarkan satu ilmu yang tidak pernah aku dengari. Beliau telah memberitahu satu buah yang sangat jarang dijumpai dan aku sendiri tidak pernah melihatnya seumur hidupku.
“Hari ini aku ingin membicarakan hal buah kelapa.” Begitulah kata-kata awal guruku. “Tahukah engkau sungguh besarNya kuasa Allah dan kasihnya Allah kepada hamba-hambaNya sehingga Allah telah menciptakan sejenis pokok yang awal mula kejadiannya hanyalah sebiji benih. Apabila ia telah membesar, menjadilah ia pokok yang sangat tinggi dan pokok ini tidak mempunyai dahan walau satupun.” Guru meneruskan. Semua anak murid mula menumpukan perhatian. Keadaan berubah menjadi sunyi. Semua anak mata menumpukan pada guru dan menunggu ilmu seterusnya yang bakal diterima.
“Pokok ini pula akan mengeluarkan buah, dan buah itu pula akan mengandung air suci yang menyucikan. Maha Suci Allah…” Guruku menambah. Aku sudah hanyut dengan duniaku. Percakapan guruku sudah dengar tidak dengar kerana menghayati apa yang aku dengar baru tadi. “Dalam buah ada air suci, air yang suci lagi menyucikan,” fikirku. “Sudah ada modal,” detikku.
Aku terus melayani fikiranku hinggalah tamat pengajian pada hari itu. Aku yang tak sabar-sabar dari tadi, terus menuju ke Restoren Omar Kayam, untuk menemui beberapa kenalanku di situ. Setelah duduk dan meminta minuman, akupun memulakan bicara kepada Abu Bangola.
“Engkau tahu buah kelapa?” Soalku kepada Abu Bangola. Abu Bangola terlopong. Tidak pernah beliau mendengar nama itu. Setelah beberapa ketika berfikir, dia pun menggeleng. “Huh,” bentakku. “Itulah, asyik asyik jual kain jual kain. Bukalah mata, lihatlah Kebesaran Allah.” Kataku dengan bangga.
“Kau tahu tak, kasihnya Allah kepada kita, Allah telah menciptakan buah yang begitu banyak faedahnya untuk kita. Kalau engkau belah kelapa itu, dalam dia ada air. Air yang suci lagi menyucikan.” Kataku lagi sambil melirik bangga melihat Abu Bangola terlopong mendengar kata-kataku.
Setelah bercerita kepada beberapa orang dalam beberapa hari kemudian, pakcikku kebetulan datang minum di Restoren Abu Kayam. Gembira tak terkira hatiku kerana inilah masaku untuk menunjukkan bahawa aku juga berilmu sepertinya.
“Pakcik pernah dengar buah kelapa?” Kataku dengan nada yang agak gelojoh setelah duduk dan memesan minuman. “Macam pernah dengar tapi tak pasti.” Jawab pakcikku. Hatiku melonjak kegembiraan. Inilah masa untukku menunjukkan ilmuku. “Besarnya kuasa Allah dan sayangnya Allah kepada kita … kalau pakcik belah kelapa itu, dalam tu ada air. Air yang suci lagi menyucikan.” Kataku, sambil mataku melirik kepada pakcikku yang mendengar dengan asyik setiap kata-kataku.
“Bagus betul buah kelapa ni ye.” Ujar pakcikku. “Apa lagi ye yang ada di dalam buah tu kalau kita belah?” Tanya pakcikku dengan penuh harapan. Aku mula merasa gelisah. “Guruku tidak pula bercerita tentang perkara lain selain dari airnya. Macam mana nak jawab ni?” Detik hati berkata-kata. “Ha, begini.” Aku mendapat jalan. “Nak tahu kena masuk ahli la.” Bisikku kepada pakcikku, sambil menerangkan tentang perguruanku. Aku menarik nafas lega, pakcikku lupa soalannya tadi dan menumpukan perhatian pada perguruanku.
Keesokannya, tanpa membuang masa aku terus mengadap guruku. “Apa lagi ye tok yang ada dalam buah kelapa tu kalau kita belah?” Tanyaku. “Ada umbun. Kalau dimakan, sangat manis rasanya.” Kata guruku kepadaku setelah beberapa ketika menganggukkan kepala.
