Baitulummah Society

Selamat datang ke Eagle Nest

oleh Kamal Arif Maz pada Nov.18, 2010, di General

Kami di Baitulummah ingin membuat pengumuman. Baitulummah telah berjaya membuka sebuah pusat latihan bertempat di Ulu Yam, Selangor. Pusat ini dipanggil Eagle Nest Outbound Adventure Eco Resort.

Kami ingin mengucapkan tahniah dah syabas kepada barisan utama yang menjadi tonggak kepada Eaglenest iaitu:

  • Ridzuan Aziz
  • Shamsul Kamal Adnan
  • Hady Dzahir
  • Shahrir Nizam Sahak

Tahniah juga kepada barisan utama dan barisan sokongan yang telah berjaya menjadi hos kepada Sekolah Kebangsaan Meru 2 untuk aktiviti Perkemahan Unit Beruniform SK Meru 2 bertarikh 2-4 Oktober 2010. Program tersebut telah diadakan dengan jayanya.

Bagi sesiapa yang berminat untuk mengadakan perkhemahan terutamanya dimusim cuti sekolah, sila dapatkan keterangan lanjut di www.eaglenest.my.  Anda juga boleh melayari facebook di www.facebook.com.

Komen lagi...

Pengorbanan dan Kemaafan

oleh Kamal Arif Maz pada Nov.16, 2010, di Motivasi

Sudah lama saya tidak menulis. Kesibukan dengan hal-hal tertentu membuatkan fokus diri saya hanya pada kerja buat beberapa lama. Saya terpanggil untuk menulis ini bersempena dengan sambutan hari raya korban tahun ini.

Saya ingin berkongsi tentang pengorbanan. Sebagai manusia, yang hidup dengan aturan-aturan tertentu, dengan objektif hidup yang tertentu, membawa bersama beberapa diri yang lain, tidak dapat lari dari tuntutan pengorbanan bagi dapat maju ke depan, meloloskan diri dari masalah hidup, membawa yang lain bersama-sama dalam perjalanan ini.

Seseorang menasihati saya, “It’s all how you perceive things.” Maksudnya, “semuanya bergantung kepada bagaimana kita melihat sesuatu perkara.” Apa yang dimaksudkan beliau ialah, dugaan dan ujian itu tidak ada yang besar atau kecil, Tidak ada yang susah atau senang. Tidak ada yang mampu atau tidak mampu kita tempuhi. Semuanya sama sahaja. Semuanya datang dari Allah yang Maha Mengetahui. Semuanya mampu kita tempuhi. Sebagaimana firman Allah ” - Kami tidak memberati seseorang dengan kewajipan kecuali dengan kesanggupannya..” (Al-Anaam 152) Yang membezakannya adalah, bagaimana kita menerimanya. Adakah kita menerima dan menghadapinya dengan penuh ikhlas dan redha atau sebaliknya?

Maka pengorbanan itu juga sama sahaja. Bagi yang “Lillahita’ala”, tidak ada yang besar atau kecil. Semuanya untuk Allah. Semuanya sama. Semuanya disanggupi. Semuanya akan diredah. Biar bercerai nyawa dari badan, asalkan terlaksana.

Antara pengorbanan yang sentiasa kita perlu tempuhi, yang sentiasa datang meminta, yang akan menjadi jalan keluar untuk pelbagai permasalahan - yang kita sendiri mencari, yang akan dapat menenangkan hati kita adalah kemaafan.

Bagi orang yang ego, kemaafan itu seperti satu penghinaan. “Ah, buat apa aku nak maafkan dia?”. “Biar padan dengan muka dia!”. “Baru puas hati aku tengok dia merana!” Seolah-olah dia tidak pernah buat salah. Atau seolah-olah dia boleh buat salah, orang lain tak boleh.

Bagi orang yang kehilangan, kemaafan itu seperti suatu yang terhapus. Yang sukar untuk dizahirkan semula. Yang serasanya tidak akan dapat dizahirkan kembali. Sebagaimana terhapusnya apa yang dia kehilangan itu.

Kebanyakan manusia, apabila dirinya teraniaya, kemaafan itu bagai tercampak jauh ke dasar laut. Apabila dirinya teraniaya, dia akan merasa kerana orang lain yang menganiayanya.

Sudah Allah nyatakan.”Dan Allah tidak berkehendak kezaliman pada sekalian makhlukNya.” (Al-Imran - 108). “Dan (ingatlah), sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.” (Al-Imran - 182) Allah juga mengingatkan akan kata-kata penghuni neraka, “Maka tidak ada yang mereka katakan ketika datangnya azab Kami kepada mereka, melainkan mereka berkata: ‘Sebenarnya kami adalah orang-orang yang zalim’” (Al-Araf - 5). Bahkan Allah menyatakan “Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarrah (debu)..” (An-Nisa - 40). “Sesungguhnya Allah tidak menganiaya manusia sedikitpun, akan tetapi manusia jualah yang menganiaya diri mereka sendiri.” (Yunus - 44)

Memang sukar. Kejahatan dan keburukan perbuatan si dia sungguh sukar untuk diterima. Kata-katanya juga menyebabkan kita menjadi semakin panas hati. Semakin difikir, semakin serabut. Semakin difikir semakin sakit hati. Akhirnya kita sendiri tidak boleh buat kerja atau tidur. Kalau berselisih pasti teringat. Pasti terpaksa menahan marah. Kalau terpandang pasti dendam kesumat bergelora.

Itulah keadaannya orang yang terganggu. Atau “Emotional hijack”. Atau dibuai nafsu. Semuanya serba tak kena. Semuanya salah. Ada sahaja yang tak kena.

Bagi orang yang ego atau kehilangan, mereka tidak nampak bahawa kemaafan itu satu pengorbanan yang perlu untuk menahan diri kita dari terus-terusan menzalimi diri sendiri.

Katakanlah pada diri sendiri, “Cukuplah Allah dalam hati ini. Cukuplah Allah sebagai pelindungku. Cukuplah Allah yang Maha Adil, yang tidak menzalimi aku. Cukuplah Allah yang Maha Mengetahui. Cukuplah Allah.. Cukuplah Allah.. Cukuplah Allah..” Bisikkanlah pujukan itu di dalam hati. Pasti dengan izinNya, hati kita akan kurang gelora.

Setelah itu, angkatlah tangan dan mohon keampunan dari Allah. Allah mengajarkan “..Sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Engkau! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” (Al-Anbiya - 87).

Setelah itu, maafkanlah sidia. “Bagaimana hendak memaafkan sidia sedangkan dia yang berbuat salah tidak meminta maaf?” Orang-orang yang berilmu dahulu, dia akan mengadap orang itu dan dia sendiri akan meminta maaf. Mencari jalan agar orang itu meminta maaf. Mencari jalan agar tidak berprasangka buruk kepada orang lain. Mencari peluang agar yang retak itu bersambung kembali.

Itulah salah satu pengorbanan hidup yang pasti akan datang kepada kita. Yang menuntut agar kita melaksanakannya. Sebagaimana Allah sentiasa memaafkan kita. Sentiasa berprasangka baik bahawa kita akan berubah suatu hari nanti. Yang terus-menerus menunaikan janjiNya walaupun kita engkar, lalai atau durhaka. Yang tetap memberikan yang terbaik kepada kita. Tetap menerima taubat hamba-hambaNya. Tetap menyayangi hamba-hambaNya.

Komen : lagi...

Minal Aidil Wal Faizin

oleh sifumirza pada Sep.13, 2010, di General

saya ingin mengucapkan Salam Eid Fitri Al Mubarak buat semua warga baitulummah tidak kira di mana sahaja anda berada.

mudah-mudahan Eid Fitri kali ini memberi makna yang sangat mendalam buat semua dari sudut ilmu, penghayatan dan pemahamannya.

diharap juga ‘module ramadhan’ tempohari dapat memberikan kita semua pelbagai ilmu yang tidak ternilai agar ianya dapat digarap serta menjadi amalan terbaik dalam melaksanakan ibadah seharian kita.

tiadalah makna ‘rehat’ dalam kamus seorang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah.

tiadalah makna ‘bercuti’ dalam kamus seorang yang mengerti serta faham maksud penghambaan abadi kepada Allah.

marilah kita membuang jauh-jauh topeng kemunafikan yang sering kita pakai saban hari samada berhadapan dengan makhluk apatahlagi menghadap wajah kepada Ilahi.

janganlah peluang yang ada ini kita sia-siakan dan janganlah kita tergolong ke dalam golongan yang meminta untuk dikembalikan ke dunia walau sesaat pada hari dimana segala-gala yang kita megahkan tidak berguna lagi.

Allahhuakhbar…Allahhuakhbar…Allahhuakhbar..Walillahhilham

Komen lagi...

Hasan Al-Hudhaibi

oleh aRiL pada May.13, 2010, di General, Motivasi

tegakannegaraislam3Hasan Al-Hudhaibi memikul tugas Asy-Syahid Hasan Al-Banna bermula pada tahun 1949 walaupun hanya diumumkan secara terbuka sebagai Mursyidul Am Ikhwan Muslimun pada tahun 1951. Beliau memegang amanah tersebut hingga tahun 1973.

Di bawah kepimpinannya, Ikhwan telah melalui Revolusi Mesir 1952 dan empat perang Arab-Israel, iaitu pada 1948-1949, 1956, 1967 dan 1973.
Ketika tercetusnya perang pertama, Al-Hudhaibi menyeru keluarganya yang terdiri di kalangan golongan terkemuka Mesir untuk menubuhkan cawangan-cawangan Ikhwan. Beliau menggerakkan Ikhwan di seluruh Mesir untuk berdepan dengan golongan Zionis dan mempertahankan bumi Palestin.

Dalam perang pertama pasukan jihad Ikhwan adalah yang paling handal menggempur kelompok-kelompok tentera Zionis. Pasukan Ikhwan jugalah yang mempertahankan tentera Mesir ketika tentera tersebut terpaksa berundur dari bumi Palestin.

Namun, setiba sahaja ke Mesir, di atas tekanan Amerika dan kuasa-kuasa Barat, Raja Farouk telah menahan dan memenjarakan mujahidin Ikhwan. Tidak kurang dari 10,000 orang mujahidin Ikhwan yang dihumban ke dalam beberapa penjara Mesir.

Pada tempoh tersebutlah, Al-Hudhaibi cukup sibuk berurusan dengan pemerintah untuk membela dan membebaskan anggota-anggota Ikhwan melalui proses undang-undang. Al-Hudhaibi juga turut menggerakkan Ikhwan untuk mewujudkan sistem sokongan bagi membantu anak-anak dan keluarga tahanan yang merengkok dalam penjara.

Dalam Revolusi 1952, Sayyid Qutb ditampilkan sebagai tokoh Ikhwan untuk bertahalluf dengan Naguib dan Jamal Abdul Nasir bagi menggulingkan pemerintahan Farouk. Revolusi tersebut menjanjikan untuk menempatkan Islam sebagai dasar pemerintahan negara.
Setelah Revolusi 1952 berjaya mengguling Farouk, Sayyid Qutb diundang untuk menyertai kabinet sebagai menteri pendidikan. Walau bagaimanpun, Sayyid Qutb menolaknya kerana Jamal Abdul Nasir mungkir janji apabila memasukkan golongan sosialis, nasionalis serta tidak meletakkan Islam sebagai dasar pemerintahan.

Percubaan kedua untuk mendapat sokongan Ikhwan dibuat terus melalui Al-Hudhaibi. Majlis Pemerintah Revolusi pimpinan Jamal Abdul Nasir menawarkan tiga kementerian untuk diterajui oleh Ikhwan. Pada peringkat awal tawaran tersebut diterima oleh Al-Hudhaibi. Tiga orang tokoh terkemuka Ikhwan iaitu Syeikh Hasan Al-Baquri, Hasan Al-’Ashmawi dan Munir Al-Dilla dinamakan sebagai calon-calon Ikhwan.
Majlis Pemerintah Revolusi menolak Hasan Al-’Ashmawi dan Munir Al-Dilla, sedangkan Syeikh Hasan Al-Baquri sudah pun menerima jawatan tersebut. Keadaan ini menimbulkan ketegangan.

Maktab Irshad Ikhwan kemudian bersidang untuk memutuskan untuk menolak tawaran pemerintah revolusi bagi Ikhwan terlibat dalam kabinet. Dua sebab utama penolakan tersebut adalah kerana kuasa pemutus di setiap kementerian bukanlah milik menteri tetapi terletak di atas kuasa pegawai tertinggi tentera Revolusi yang ditugaskan di situ. Sebab kedua adalah hanya dengan tiga kementerian dalam kerajaan, suara Ikhwan tidak cukup kuat untuk menentukan pemerintahan akan berjalan di atas landasan Islam.

Di atas sebab itu Ikhwan memutuskan untuk tidak menyertai kerajaan. Hubungan tegang antara Majlis Pemerintah Revolusi dengan Ikhwan semakin memuncak. Pada peringkat awal, tiada tindakan diambil terhadap pemimpin-pemimpin Ikhwan. Namun, setelah kuasa Majlis Pemerintah Revolusi semakin bertambah teguh, mulalah pemimpin-pemimpin Ikhwan ditangkap, diseksa dan dipenjarakan oleh Jamal Abdul Nasir.

Al-Hudhaibi keluar masuk penjara berkali-kali. Pernah juga dia dijatuhi hukuman gantung sampai mati. Ketika itu usianya sudah pun agak lanjut. Namun semangat dan jiwanya amat kental.
Al-Hudhaibi mengingatkan anggota-anggota Ikhwan: “Penjara bukan tembok tebal dan jeriji besi. Sebenarnya penjara adalah keadaan dalam perasaan dan fikiran kalian”.

Semasa bertahun-tahun dalam penjara dengan dianiaya dan diseksa, Al-Hudhaibi terus menyuntikkan semangat anggota-anggota untuk terus bertahan. Beliau terus menyemarakkan semangat teguh mempertahankan Islam dan untuk hidup sepenuhnya di bawah naungan Islam. Al-Hudhaibi mahu anggota-anggota Ikhwan terus meningkatkan tarbiyyah dan tazkiyyah diri walaupun sedang merengkok dalam penjara.