Hatiku serba tak senang sejak dua minggu kebelakangan ni. “Manalah pergi pakcikku ni. Dah dua minggu tak nampak batang hidung.” Hatiku merungut. Tiba-tiba aku nampak pakcikku sedang menunggung motosikal kapcainya di hadapan Restoran Omar Kayam. “Pakcik Omar Siddik, marilah minum .“ Panggilku. Hatiku gembira dia memberhentikan motosikalnya dan duduk bersamaku.
Setelah beberapa lama, hatiku semakin gelisah. “Kenapalah dia ni tak tanya lagi?” dengus hatiku. “Pakcik, dulu pakcik ada tanya saya sesuatu kan?” aku mula mengorak langkah. “Tanya apa?” jawabnya. “Ala, ada. Haritu, ada pakcik tanya.” Ujarku buat-buat tidak ingat. “Pakcik tak ingat ke?” Tambahku.
“Ye, ye. Ada. Dah ingat. Pasal kelapa.” Katanya sambil mengangguk-anggukkan kepala. Hampir melompat keriangan aku dibuatnya. “Apa ye soalannya?” Tanyaku lagi. “Itulah, saya nak tahu jugak apa lagi yang ada dalam kelapa tu kalau kita belah?” Kata pakcikku. “Baiklah, aku akan cakap.” “Dalam tu ada umbut, kalau di makan sedap rasanya.” Hidungku kembang sambil mataku melirik pada pakcikku mendengar dengan kusyuk. “Baguslah, ada air boleh diminum dan ada umbut boleh dimakan. Mesti ada lagi kan?” Tanya pakcikku dengan lebih lanjut. Aku menjadi serba salah. Aku memang tidak tahu. Akupun menggunakan alasan seperti biasa. Mujur pakcikku tenang tidak menanyakan lagi soalan itu setelah aku mengajaknya menjadi ahli.
Hari ini aku datang awal. Aku nampak guruku datang. Dia sedang menyanyi-nyanyi kecil sambil menikmati suasana pagi. “Cantik,” kata hatiku, “moodnya ok tu!” Aku pun tak sempat guruku melabuhkan punggung ke pangkin aku sudah buka mulut.”Guru, selain air dan umbut apa lagi yang ada pada buah kelapa ye?” Tanyaku.
“Eh, engkau ni pun. Berapa banyak kali nak tanya ni? Engkau dah cari buah kelapa ke belum? Dah belah kelapa ke belum?” Bentak guruku. “Tak lagi lah.” Jawabku menunduk. “Habis tu, berapa ramai yang engkau dah ceritakan pasal ilmu buah kelapa ni?” Tanyanya lagi. “Dalam sepuluh orang. Jiran-jiran saya, kawan-kawan saya dan sedara mara saya.” Jawabku pantas. “Sepuluh orang! Tak guna punya budak. Aku ajar ilmu untuk kau guna berjalan, bukan untuk kau memperkatakan kepada orang. Dan bukan untuk kau bangga-banggakan.”
“Berbahagialah engkau jika engkau dapat pengajaran dari perkara ini. Sesungguhnya, inilah pengajaran engkau tidak harus lupakan kerana ramai yang kecundang kerana perbuatan seperti engkau ini.” Guruku mengakhiri kata-katanya.
Pengajaran yang aku dapat:
- Ilmu yang berguna adalah ilmu yang dapat membentuk keperibadian yang mantap
- Ilmu yang berguna adalah ilmu yang diamalkan, bukan ilmu yang dibangga-banggakan
- Ilmu yang berguna adalah ilmu yang dapat dibawa berjalan, bukan ilmu yang diperkatakan
- Ramai yang suka berbangga memperkatakan ilmu yang diberitakan kepadanya bukan ilmu yang dia dapat dari perjalanannya
Kisah Siri Pengajian Abu Loklak
oleh Abu Loklak pada Jul.24, 2009, di Abu Loklak
Tersebutlah kisah, pada suatu ketika, di suatu tempat penuh rahsia. Aku menjalani kehidupan seharianku yang kebanyakannya dipenuhi dengan pelajaran dan pengajaran yang ingin aku kongsikan dengan pembaca sekalian.