Syeikh Abdul Badi’ Saqr, juga seorang yang dipenjarakan oleh rejim Jamal Abdul Nasir menceritakan bahawa suatu hari Al-Hudhaibi menemuinya di depan bilik air penjara.
Al-Hudhaibi bertanya: “Berapa hari kamu khatamkan Al-Quran?”.
Aku menjawab: “Setiap lima belas hari!”.
Al-Hudhaibi berkata: “Apakah yang menghalang kamu untuk mengkhatamkan dalam tiga hari? Bacalah dua juzu’ setiap selesai solat waktu sedangkan kamu masih berwudhu’. Ingatlah peluang seperti ini tidak akan berulang”!!

Oleh kerana kesihatannya semakin kritikal, hukuman gantung sampai mati terhadapnya ditukar kepada hukuman penjara seumur hidup. Apabila pemerintah menyangka bahawa Al-Hudhaibi akan mati dalam penjara disebabkan penyakitnya itu, maka pemerintah pun membebaskannya dengan sangkaan Al-Hudhaibi akan mati beberapa hari lagi.

Dengan kehendak Allah apa yang diharapkan oleh pemerintah itu tidak berlaku. Sebaliknya Al-Hudhaibi terus memimpin Ikhwan dengan lebih gagah lagi. Melihat ini, pemerintah sekali lagi menahan dan menghumban Al-Hudhaibi ke dalam penjara!
Tidak ada yang lebih menggembirakan Al-Hudhaibi selain daripada dikumpulkannya semula untuk kembali bersama-sama anggota-anggota Ikhwan di dalam penjara.

Al-Hudaibi juga bencikan keganasan. Pernah sebilangan anggota-anggota Ikhwan berkata kepadanya: “Bukankah bilangan kita dalam penjara ini mencecah ribuan orang? Mengapa kita tidak menyerang pengawal-pengawal penjara demi membebaskan kita dari penjara ini?”.
Al-Hudhaibi menjawab: “Barangsiapa melakukan tindakan tersebut, maka dia bukan anggota Ikhwan!. Sesungguhnya, nyawa seorang dari seribu anggota Ikhwan adalah lebih berharga bagiku daripada batang leher Jamal Abdul Nasir! Berjaga-jagalah!, jangan ada seorang di kalangan kalian yang memberi kesempatan kepada anjing-anjing hina itu untuk menghapuskan golongan orang-orang yang beriman. Tahanlah diri kalian, bersabarlah, tingkatkanlah kesabaran dan tetap tabahlah sehingga datang ketetapan Allah”!

Hasan Al-Hudhaibi juga mengikuti dan mengukuhkan tradisi Ikhwan Muslimin dalam mentarbiyyah dan membawa seluruh keluarga dalam perjuangan Islam. Al-Hudhaibi mempunyai seorang isteri yang berjiwa kental, Ummu Usamah.

Ketika Al-Hudhaibi dalam tahanan penjara, seorang menteri Mesir telah mengutus isterinya untuk bertemu dengan Ummu Usamah. Tujuannya adalah untuk menenangkannya serta memberitahu bahawa menteri tersebut telah berbuat yang terbaik untuk menyelamatkan Al-Hudhaibi.
Ummu Usamah berkata: “Siapa yang memberitahu kepada suamimu yang kami gelisah dan sedih sehingga kamu bersusah payah untuk memberi nasihat kepada kami, menenangkan hati kami dan memberi khabar gembira bahawa Ustaz selamat? Apakah puan ingin memberitahu kepadaku dan anak-anakku bahawa hukuman telah ditetapkan sebelum dijalankan perbicaraan? Adakah puan mahu memberitahu kepada kami bahawa hukuman yang akan diterima oleh Ustaz adalah hukuman mati?”
Ummu Usamah seterusnya menegaskan: “Wahai Saadiyah Hanim, isteri pembesar Mesir yang mulia, saya mohon agar puan dengar dengan baik dan sampaikan kepada Tuan Menteri! Sampaikan bahawa Hasan Al-Hudhaibi tidak memegang kepimpinan Ikhwan Muslimun kecuali setelah menyaksikan pendahulunya yang agung, Asy-Syahid Hasan Al-Banna telah diculik dan dibunuh secara keji dengan terang-terangan di tepi jalan ibu kota negara ini. Hudhaibi tidak menerima untuk menjadi pengganti beliau kecuali menunggu akhir kehidupannya yang sama seperti beliau. Sungguh, ia telah menjual dirinya untuk Allah dan kami juga menjual diri kami bersamanya untuk Allah. Bila semua itu terjadi kerana takdir Allah maka tak seorang pun akan melihat kami kecuali dalam ketenangan, ketenteraman dan kebahagian. Sebab kami serahkan sepenuhnya segala urusan manusia kepada Allah. Kami mengharapkan pahala-Nya dan kami sangat berbahagia bila dapat menyusulnya sebagai syuhada’”

Kemudian Ummu Usamah berpaling kepada anak-anaknya Ilyah, Khalidah dan Su’ad sambil berkata:”Inilah pendirian ummi, bagaimana pendapat kalian wahai anak-anak?”
Serentak mereka menjawab: “Tidak ada perbezaan sedikit pun pendapat kami dengan pendapatmu, wahai ummi!”.

Comments Off :, , lagi...

Kisah Para Wali - Rabi’ah Al-Adawiyah

oleh Kamal Arif Maz pada Apr.28, 2010, di Community, General

Kisah Para Wali

Episod dari Tazkirat Al-Auliya

“Orang yang cinta Allah itu hilang, dalam melihat Allah hingga lenyap dirinya, dan dia tidak boleh membezakan yang mana penderitaan dan yang mana kesenangan.”

Diambil dari buku yang ditulis oleh Farid Al-Din Attar

Rabi’ah Al-Adawiyah

Rabi’ah binti Ismail a-Adawiyah, berasal dari keluarga miskin. Dari kecil ia tinggal di Basrah. Di kota ini namanya sangat terkenal  sebagai seorang wanita solehah dan sebagai penceramah. Dia sangat dihormati oleh orang-orang soleh semasanya. Tarikh kematiannya terdapat berbagai pendapat: tahun 135H/752M atau tahun 185H/801M.

Rabi’ah al-Adawiyah yang seumur hidupnya tidak pernah berkahwin dianggap mendapat pahala yang besar dalam memperkenalkan cinta Allah ke dalam mistisme Islam. Orang-orang mengatakan bahawa ia dikuburkan berhampiran kota Jerussalem.

Rabi’ah lahir dan masa kanak-kanaknya

Jika engkau bertanya: “Mengapa engkau menyamakan Rabi’ah dengan kaum lelaki?” Maka jawabku adalah bahawa Nabi sendiri pernah berkata: “Sesungguhnya Allah tidak memandang rupa kamu: dan yang menjadi masalah bukanlah bentuk, tetapi niat seperti yang dikatakan Nabi, “Manusia-manusia akan dimuliakan sesuai dengan niat di dalam hati mereka.” Selanjutnya, apabila kita boleh menerima dua pertiga ajaran agama dari Aisyah, maka sudah tentu kita boleh pula menerima petunjuk-petunjuk agama dari pelayan peribadinya itu. Apabila seorang perempuan berubah menjadi “seorang lelaki” pada jalan Allah, maka ia adalah sama dengan kaum lelaki dan kita tidak dapat menyebutnya sebagai seorang perempuan lagi.

Pada malam Rabi’ah dilahirkan ke dunia, tidak ada sesuatu barang berharga yang berada di dalam rumah orang tuanya, kerana ayahnya adalah seorang yang sangat miskin. Ayahnya tidak mempunyai minyak barang setitis pun untuk membersihkan pusat puterinya itu. Mereka tidak mempunyai lampu dan tidak mempunyai kain untuk menyelimuti Rabi’ah. Ayahnya telah memperoleh tiga orang puteri dan Rabi’ah adalah puterinya yang keempat. Itulah sebabnya mengapa ia dinamakan Rabi’ah.

“Pergilah kepada jiran kita dan mintalah sedikit minyak untuk menyalakan lampu,” isterinya berkata.

Tetapi si suami telah bersumpah bahawa ia tidak akan meminta sesuatu jua pun dari manusia lain. Maka ia berpura-pura menyentuhkan tangannya ke pintu rumah tetangga tersebut lalu kembali ke rumahnya.

“Mereka tidak mahu membukakan pintu,” ia memberitahu kepada isterinya apabila sesampainya di rumah.

Isterinya yang malang menangis sedih. Dlam keadaan yang serba menyedihkan itu si suami hanya dapat menundukkan kepala ke atas lutut dan terlena. Di dalam tidurnya ia bermimpi melihat Nabi.

Nabi memujuknya: “Jangan engkau bersedih, kerana bayi perempuan yang baru dilahirkan itu adalah ratu wanita dan akan menjadi penengah bagi 70 ribu orang di antara kaumku.” Kemudian Nabi meneruskan: “Esok, pergilah engkau menemui ‘Isa az-Zadan, Gabenor Basrah. Di atas sehelai kertas, tuliskan kata-kata seperti ini: “Setiap malam engkau mengirimkan selawat seratus kali kepadaku, dan setiap malam Jumaat empat ratus kali. Semalam adalah malam Jumaat tetapi engkau lupa melakukannya. Sebagai penebus kelalaianmu itu berikanlah kepada orang ini empat ratus dinar yang telah engkau dapati secara halal.”

Ketika terjaga dari tidurnya, ayah Rabi’ah menangis. Ia pun bangun dan menulis seperti yang telah dipesankan oleh Nabi kepadanya dan mengirimkannya kepada gabenor melalui pengurus rumahtangga di istana.

“Berikanlah dua ribu dinar kepada orang miskin,” gabenor memberikan perintah setelah membaca surat tersebut. “Sebagai tanda syukur kerana Nabi masih ingat kepadaku. Kemudian berikan  empat ratus dinar kepada syeikh itu dan katakan padanya: “Aku harap engkau datang kepadaku sehingga aku dapat melihat wajahmu. Namun tidaklah elok bagi seorang seperti kamu untuk datang menghadapku. Lebih baik seandainya akulah yang datang kepadamu. Walaupun demikian, demi Allah, aku bermohon kepadamu, apapun yang engkau perlukan katakanlah kepadaku.”

Ayah Rabi’ah menerima wang emas tersebut dan membeli keperluannya.

Ketika Rabi’ah semakin membesar, sedang ayah bondanya telah meninggal dunia, bencana kelaparan melanda kota Basrah, dan ia terpisah dari kakak-kakak perempuannya. Suatu hari ketika Rabi’ah keluar rumah, seorang penjahat menangkapnya kemudian menjualnya dengan harga enam dirham. Orang yang membeli dirinya menyuruh Rabi’ah mengerjakan pekerjaan-pekerjaan yang berat.

Pada suatu hari ketika berjalan-jalan, seorang yang tidak dikenali datang menghampirinya. Rabi’ah melarikan diri, tiba-tiba ia terjatuh tergelincir sehingga tangannya terkehel.

Rabi’ah menangis sambil menghantuk-hantukkan kepalanya ke tanah: “Ya Allah, aku adalah seorang asing di negeri ini, tidak mempunyai ayah bonda, seorang tawanan yang tidak berdaya, sedang tanganku cedera. Namun semua itu tidak membuatku bersedih hati. Satu-satunya yang kuharapkan adalah dapat memenuhi kehendak-Mu dan mengetahui apakah Engkau berkenan atau tidak.”

“Rabi’ah, janganlah engkau berduka,” sebuah suara berkata kepadanya. “Di kemudian hari nanti engkau akan dimuliakan sehingga malaikat-malaikat iri kepadamu.”

Rabi’ah kembali ke rumah tuannya. Di siang hari ia terus berpuasa dan mengabdikan diri kepada Allah, sedang di malam hari ia berdoa kepada Allah sambil terus berdiri sepanjang malam.

Pada suatu malam tuannya terjaga dari tidur, apabila dia lalu di tepi tingkap dan terlihat olehnya Rabi’ah sedang bersujud dan berdoa kepada Allah.

“Ya Allah, Engkau tahu bahawa hasrat hatiku adalah untuk dapat memenuhi perintah-Mu dan mengabdikan diri kepada-Mu. Jika aku tidah mengubah nasib diriku ini, nescaya aku tidak akan beristirehat barang sebentar pun dari mengabdikan diri kepada-Mu. Tetapi Engkau telah menyerahkan diriku ke bawah kekuasaan seorang hamba-Mu.” Demikianlah kata-kata yang diucapkan Rabi’ah di dalam doanya itu.

Dengan mata kepalanya sendiri majikannya menyaksikan betapa sebuah lampu tergantung tanpa tali di atas kepala Rabi’ah sedang cahayanya menerangi seluruh rumah. Menyaksikan peritiwa ini, ia merasa takut. Ia lalu pergi ke bilik tidurnya dan duduk termenung sehingga subuh. Ketika hari telah terang ia memanggil Rabi’ah, bersikap lembut kepadanya kemudian membebaskannya.

“Izinkanlah aku pergi,” Rabi’ah berkata.

Tuannya membebaskannya. Rabi’ah lalu meninggalkan rumah tuannya menuju ke padang pasir untuk mengadakan perjalanan menuju ke sebuah pertapaan untuknya mengabdikan diri kepada Allah.

Kemudian ia berniat untuk menunaikan ibadah haji. Maka ia pun berangkat menempuh padang pasir kembali. Barang-barang miliknya diletak di atas punggung keldai. Tetapi apabila sampai di tengah-tengah padang pasir, keldai itu mati.

“Biarlah kami yang membawa barang-barangmu.” Lelaki-lelaki di dalam rombongan itu menawarkan jasa mereka.

“Tidak! Teruskanlah perjalanan kalian,” jawab Rabi’ah. “Bukan tujuanku untuk menjadi beban kalian.”

Rombongan itu meneruskan perjalanan dan meninggalkan Rabi’ah seorang diri.

“Ya Allah,” Rabi’ah berseru sambil menengadahkan kepala. “Demikiankah caranya raja-raja memperlakukan seorang wanita yang tidak berdaya di tempat yang masih asing baginya? Engkau telah memanggilku ke rumah-Mu, tetapi di tengah perjalanan engkau membunuh keldaiku dan meninggalkanku sebatang kara di tengah padang pasir ini.”