Kisah bermula apabila aku berguru dengan Syeh Maulana Rabbani. Beliau adalah seorang guru yang sangat unik yang menyebabkan aku tertarik untuk mendalami ilmuku seadanya dengannya.
Dalam perguruan itu, hanya sedikit sahaja anak muridnya iaitu antaranya ialah Ahmad Yakin, Bakri Emosi, Abu Spelon, Anuar Sondol, Ahmad Buncis dan Mat Remos.
Ahmad Yakin adalah seorang yang baik dan amat mudah meyakini gurunya berkat dari ketulusan hatinya. Bakri Emosi pula adalah seorang yang mengada-ngada dan selalu dimarahi oleh gurunya. Abu Spelon pula adalah anak murid termuda dalam perguruan tersebut dan selalu dibuli oleh rakan-rakan seperguruannya. Anuar Sondol pula adalah sahabat baik kepadaku dan beliau adalah seorang yang tidak banyak berfikir panjang dan berbuat apa yang terlintas dihatinya. Ahmad Buncis pula adalah sahabat rapat kepada Ahmad Yakin dan selalu kelihatan berdua-duan dengan beliau dalam banyak hal. Akhir sekali, Mat Remos adalah seorang yang mempunyai paras rupa yang menarik dan beliau adalah seorang yang sentiasa berusaha memikat anak Syeh Maulana Rabbani.
Disamping itu juga, antara watak-watak yang tidak kurang menariknya juga dalam penceritaanku ini ialah Ibu Rohmah, Siti Kenanga, Sharipah Borgotah, Noor Manja Kani, Omar Siddik, Omar Kayam, Abu Bangola dan Abu Khorril. Ibu Rohmah adalah isteri kepada guru dan beliau adalah seorang yang sangat baik hati namun sangat suka berleter. Siti Kenanga adalah anak kepada Syeh Maulana Rabbani dan sentiasa merasa serba-salah dengan pikatan-pikatan dari anak murid ayahnya terutama dari Mat Remos. Sharipah Borgotah dan Noor Manja Kani pula adalah kawan baik Siti Kenanga dan mereka sentiasa kelihatan bersama-sama dimana juga berada.
Omar Siddik pula adalah pakcikku dan merupakan sorang yang berilmu jua dan banyak menasihatiku dalam banyak perkara. Omar Kayam pula adalah pemilik Restoren Omar Kayam dan beliau selalu berlagak macam bagus seolah-olah mempunyai banyak ilmu. Restoren Omar Kayam ini merupakan tempat banyak ilmu kupelajari dan kufahami hasil dari perguruanku dengan Syeh Maulana Rabbani. Abu Bangola merupakan seorang penjual kain dan sentiasa berjalan-jalan di sekitar kawasan perguruanku untuk menjual kain dan mengutip hutang. Akhir sekali Abu Khorril merupakan seorang peniaga kitab yang juga pemilik Gedung Kitab Khorril. Disebabkan Abu Bangola dan Abu Khorril selalu mendatangi Restoren Omar Kayam, banyaklah juga pelajaran yang kupelajari dari kehadiran mereka disepanjang pengajianku.
Aku, pula, Abu Loklak tatkala memulakan pengajianku merupakan seorang yang pemalas, selalu menginginkan yang mudah, juga seorang yang jendol dan suka bermain nombor ekor. Namun, sekarang ini setelah sekian lamanya berguru, telah mempunyai keperibadian yang mantap dan disegani oleh rakan seperguruanku dan juga masyarakat sekeliling.
Maka, aku ingin memaparkan sedikit sebanyak kisah pengajianku dengan Syeh Maulana Rabbani yang telah membantuku mendapat kefahaman dalam perjalanan kehidupanku. Siri Pengajian Abu Loklak ini akan dikeluarkan dari masa ke semasa sekurang-kurangnya seminggu sekali. Harapan penulis agar semua pembaca boleh mendapat manafaat darinya.