Belum lagi Rabi’ah selesai dengan kata-katanya ini, tanpa diduga-duga keldai itu terus berdiri. Rabi’ah meletakkan barang-barangnya ke atas punggung binatang itu dan meneruskan perjalanannya. (Tokoh yang meriwayatkan kisah ini mengatakan bahawa tidak berapa lama setelah peristiwa itu, ia melihat keldai kecil tersebut sedang dijual di pasar.)

Beberapa hari lamanya Rabi’ah meneruskan  perjalanannya menempuh padang pasir, sebelum ia berhenti, ia berseru kepada Allah: “Ya Allah, aku sudah letih. Ke arah manakah yang harus kutuju? Aku ini hanyalah segumpal tanah sedangkan rumah-mu dibuat dari batu. Ya Allah, aku bermohon kepada-Mu, tunjukkanlah diri-Mu.”

Allah berkata ke dalam sanubari Rabi’ah: “Rabi’ah, engkau sedang berada di atas sumber kehidupan lapan belas ribu dunia. Tidakkah engkau ingat betapa Musa telah bermohon untuk melihat wajah-Ku dan gunung-gunung terpecah-pecah menjadi empat puluh keping. Kerana itu merasa cukuplah engkau dengan nama-Ku sahaja!”

Rabi’ah dengan pencuri

Pada suatu malam ketika Rabi’ah sedang solat di sebuah pertapaan, ia merasa sangat letih sehingga ia jatuh tertidur. Sedemikian nyenyak tidurnya sehingga ketika matanya berdarah tertusuk alang-alang dari tikar yang ditidurnya, ia sama sekali tidak menyedarinya.

Seorang pencuri masuk menyelinap ke dalam pertapaan itu dan mengambil cadar Rabi’ah. Ketika hendak keluar dari tempat itu didapatinya bahawa jalan keluar telah tertutup. Dilepaskannya cadar itu dan ditinggalkannya tempat itu dan ternyata jalan keluar telah terbuka kembali. Cadar Rabi’ah diambilnya lagi, tetapi jalan jalan keluar tertutup kembali. Sekali lagi dilepaskannya cadar itu. Tujuh kali perbuatan seperti itu diulanginya. Kemudian terdengarlah oleh sebuah suara dari sudut pertapaan itu.

“Hai manusia, tiada gunanya engkau mencuba-cuba. Sudah bertahun-tahun Rabi’ah mengabdikan kepada Kami. Syaitan sendiri tidak berani datang menghampirinya. Jadi betapakah seorang pencuri memiliki keberanian hendak mencuri cadarnya? Pergilah dari sini hai manusia jahanam! Tiada gunanya engkau mencuba-cuba lagi. Jika seorang sahabat sedang tertidur maka Sang Sahabat bangun dan menjaganya.”

Rabi’ah dengan roti untuk tetamu

Dua orang pemuka agama datang mengunjungi Rabi’ah dan keduanya merasa lapar. “Mudah-mudahan Rabi’ah akan memberikan makanan kepada kita,” mereka berkata. “Makanan yang diberikan oleh Rabi’ah pasti diperolehi secara halal.”

Ketika mereka duduk, di depan mereka telah terhampar safrah dan di atasnya ada dua potong roti. Melihat hal itu mereka sangat gembira. Tetapi di saat itu pula seorang pengemis datang dan Rabi’ah memberikan kedua potong roti itu kepadanya. Kedua pemuka agama itu sangat kecewa, namun mereka tidak berkata apa-apa. Tidak berapa lama kemudian masuklah seorang pelayan wanita membawakan beberapa buah roti yang masih panas.

“Majikanku telah menyuruhku menghantarkan roti-roti ini kepadamu,” pelayan itu menjelaskan.

Rabi’ah mengira-ngira roti tersebut. Semua berjumlah lapan belas potong.

“Mungkin roti-roti ini bukan untukku,” Rabi’ah berkata.

Pelayan itu berusaha meyakinkan Rabi’ah namun sia-sia saja. Akhirnya roti-roti itu dibawanya kembali. Sebenarnya apa yang telah terjadi adalah bahawa pelayan itu telah mengambil dua potong untuk dirinya sendiri. Ia meminta dua potong lagi kepada majikannya kemudian ia kembali ke tempat Rabi’ah. Roti-roti itu dikira oleh Rabi’ah, ternyata semuanya ada dua puluh potong dan setelah itu barulah ia mahu menerimanya.

“Roti-roti ini memang telah dikirim oleh majikanmu untukku,” kata Rabi’ah.

Kemudian Rabi’ah memberikan roti-roti tersebut kepada kedua tetamunya tadi. Keduanya makan namun masih dalam keadaan hairan.

“Apakah rahsia di sebalik semua ini?” Mereka bertanya kepada Rabi’ah. “Kami ingin memakan rotimu sendiri tetapi engkau memberikannya kepada seorang pengemis. Kemudian engkau mengatakan kepada pelayan tadi bahawa kelapan belas roti itu bukan dimaksudkan untukmu. Tetapi kemudian ketika semuanya berjumlah dua puluh potong barulah engkau mahu menerimanya.”

Rabi’ah menjawab: “Sewaktu kamu datang, aku tahu bahawa kamu sedang lapar. Aku berkata kepada diriku sendiri, betapa aku menawarkan untuk memberikan dua potong roti kepada dua orang pemuka yang terhormat? Itulah sebabnya mengapa ketika pengemis tadi datang, aku segera memberikan dua potong roti itu kepadanya dan berkata kepada Allah Yang Maha Besar, “Ya Allah, Engkau telah berjanji bahawa Engkau akan memberikan ganjaran sepuluh kali dan janji-Mu itu kupegang teguh. Kini telah kusedekahkan dua potong roti untuk menyenangkan-Mu, semoga Engkau berkenan untuk memberikan dua puluh potong sebagai imbalannya. Ketika kelapan belas potong roti itu dihantarkan kepadaku, tahulah aku bahawa sebahagian darinya telah dicuri atau roti-roti itu bukan untuk disampaikan kepadaku.”

Rabi’ah dengan sup bawang

Pada suatu hari pelayan wanita Rabi’ah hendak memasak sup bawang kerana telah beberapa lamanya mereka tidak memasak makanan. Ternyata mereka tidak mempunyai bawang. Pelayannya berkata kepada Rabi’ah: “Aku hendak meminta bawang kepada tetangga sebelah.”

Tetapi Rabi’ah melarang: “Telah empat puluh tahun aku berjanji kepada Allah tidak akan meminta sesuatu pun kecuali kepada-Nya. Lupakanlah bawang itu.”

Setelah Rabi’ah berkata demikian, seekor burung meluncur dari angkasa, membawa bawang yang telah terkupas di paruhnya, lalu menjatuhkan ke dalam belanga.

Menyaksikan peristiwa itu Rabi’ah berkata: “Aku takut jika semua ini adalah seperti tipu muslihat.”

Rabi’ah tidak mahu menyentuh sup bawang tersebut. Hanya roti sajalah yang dimakannya.

Rabi’ah dengan binatang liar yang jinak

Pada suatu hari Rabi’ah pergi ke gunung. Ia segera dikerumuni oleh sekawan rusa, kambing hutan, ibeks (sebangsa kambing hutan yang bertanduk panjang) dan keldai-keldai liar. Binatang-binatang ini menatap Rabi’ah dan hendak menghampirinya. Tanpa disangka-sangka Hasan al-Basri datang pula ke tempat itu. Ketika melihat Rabi’ah, ia segera datang menghampirinya. Tetapi setelah melihat kedatangan Hasan, binatang-binatang tadi lari ketakutan dan meninggalkan Rabi’ah. Hal ini membuat Hasan kecewa.

“Mengapakah binatang-binatang itu menghindari dari diriku sedang mereka begitu jinak terhadapmu?” Hasan bertanya kepada Rabi’ah.

“Apakah yang telah engkau makan pada hari ini?” Rabi’ah balik bertanya.

“Sup bawang.”

“Engkau telah memakan lemak binatang-binatang itu. Tidak menghairankan jika mereka lari ketakutan melihatmu.”

Rabi’ah menegur Hasan

Di hari lain, Rabi’ah melalui hadapan rumah Hasan. Ketika itu Hasan termenung di jendela. Ia sedang menangis dan air matanya menitis jatuh mengenai pakaian Rabi’ah. Mula-mula Rabi’ah mengira hujan turun, tetapi setelah ia melihat ke atas dan terlihat olehnya Hasan, sedarlah ia bahawa yang jatuh menitis itu adalah air mata Hasan.

“Guru, menangis adalah petanda dari kelesuan rohani.” Ia berkata kepada Hasan. “Tahanlah air matamu. Jika tidak, di dalam dirimu akan menggelora samudera sehingga engkau tidak dapat mencari dirimu sendiri kecuali pada seorang  Raja Yang Maha Perkasa.”

Teguran itu tidak sedap didengar oleh Hasan, namun ia tetap menahan diri. Di belakang hari ia bertemu degan Rabi’ah di tepi sebuah danau. Hasan menghamparkan sejadahnya di atas air dan berkata kepada Rabi’ah, “Rabi’ah, marilah kita melakukan solat dua rakaat di atas air!”

Rabi’ah menjawab: “Hasan, jika engkau memperlihatkan karamah-karamahmu di tempat ramai ini, maka karamahmu itu haruslah yang tidak dimiliki oleh orang-orang lain.”

Sesudah berkata begitu Rabi’ah melemparkan sejadahnya ke udara, kemudian ia melompat ke atasnya dan berseru kepada Hasan: “Naiklah ke mari Hasan agar orang-orang dapat menyaksikan kita.”

Hasan yang belum mencapai kepandaian seperti itu tidak dapat berkata apa-apa. Kemudian Rabi’ah cuba menghiburkannya dan berkata: “Hasan, yang engkau lakukan tadi dapat pula dilakukan oleh seekor ikan dan yang kulakukan tadi dapat pula dilakukan oleh seekor lalat. Yang Terpenting bukanlah kemahiran-kemahiran seperti itu. Kita harus  mengabdikan diri kepada Hal-hal Yang Terpenting itu.”

Rabi’ah dengan lampu

Pada suatu malam Hasan beserta dua tiga orang sahabatnya berkunjung ke rumah Rabi’ah. Tetapi rumah itu gelap, tiada berlampu. Mereka merasa senang seandainya pada ketika itu ada lampu. Maka Rabi’ah meniup jari tangannya. Sepanjang malam itu hingga fajar, jari Rabi’ah memancarkan cahaya terang benderang bagaikan lampu dan mereka duduk di dalam cahaya.

Jika ada seseorang yang bertanya: “Bagaimanakah hal seperti itu boleh terjadi?” Maka jawapanku adalah: “Persoalannya adalah sama dengan tangan Musa.” Jika ia kemudian menyangkal: “Tetapi Musa adalah seorang Nabi!” Maka jawapanku: “Barangsiapa yang mengikuti jejak Nabi akan mendapatkan sedikit kenabian, seperti yang pernah disabdakan oleh Nabi Muhammad sendiri.”

“Barangsiapa menolak harta benda yang tidak diperolehi secara halal, walaupun harganya satu sen, sesungguhnya ia telah mencapai suatu tingkai kenabian.” Nabi Muhammad juga pernah berkata: “Sebuah mimpi yang benar adalah satu perempat puluh dari kenabian.”

Nasihat Rabi’ah

Pada suatu ketika Rabi’ah mengirimkan sepotong lilin, sebuah jarum dan sehelai rambut kepada Hasan, dengan pesanan, “Hendaklah engkau seperti sepotong lilin, sentiasa menerangi dunia walaupun diri sendiri terbakar, Hendaklah engkau menjadi sebuah jarum, sentiasa berbakti walaupun tidak memiliki apa-apa. Apabila kedua hal  itu telah engkau lakukan maka bagimu seribu tahun hanyalah seperti rambut ini.”

“Apakah engkau mengkehendaki agar kita berkahwin?” tanya Hasan kepada Rabi’ah.

“Tali perkahwinan hanyalah untuk orang-orang yang memiliki keakuan. Di sini keakuan telah hilang, telah menjadi tiada dan hanyalah ada melalui Dia. Aku adalah milik-Nya. Aku hidup di bawah naungan-Nya. Engkau harus melamar diriku daripada-Nya, buka secara langsung kepada diriku sendiri.”

“Bagaimanakah engkau telah bertemu dengan rahsia ini, Rabi’ah?” tanya Hasan.

“Aku lepaslah segala yang telah kuperolehi kepada-Nya,” jawab Rabi’ah.

“Bagaimana engkau telah dapat mengenal-Nya?”

“Hasan, engkau lebih suka bertanya, tetapi aku lebih suka menghayati,” jawab Rabi’ah.

Rabi’ah menasihati orang sakit

Suatu hari Rabi’ah bertemu dengan seseorang yang kepalanya dibalut.

“Mengapa engkau membalut kepalamu?” tanya Rabi’ah.

“Kerana aku merasa pening,” jawab lelaki itu.

“Berapa umurmu?” Rabi’ah bertanya lagi.

“Tiga puluh tahun,” jawabnya.

“Apakah engkau banyak menderita sakit dan merasa susah di dalam hidupmu?”

“Tidak,” jawabnya lagi.

“Selama tiga puluh tahun engkau menikmati hidup yang sihat, engkau tidak pernah mengenakan selubung kesyukuran, tetapi baru malam ini saja kepalamu terasa sakit engkau telah mengenakan selubung keluh kesah,” kata Rabi’ah.

Rabi’ah mengirim selimut

Suatu hari Rabi’ah menyerahkan wang empat dirham kepada seorang lelaki.

“Belikanku sehelai selimut kerana aku tidak mempunyai pakaian lagi,” kata Rabi’ah.

Lelaki itu pun pergi, tetapi tidak lama kemudian ia kembali dan bertanya kepada Rabi’ah: “Selimut berwarna apakah yang harus kubeli?”

“Apa peduliku dengan warna? Pulangkan wang itu kepadaku kembali,” Rabi’ah berkata.

Rabi’ah dengan keasyikannya

Suatu hari di musim bunga, Rabi’ah memasuki tempat tinggalnya, kemudian menjenguk keluar kerana pelayannya berseru: “Ibu, keluarlah dan saksikanlah apa yang telah dilakukan oleh Allah Maha Pencipta.”

“Lebih baik engkaulah yang masuk ke mari,” Rabi’ah menjawab, “Dan saksikanlah Allah Pencipta itu sendiri. Aku sedemikian asyik menatap Allah Yang Maha Pencipta sehingga aku tidak menghiraukan lagi terhadap ciptaan-ciptaan-Nya.”

Rabi’ah memotong daging

Beberapa orang datang mengunjungi Rabi’ah dan menyaksikan ia sedang memotong seketul daging dengan giginya.

“Apakah engkau tidak mempunyai pisau untuk memotong daging itu? Mereka bertanya.

“Aku tidak pernah menyimpan pisau di dalam rumah ini kerana takut terluka,” jawab Rabi’ah.

Rabi’ah berpuasa

Rabi’ah berpuasa selama seminggu. Sepanjang berpuasa itu ia tidak makan dan tidak tidur. Setiap malam ia asyik mengerjakan solat dan berdoa. Lapar yang dirasakannya sudah tidak tertahan lagi. Seorang tetamu masuk ke rumah Rabi’ah membawa semangkuk makanan. Rabi’ah menerima makanan itu. Kemudian ia pergi mengambil lampu. Ketika itu ternyata seekor kucing telah melanggar mangkuk itu.

“Akan kuambil sekendi air dan aku akan berbuka puasa,” Rabi’ah berkata.

“Ketika ia kembali dengan sekendi air ternyata lampu telah padam. Ia hendak meminum air itu dalam kegelapan tetapi kendi itu terlepas dari tangannya dan jatuh, pecah bertaburan. Rabi’ah meratap dan mengeluh sedemikian menyayat hati seolah-olah sebahagian rumahnya telah dimakan api.

Rabi’ah menangis: “Ya Allah, apakah yang telah Engkau perbuat terhadap hamba-Mu yang tidak berdaya ini?”

“Berhati-hatilah Rabi’ah,” sebuah seruan terdengar di telinganya. “Janganlah engkau sampai mengharapkan bahawa Aku akan memberikan semua kenikmatan dunia kepadamu sehingga pengabdianmu kepada-Ku lenyap dalam hatimu. Pengabdian kepada-Ku dan kenikmatan-kenikmatan dunia tidak dapat dipadukan di dalam satu hati. Rabi’ah, engkau menginginkan suatu hal sedang Aku menginginkan hal yang lain. Hasrat-Ku dan hasratmu tidak dapat dipadukan di dalam satu hati.”

Setelah mendengar celaan ini, Rabi’ah berkata: “Kulepaskan hatiku dari dunia dan kubuang segala keinginan dalam hatiku sehingga selama tiga puluh tahun yang terakhir ini, apabila melakukan solat, maka aku menganggapnya sebagai solatku yang terakhir.”

Rabi’ah diuji lelaki

Beberapa orang mengunjungi Rabi’ah untuk mengujinya. Mereka ingin memerangkap Rabi’ah dengan mengucapkan kata-kata yang tidak difikirkannya terlebih dahulu.

“Segala macam kebajikan telah dibahagikan kepada setiap kaum lelaki. Mahkota kenabian telah diletakkan di kepala kaum lelaki. Tali kebangsawanan telah diikatkan di pinggang kaum lelaki. Tidak ada seorang perempuan pun yang telah diangkat oleh Allah menjadi Nabi,” mereka berkata.

“Semua ini memang benar. Tetapi kesombongan, memuja diri sendiri dan ucapan: “Bukankah aku Tuhanmu Yang Maha Tinggi” tidak pernah bertapak di dalam dada perempuan. Dan tidak ada seorang perempuan pun yang menghitung. Semua ini adalah bahagian kaum lelaki.”

Rabi’ah sakit tenat

Ketika Rabi’ah menderita sakit yang tenat, ditanya kepadanya apakah penyebab penyakitnya itu.

“Aku telah melihat syurga dan Allah telah menghukum diriku,” jawab Rabi’ah.

Kemudian Hasan al-Basri datang untuk mengunjungi Rabi’ah.

“Aku mendapati salah seorang pemuka kota Basrah berdiri menunggu di pintu pertapaan Rabi’ah. Ia hendak memberikan sebekas emas kepada Rabi’ah dan ia menangis. Aku bertanya kepadanya: “Mengapakah engkau menangis?” Jawabnya: “Aku menangis kerana wanita solehah zaman ini. Kerana jika berkah hidupnya tidak ada lagi, celakalah umat manusia. Aku telah membawakan wang sekadar untuk membiayai perawatannya tetapi aku khuatir kalau-kalau Rabi’ah tidak mahu menerimanya. Pujuklah Rabi’ah agar ia mahu menerima wang ini.”

Maka masuklah Hasan ke dalam pertapaan Rabi’ah dan memujuknya untuk menerima wang itu. Rabi’ah memandang Hasan dan berkata, “Dia telah menafkahi orang-orang yang menghujah-Nya. Apakah Dia tidak akan menafkahi orang-orang yang mencintai-Nya?” Sejak aku mengenal-Nya, aku telah berpaling dari manusia ciptaan-Nya. Aku tidak tahu apakah kekayaan seseorang itu halal atau tidak, maka betapakah aku dapat menerima pemberiannya? Pernah aku menjahit pakaian yang koyak dengan diterangi lampu dunia. Beberapa saat hatiku lalai tetapi akhirnya akupun sedar. Pakaian itu kukoyak semula kepada bahagian-bahagian yang telah kujahit itu dan hatiku menjadi lega. Mintalah kepadanya agar ia tidak membuat hatiku lalai lagi.”

Rabi’ah yang sakit menerima kunjungan sahabat

Abdul Wahid Amir mengisahkan bahawa ia bersama Sufyan ats-Tsauri menziarahi Rabi’ah ketika sakit tetapi kerana segan mereka tidak berani menegurnya.

“Engkaulah yang berkata,” kataku kepada Sufyan.

“Jika engkau berdoa nescaya penderitaanmu ini akan hilang.”

Rabi’ah menjawab: “Tidakkah engkau tahu siapa yang menhendaki aku menderita seperti ini? Bukankah Allah?”

“Ya,” Sufyan membenarkan.

“Betapa mungkin, engkau menyuruhku untuk memohon hal yang bertentangan dengan kehendak-Nya? Bukankah tidak baik apabila kita menentang Sahabat kita sendiri?”

“Apakah yang engkau inginkan, Rabi’ah?” Sufyan bertanya pula.

“Sufyan, engkau adalah seorang yang terpelajar! Tetapi engkau bertanya demikian? Demi kebesaran Allah telah dua belas tahun lamanya aku menginginkan buah kurma segar. Engkau tentu tahu bahawa di kota Basrah buah kurma sangat murah harganya, tetapi hingga saat ini aku tidak pernah memakannya. Aku ini hanyalah hamba-Nya dan apakah hak seorang hamba untuk menginginkan sesuatu? Jika aku menginginkan sesuatu sedang Allah tidak menginginkannya, maka kafirlah aku. Engkau harus menginginkan segala sesuatu yang diinginkan-Nya semata-mata agar engkau dapat menjadi hamba-Nya yang sejati. Tetapi lainlah persoalannya jika Tuhan sendiri memberikannya.”

Sufyan terdiam. Kemudian ia berkata kepada Rabi’ah: “Kerana aku tidak dapat berbicara tentang dirimu, maka engkaulah yang berbicara tentang diriku.”

“Engkau adalah manusia yang baik kecuali dalam satu hal: Engkau mencintai dunia. Engkau pun suka membacakan hadis-hadis.” Yang terakhir ini dikatakan Rabi’ah dengan maksud bahawa membacakan hadis-hadis tersebut adalah suatu perbuatan yang mulia.

Sufyan merasa sangat susah hati dan memohon: “Ya Allah, kasihilah aku!”

Tetapi Rabi’ah mencelanya dengan berkata: “Tidak malukah engkau mengharapkan kasih Allah sedangkan engkau sendiri tidak mengasihi-Nya?”

Rabi’ah menasihati Malik bin Dinar

Malik bin Dinar mengisahkan sebagai berikut: Ketika mengunjungi Rabi’ah, kulihat dia menggunakan gayung pecah untuk minum dan bersuci, sehelai tikar dan sebiji batu-bata yang kadang-kadang digunakannya sebagai bantal. Menyaksikan semua itu hatiku menjadi sedih.

“Aku mempunyai ramai kawan yang kaya, jika engkau menghendaki sesuatu akan kumintakan kepada mereka,” aku berkata kepada Rabi’ah.

“Malik, engkau telah melakukan kesalahan yang besar. Bukankah yang menafkahi aku dan yang menafkahi mereka adalah satu?’ soal Rabi’ah.

“Ya,” jawabku.

“Apakah yang memberi kepada orang-orang miskin itu lupa kepada orang-orang miskin kerana kemiskinan mereka? Dan apakah Dia ingat kepda orang-orang yang kaya kerana kekayaan mereka?” tanya Rabi’ah.

“Tidak,” jawabku.

“Jadi, kerana Dia mengetahui keadaanku, bagaimanakah aku harus mengingatkan-Nya? Beginilah yang dikehendaki-Nya, dan aku menghendaki seperti yang dikehendaki-Nya,” Rabi’ah menerangkan lagi.

Rabi’ah dengan ucapan-ucapan sahabatnya

Pada suatu hari, Hasan al-Basri, Malik bin Dinar dan Syaqiq al-Balkhi mengunjungi Rabi’ah yang sedang terbaring dalam keadaan sakit.

“Seorang manusia tidak dapat dipercayai kata-katanya jika ia tidak tabah menanggung ujian dari Allah,” kata Hasan memulai percakapannya.

“Kata-katamu itu menunjukkan engkau seorang yang ego,” Rabi’ah membalas.

Kemudian giliran Syaqiq pula berkata: “Seorang manusia itu tidak dapat dipercayai kata-katanya jika ia tidak bersyukur atas pemberian Allah.”

“Ada perkara yang lebih baik daripada itu,” jawab Rabi’ah.

Malik bin Dinar pula berkata: “Seorang manusia tidak dapat dipercayai kata-katanya jika ia tidak merasa bahagia ketika menerima ujian Allah.”

“Masih ada yang lebih baik daripada itu,” Rabi’ah mengulangi jawapannya.

“Jika demikian, katakanlah kepada kami,” mereka mendesak Rabi’ah.

Maka Rabi’ah berkata: “Seorang manusia tidak dapat dipercayai kata-katanya jika ia tidak lupa kepada ujian dari Allah, ketika ia merenungkan-Nya.”

Rabi’ah dengan seorang cendikiawan

Seorang cerdik pandai yang  terkemuka di kota Basrah mengunjungi Rabi’ah yang sedang terbaring sakit. Sambil duduk di sisi Rabi’ah ia mencaci maki dunia.

Rabi’ah berkata kepadanya: “Sesungguhnya engkau sangat mencintai dunia ini, Jika engkau tidak mencintai dunia tentu engkau tidak akan menyebut-nyebutnya berulangkali seperti ini. Seorang pembelilah yang sentiasa mencela barang-barang yang hendak dibelinya. Jika engkau tidak merasa berkepentingan dengan dunia ini tentulah engkau tidak akan memuji-muji atau memburuk-burukkannya. Engkau menyebut-nyebut dunia ini seperti kata peribahasa, barangsiapa mencintai sesuatu hal maka ia sering menyebut-nyebutnya.”

Saat Rabi’ah meninggal dunia

Ketika tiba saatnya Rabi’ah harus meninggalkan dunia fana’ ini, orang-orang yang menziarahinya meninggalkan kamarnya dan menutup pintu kamar itu dari luar. Setelah itu mereka mendengar suara yang berkata: “Wahai jiwa yang damai, kembalilah kepada Tuhanmu dengan berbahagia.”

Beberapa saat kemudian tidak ada lagi suara yang terdengar dari kamar Rabi’ah. Mereka lalu membuka pintu kamar itu dan mendapatkan Rabi’ah telah meninggal dunia.

Setelah Rabi’ah meninggal dunia, ada yang bertemu dengannya dalam sebuah mimpi. Kepadanya ditanyakan.

“Bagaimanakah engkau menghadapi Munkar dan Nakir?”

Rabi’ah menjawab: “Kedua malaikat itu datang kepadaku dan bertanya: “Siapakah Tuhanmu?” Aku menjawab: “Pergilah kepada Tuhanmu dan katakan kepada-Nya: “Di antara beribu-ribu makhluk yang ada, janganlah Engkau melupakan seorang wanita tua yang lemah. Aku hanya memiliki Engkau di dunia yang luas, tidak pernah lupa kepada-Mu, tetapi mengapakah Engkau mengirimkan utusan sekadar menanyakan “Siapakah Tuhanmu” kepadaku?”

Doa-doa Rabi’ah

“Ya Allah, apa pun yang akan Engkau kurniakan kepadaku di dunia ini, berikanlah kepada musuh-musuh-mu, dan apa pun yang akan Engkau kurniakan kepadaku di akhirat nanti, berikanlah kepada sahabat-sahabat-Mu, kerana Engkau sendiri cukuplah bagiku.”

“Ya Allah, jika aku menyembah-Mu kerana takut kepada neraka, bakarlah aku di dalam neraka; dan jika aku menyembah-Mu kerana mengharapkan syurga, campakkanlah aku dari dalam syurga; tetapi jika aku menyembah-Mu demi Engkau semata, jangan Engkau enggan memperlihatkan keindahan wajah-Mu yang abadi kepadaku.”

“Ya Allah, segala jerih payahku dan semua hasratku di antara segala kesenangan dunia ini adalah untuk mengingati Engkau. Dan di akhirat nanti, di antara segala kesenangan akhirat, adalah untuk berjumpa dengan-Mu. Begitulah halnya diriku, seperti yang telah kukatakan. Kini, perbuatlah seperti yang Engkau kehendaki.”

Komen :, lagi...

Mencari sesuatu?

Sila cari di bawah: